Rabu, 15 Disember 2021

Covid-19: Jumlah kematian di AS lebih 800,000

 

Universiti Johns Hopkins melaporkan 50.2 juta jangkitan sejak kes pertama disahkan di Washington pada Januari 2019. - Gambar NYT

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) melepasi 800,000 pada Selasa, sekali gus berada di tangga teratas, lapor Universiti Johns Hopkins.

Institusi pendidikan terkenal berpangkalan di Maryland itu turut mendaftar lebih 50.2 juta jangkitan sejak kes pertama disahkan di negeri Washington pada Januari 2019.

Terdahulu, jurucakap White House, Jen Psaki memetik kajian baharu daripada Commonwealth Fund, yang menurutnya mendapati bahawa vaksinasi telah menyelamatkan lebih sejuta nyawa, menghalang lebih daripada 10 juta kemasukan ke hospital dan mencegah lebih daripada 35 juta kes Covid-19 sejak Presiden Joe Biden mengambil jawatan.

“Ini bukan secara kebetulan. Presiden menjadikan keutamaannya untuk memastikan vaksin tersedia kepada rakyat Amerika seawal mungkin,” kata Psaki.

Selepas varian Delta, yang menyebabkan peningkatan dalam bilangan kes di seluruh negara, AS kini dikejutkan dengan kebimbangan terhadap varian baharu Omicron, yang pertama kali dikenal pasti di Afrika Selatan.

Pihak berkuasa kesihatan AS mengumumkan kes pertama varian Omicron di California pada 1 Disember lalu. Pesakit itu adalah pengembara yang pulang pada 22 November dari Afrika Selatan dan disahkan positif pada 29 November.

Sejak itu, varian baharu telah dikenal pasti di sekurang-kurangnya 29 negeri dan Washington, DC.

AS mula memberi vaksin Covid-19 kepada rakyatnya pada 14 Disember 2020. Setahun kemudian, lebih 486 juta dos vaksin telah diberikan setakat ini di negara itu. – Agensi

0 ulasan:

Catat Ulasan