Setiausaha DAP, Lim Guan Eng pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.
GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan isu wakil rakyat lompat parti akan dibawa ke mahkamah walaupun ia tidak termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan.
Menurutnya, tidak wajar bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertahankan tindakan wakil rakyat sedemikian sekiranya mereka mendakwa sebagai sebuah pentadbiran yang berpegang pada prinsip-prinsip bersih.
“Sebagai seorang beragama Islam, murtad itu tidak dibenarkan kenapa lompat parti boleh dalam politik? Kami akan tetap rujuk kes lompat parti ini ke mahkamah,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.
Mengulas isu yang sama, Guan Eng juga menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung isu lompat parti jelas melanggar prinsip pemimpin partinya terdahulu.
“Kenyataan Takiyuddin itu memang tidak patut dan jelas melanggar prinsip politik yang dipertahankan pemimpin Pas seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.
Semalam, media tempatan melaporkan tindakan wakil rakyat sama ada ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lompat parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengambil contoh Pulau Pinang yang melaksanakan undang-undang Akta Anti Lompat Parti, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, pelaksanaan kerajaan negeri itu tersekat kerana mereka perlu meminda Perlembagaan.
“Akta Anti Lompat Parti di Pulau Pinang tersekat kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan terlebih dahulu.
“Pengubalan akta berkenaan tertakluk kepada perintah mahkamah yang sebelum ini telah memutuskan sebarang undang-undang berkaitan anti lompat parti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah,” ujar Takiyuddin. – MalaysiaGazette
0 ulasan:
Catat Ulasan