SWANSEA: Sekeping poskad yang hanya sampai ke destinasinya selepas 121 tahun diposkan, akhirnya mempertemukan generasi seterusnya seorang wanita, Helen Roberts, dengan ahli keluarga lain buat pertama kali.
Awal bulan lalu, poskad yang dipos pada 1903 itu tiba di alamat di Swansea, yang kini menjadi rumah menempatkan Persatuan Bangunan Swansea.
Persatuan Bangunan Swansea berkongsi di media sosial bahawa poskad itu tiba di alamat Cradock Street di Swansea bersama surat lain pada Jumaat.
Roberts masih tinggal di kawasan berkenaan, tidak jauh dari rumah di mana datuknya membesar.
Datuknya adalah adik kepada Ewart, pengirim poskad itu, manakala penerimanya ialah Lydia Davis.
Roberts berkata seorang wanita terlihat berita itu dalam media sosial dan meletakkan nama serta alamat tertera pada poskad berkenaan kepada Ancestry, sebuah agensi mengesan salasilah keluarga, yang memaklumkan kepadanya.
"Sebaik sahaja saya melihat alamat dan nama itu, saya terus mengenalinya sebagai rumah keluarga datuk saya ketika kecil dan Lydia sebagai kakaknya," katanya.
Rabu lalu, Roberts dan kakaknya Margaret Spooner bertemu dengan cucu Ewart, Nick Davies, dan cicit Lydia, Faith Reynolds.
Difahamkan, poskad itu dihantar oleh Ewart kepada kakaknya semasa dia tinggal bersama datuk dan nenek mereka di bandar pesisir pantai Fishguard di Pembrokeshire.
"Sangat menyeronokkan dapat bertemu dengan Nick dan Faith yang mempunyai pengetahuan mengenai keluarga mereka sendiri, dan mereka juga mendapat pengetahuan daripada sudut pandang kami.
"Kami terus berhubung dan bertukar e-mel. Semuanya sangat mengagumkan.
"Bukan sahaja hakikat bahawa poskad itu tiba, tetapi bagaimana ia menyambungkan keluarga dan sejauh mana ia tular di seluruh dunia. Ia benar-benar mengagumkan," katanya. - AGENSI
0 ulasan:
Catat Ulasan