PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akhirnya mendapat jawatan diidamkannya sejak 40 tahun dahulu, sehingga ke hari ini masih tergilakan pembawaan populis.
Dengan jawatan tertinggi disandangnya itu, beliau yang sedang memacu negara masih bermain politik mengangkat konotasi spekulatif dan meraih pencapaian secara muslihat.
Sidang media beliau dari mesyuarat Kabinet pertama hari ini cuba meletuskan perhatian tertinggi yang dilihat mensasarkan tarikan daripada umat Melayu-Islam.
Ini apabila beliau mengumumkan bahawa cabutan khas judi sebanyak 22 setahun telah diturunkan kepada lapan kali setahun bermula tahun 2023. Tetapi muslihat politiknya tidak berselindung, apabila dengan pengumuman itu juga mendobrak PERIKATAN NASIONAL (PN).
Beliau secara sinikal melambungkan spekulasi kononnya sumber kewangan bagi mendanai pilihan raya parti Melayu dan parti Islam di dalam gabungan itu adalah dari syarikat dan hasil judi yang berkaitan.
Atau sedar dia boleh mengundang tuduhan fitnah? Sedangkan umum mengetahui, semua ‘pendedahan’ pernah beliau lakukan selama ini sering dipampang bersama lampiran ‘kertas bukti’.
Bahkan, selalunya bersama sandaran dan penegasan ‘kukuh dan meyakinkan’. Kini hanya bermain bayangan, sebelum mengesahkan semakan dalam kedudukan beliau mengetuai dan memiliki sebuah kerajaan? Tidakkah itu terlihat dangkal?
Sebagai PM, Anwar sepatutnya menghentikan retorik sedemikian. Namun pengumuman itu tentunya sebagai modal menjelang pengundian PRN N.42 Tioman dan P.017 Padang Serai pada Rabu ini.
Juga mencari satu tenaga politik menjelang Sidang Dewan Rakyat 19 Disember depan, selain ia juga boleh menjadi isyarat kepada corak persaingan atau perseteruan akan beliau hadapkan kepada PN.
Anwar cuba mencari satu kemuliaan dengan pengumuman itu, namun di sebaliknya masih ada helah muslihat yang diselindungkan. Jika beliau benar serius menghapuskan judi, kenapa tidak sepenuhnya tetapi disisakan lapan cabutan khas itu?
Pengurangan cabutan itu sekadar mengurangkan kutipan hasil cukai kepada pihak kerajaan, tetapi ia tidak langsung menjejaskan operator atau pengendali judi yang ada di negara ini.
Cabutan judi biasa yang diadakan tiga kali seminggu di mana ia menjanakan keuntungan besar kepada tauke-tauke atau operator perjudian, serta membiakkan kegiatan tersebut, masih kekal seperti sedia kala.
Rekod Parlimen menunjukkan setahun penuh Malaysia berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tahun 2019 dahulu, kutipan cukai judi adalah tertinggi iaitu sebanyak RM3.43 bilion.
Berbanding sebelumnya di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) secara purata RM2.5 bilion. Ini menunjukkan walaupun ketika itu dikurangkan jumlah cabutan khas judi, tetapi nilai wang perjudian berada 130 kali ganda.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula sebelum ‘dijatuhkan’ telah berjaya membuat pengurangan sehingga kepada RM560 juta. Itupun, PAS tetap memberi bantahan keras untuk kerajaan menamatkan terus sebarang kegiatan dan hasil judi.
Sekiranya hasil kepada Kementerian Kewangan yang diketuai sendiri Anwar akan portfolio itu benar-benar komited menangani judi, sesuatu lebih utama patut dilakukan adalah kepada kegiatan tersebut di Genting Highlands.
Kasino dan kegiatan judi di situ adalah simbolik kepada usaha untuk menyatakan penolakan kepada judi, sebelum langkah seterusnya boleh digerakkan kepada kasino dan premis judi di seluruh negara.
Ini termasuk kegiatan atas talian atau perjudian tanpa lesen yang semakin bercambah semula. Jika beliau galak untuk menuding jari kepada PN, beliau patut bertanya bekas Menteri Kewangan yang kini bersama Kabinetnya.
Mungkin Anwar gembira dengan peluru sedang ditembaknya ini, tetapi bermuka-muka dan berpura-pura dengan isu ini kelak hanya memakan diri. Jika benar jantan, cuba berani bertindak seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ketiga-tiga negeri itu sebaik ditadbir PAS, tanpa ragu-ragu bertindak dengan menamatkan pengeluaran lesen judi serta mengawal arak yang merupakan industri dosa noda serta punca kejahatan dan masalah di seluruh dunia.
Hatta, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) merekodkan saham berkaitan arak dan judi menjunam sengsara mendapat berita perolehan kerusi tertinggi PAS pada PRU15 baru-baru ini. Namun, melonjak semula apabila Anwar mengangkat sumpah PM.
IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my – HARAKAHDAILY 5/12/2022
0 ulasan:
Catat Ulasan