Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan berlakunya pertembungan kerusi antara partinya dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, pertembungan itu boleh berlaku memandangkan Umno dan Bersatu akan terpisah sejurus pembubaran Parlimen untuk PRU15.
“Ya, boleh berlaku pertembungan. Tapi mungkin boleh ada rundingan yang mana kita tidak bersama dalam satu gabungan dengan Bersatu tapi kita cuba elakkan pertembungan PRU nanti, itu pun mungkin boleh.
“Tapi apapun perkara ini masih terlalu awal,” katanya dipetik wawancara Mingguan Malaysia hari ini.
Ahli Parlimen Bera tersebut menegaskan tiada masalah antara Umno dengan Muafakat Nasional (MN) setakat ini tetapi sudah diputuskan tiada kerjasama untuk pilihan raya dengan Bersatu.
“Jadi, kemungkinan tiga penjuru itu ada,” katanya sambil menekankan rundingan sebagai penyelesaian untuk memastikan Umno-Bersatu tidak bertembung.
Ismail turut memberitahu Perhimpunan Agung Umno (PAU) boleh membuat keputusan yang berbeza dengan Majlis Tertinggi (MT) kerana autoriti yang tertinggi dalam parti adalah PAU.
“… walaupun ia boleh dirombak melalui PAU tapi MT itu biasanya kalau tiada PAU, MT lah yang buat keputusan,” tambahnya lagi.
-Malaysia Dateline
0 ulasan:
Catat Ulasan