Perdana menteri berkata ada kebenaran menyatakan bahawa kerajaan BN dulu ada ketirisan dan kes terlibat seperti 1MDB, tetapi dalam PN juga berlaku kerosakan.
“Ada kebenaran menyatakan bahawa kerajaan BN dulu ada ketirisan dan kes terlibat seperti 1MDB, tetapi dalam PN juga berlaku kerosakan dan banyak juga seperti perbelanjaan jana wibawa, isu tebatan banjir.
“Beberapa ketirisan lain dalam siasatan, ada yang tanya kenapa belum siasat…itu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa, dan ada tindakan undang-undang, itu urusan peguam negara.
“Kalau sabar, dalam masa terdekat ada berita baik untuk rakyat,” kata Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada penyumbang utama hutang negara adalah berkaitan pelbagai skandal kewangan berlaku zaman BN.
Radzi turut bertanya apakah tindakan perdana menteri yang juga memegang jawatan menteri kewangan seperti era pentadbiran perdana menteri ke-6 akan mengulangi skandal sama.
Mengulas lanjut, Anwar mempertahankan tindakannya memegang jawatan menteri kewangan dan ia bukan suatu masalah.
Katanya, perkara itu akan menjadi masalah jika seseorang pemimpin menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri.
“Soalnya sama ada kedudukan perdana menteri dan menteri kewangan itu menjadi masalah, dalam sejarah kita sama ada digabungkan atau tidak, itu bukan masalah, yang masalahnya adalah guna kedudukan rompak harta rakyat dan ini terpakai di banyak kalangan yang bersih sama ada belah sini, sana, jangan bimbang.
“Tetapi yang terpalit dengan rasuah, itu yang harus merasa tertekan dan bimbang, tetapi saya bertekad apa pun telahan dibuat saya akan tekad. Kerajaan perpaduan, saya akan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang dari segi rasuah yang berleluasa,” katanya.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan