PETALING JAYA: Jaguar Land Rover Malaysia melancarkan Range Rover L460 serba baharu, yang bakal mempelopori segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan ciri serba moden dan anggun.
Range Rover serba baharu yang menggabungkan kecanggihan teknologi dengan kemewahan moden itu adalah model pertama yang menggunakan Seni Bina Longitud Modular Fleksibel (MLA-Flex) Land Rover baharu.
SUV mewah generasi kelima itu dijual pada harga daripada RM1.268 juta untuk bebas cukai dan RM2.488 juta untuk cukai berbayar.
Ia menzahirkan falsafah reka bentuk moden Land Rover ke peringkat yang lebih tinggi dengan pentafsiran kontemporari profilnya yang terkenal.
Pengarah Urusan Bahagian Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Hong Kong & Macau, Jeffrey Gan, berkata dengan keupayaan hebat dan kecanggihan moden, Range Rover L460 menjadi model terbaharu dalam portfolio kenderaan bertaraf dunia.
"Sebagai sebuah SUV premium, kami yakin bahawa model baharu ini amat dinanti-nantikan dalam pasaran kereta mewah Malaysia yang semakin berkembang," katanya.
Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz pula berkata, Range Rover L460 mentakrifkan semula segmen SUV mewah dengan kehalusan hasil ketukangan dan teknologi terkini.
"Daripada reka bentuk kepada keupayaan inovatif dan ruang dalam yang serba mewah, Range Rover baharu sememangnya berada dalam kelas tersendiri, membolehkan pemandu menikmati pengalaman memandu yang tiada tandingan," katanya.
Reka bentuk unik tersendiri Range Rover L460 lebih menyerlah dengan garis tepi tanpa putus, yang memberikan penampilan gah dan menarik kepada badan Range Rover.
Antara ciri yang pertama kali diperkenalkan di dunia ialah lampu belakang tersembunyi sehingga dihidupkan yang memantapkan lagi paparan visual keseluruhan SUV terbabit.
Range Rover serba baharu itu membawakan ruang dalam yang moden dan canggih, disokong oleh -ciri reduktif hebat, bahan taktil dan pendekatan intuitif kepada teknologi relevan.
Antara fungsi yang ditampilkan untuk model terbabit ialah alat pengecas peranti tanpa wayar dan sistem infohiburan Pivi Pro yang dilengkapi skrin sentuh kaca terapung melengkung 13.1-inci dengan ciri maklum balas haptik.
Ia disokong oleh Skrin Pemandu Interaktif 13.7-inci baharu, yang menambah baik teknologi Pivi Pro dengan grafik definisi tinggi dan susun atur yang mudah disesuaikan.
Untuk memastikan proses memandu dan meletak kereta yang lancar, ciri ClearSight Ground View disertakan dengan Kamera Keliling 3D, membolehkan pemandu melihat 'menembusi' bonet, manakala lampu kendali menerangi permukaan pada kelajuan rendah untuk membantu pemandu memandu dengan selamat ke dalam ruang yang sempit.
Menyentuh aspek keselamatan pula, Range Rover L460 lengkap dengan ciri serba canggih termasuk Suspensi Udara Elektronik generasi akan datang dan Stereng Semua Roda Standard yang lebih stabil pada kelajuan tinggi dan jarak pusingan lebih kecil tidak sampai 11 meter, menjadikan kenderaan ini paling mudah dikendalikan.
Range Rover serba baharu juga dipacu dipacu enjin V8 4.4 liter 530PS, menghasilkan tork 750Nm pada 1,800 hingga 4,600 rpm yang turut digandingkan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang boleh dialihkan dengan lancar dan transmisi dwi-kelajuan untuk memberikan tahap kawalan lebih tinggi pada kelajuan rendah.
-BH Online
0 ulasan:
Catat Ulasan