Ahad, 4 Disember 2022

Prospek kuasa eksekutif Anwar mengerikan, kata Kadir Jasin

 

Tokoh wartawan veteran A Kadir Jasin berpandangan Anwar Ibrahim yang kini merupakan perdana menteri dan menteri kewangan mempunyai kuasa eksekutif yang besar dan merupakan satu propek yang ngeri.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan, Kadir menyorot bahawa Anwar sendiri menjustifikasikan pelantikan ahli parlimen yang mempunyai kes mahkamah menggunakan alasan "innocent until proven guilty" (tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya).

"Kebimbangan kita adalah hujah itu akan menjadi ‘self-fulfilling prophesy’. Ertinya, orang yang menggunakan hujah itu mungkin mahu pendapatnya itu menjadi kenyataan.

"Dan sebagai perdana menteri, Anwar mempunyai kuasa eksekutif yang cukup besar untuk menjadikan apa yang dia mahu jadi, terjadi. Satu prospek yang ngeri," katanya dalam satu tulisan di Facebook, hari ini.

Tulisan itu dilihat sebagai mengulas pelantikan jemaah menteri kerajaan pimpinan Anwar yang antara lain melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan pelantikan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industeri meskipun tewas pada PRU ke-15.

Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Anwar juga sebelum ini berulang kali mengkritik Najib Razak kerana memegang portfolio kewangan di kementerian ketika menjadi perdana menteri.

Sementara itu Kadir berkata, kerajaan apa pun yang diterajui Anwar, ciri-ciri yang baik hendaklah diutamakan.

Tegasnya kerajaan perpaduan tidak bermaksud angkat muat, tidak kira permata atau kaca, yang berakhlak atau tidak.

"Yang kalah dilantik menteri. Yang menang diketepikan. Ketidakadilan boleh meleraikan muhibah dan perpaduan.

"Kerajaan perpaduan, kerajaan campuran atau apa-apa pun nama yang diberikan, bukan saja harus memuaskan hati perdana menteri, menteri-menteri dan para penyokong mereka tetapi wajib ada integriti," jelasnya.

Lebih daripada itu kata Kadir, kerajaan harus memuaskan hati atau, sekurang-kurangnya menenangkan perasaan 14.82 juta rakyat jelata yang keluar mengundi.

"Malangnya, atas alasan kerajaan perpaduan, pelantikan kontroversial yang dulu dielakkan oleh kerajaan Pengerusi Perikatan Nasional) Muhyiddin Yasin dan Ismail Sabri Yaakob dilakukan," katanya.

-Ibnu Hasyim 

0 ulasan:

Catat Ulasan