Sabtu, 27 Ogos 2022

Zahid nafi takut hukuman punca desakan PRU15

 AHMAD Zahid pada majlis Taklimat Khas UMNO. FOTO ihsan Datuk Abdul Rahman Dahlan

AHMAD Zahid pada majlis Taklimat Khas UMNO. FOTO ihsan Datuk Abdul Rahman Dahlan

Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan desakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera kerana beliau takut kepada hukuman bagi kes rasuah yang dihadapinya.

Ini kerana katanya, beliau masih percaya bahawa sistem perundangan tidak memihak kepada mana-mana individu.

"Buat ahli Umno dan sekalian pemerhati ingin saya tegaskan, sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan, saya yakin orang itulah sebenarnya yang takut dengan hamba Allah yang bernama Ahmad Zahid Hamidi dan dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri sendiri dan takut dengan bayang-bayang.

Hakikatnya, saya membawa suara ahli Umno yang setia. Bukan suara sumbang yang ingin menguburkan Umno," katanya ketika berucap pada Taklimat Khas Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, desakan supaya PRU diadakan bukan kerana gilakan kuasa dan jawatan serta gopoh sebaliknya ia keputusan parti dan akar umbi.

Beliau berkata, parti konsisten menuntut PRU diadakan kerana menghormati mandat rakyat.

"Ini bukan keputusan Zahid Hamidi atau Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan). Ini suara dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi, Perhimpunan Agung Umno dan Perhimpunan Agung Khas Umno.

"Realiti sebenar adalah fakta menunjukkan senario politik yang terumbang-ambing meletakkan ekonomi negara kini dalam keadaan kian meruncing. Kestabilan dan kebajikan yang dilaungkan umpama sebuah dongengan belaka. Hakikatnya, politik yang stabil tidak akan bergantung kepada beberapa helaian kertas perjanjian semata-mata," katanya.

Justeru, katanya, beliau akan tetap lawan dan terus berdiri mengetuai Umno walaupun diperangi dari segenap penjuru.

-myMetro 

0 ulasan:

Catat Ulasan