Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Zulkifli Noordin (kanan) menyerahkan sijil penghargaan KDN kepada Sarjan Mat Shah Kassim. - Bernama
REMBAU: Keberanian seorang anggota polis, Sarjan Mat Shah Kasim yang menyelamatkan dua mangsa kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau 4 Mac lalu mendapat perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Mat Shah, 57 tahun, yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bulan November depan selepas 39 tahun berkhidmat hari ini, menerima sijil penghargaan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Mengakui terharu menerima penghargaan itu kerana menyifatkan tugas yang dilakukannya sebagai suatu tanggungjawab terhadap masyarakat, tambah Mat Shah, tindakannya itu juga dibuat selepas melihat kesungguhan seorang ibu warga emas yang bersungguh-sungguh menyelamatkan anaknya dalam tragedi berkenaan.
Ujarnya, sepanjang berkhidmat di IPD Rembau sejak 11 tahun lalu, terdapat tiga kejadian mencabar yang dikendalikannya yang masih segar sehingga kini dan insiden baru-baru ini disifatkan sebagai ‘hadiah istimewa’ sebelum menamatkan perkhidmatan.
“Sepanjang saya bertugas di IPD Rembau ini, ada tiga kejadian yang agak beri kesan pada jiwa saya. Pertama, kemaangan libatkan satu kereta MyVi langgar belakang treler dan mangsa rentung, saya pun angkat mayat tersebut.
“Kedua, kejadian tembak warga asing. Dia lakukan jenayah rompak di rumah mangsa dan dia telah ditembak mati, saya angkat mayat itu.
Dalam keadaan semua orang takut, saya diberi kekuatan angkat dua mayat penjenayah warga asing.
“Itulah beberapa kejadian. Tapi kejadian inilah (selamatkan mangsa kebakaran) begitu menyentuh perasaan saya sendiri.
Saya ingat bagaimana seorang ibu begitu sekali (berusaha) untuk menyelamatkan anaknya. Itulah yang menyebabkan saya diberi kekuatan untuk bertindak walaupun dalam keadaan begitu,” imbasnya.
Beliau ditemui selepas menerima surat penghargaan yang disampaikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Dalam Negeri mewakili Hamzah, Datuk Seri Zulkifli Nordin, di Bilik Gerakan IPD Rembau, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang 4 Mac lalu, sebuah rumah di Kampung Seberang Batu Hampar terbakar dan warga emas Maimunah Mohd Shah, 81 tahun, cuba masuk ke dalam rumah di bahagian pintu dapur bagi menarik keluar anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) Zaidi Zainudin, 46 tahun, sehingga ke tangga dapur.
Tanpa memikirkan tentang risiko dan bahaya, Mat Shah kemudian bertindak nekad meredah api menyelamatkan kedua-dua mangsa itu.
“Saya pernah berkhidmat dalam pasukan Polis Hutan dan PGA. Saya biasa kerja berkumpulan, jadi kebanyakan di tugas am ni, kerja secara bersendirian, tindakan tu banyak.
Saya juga pernah diberi penghargaan Polis Hutan, tapi secara berkumpulan. Kawan-kawan pernah berdepan sesuatu yang mencabar.
“Tapi inilah penghargaan yang begitu menyentuh hati saya sepanjang selama 39 tahun.
Mat Shah turut menerima sijil penghargaan daripada Polis Kontinjen Negeri Sembilan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop.
Credit:Fb Abd Manaf
Artikel berkaitan:Sjn polis redah api:Ibu berkorban untuk anak, polis untuk masyarakat
0 ulasan:
Catat Ulasan