Ahad, 28 Ogos 2022

Kes SRC:Lebih 101,000 tandatangan petisyen Najib tidak wajar diampunkan, 5,306 mohon Najib diberi pengampunan

 Lebih 101,000 tandatangan petisyen Najib tidak wajar diampunkan, 5,306 mohon Najib diberi pengampunan

Petisyen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kepada Yang di-Pertuan Agong agar Najib tidak wajar diampunkan kini mencecah lebih 101,000 tandatangan pada petang Jumaat. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Petisyen Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kepada Yang di-Pertuan Agong agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar diampunkan kini mencecah lebih 101,000 tandatangan pada petang Jumaat.
Petisyen yang digerakkan menerusi portal Change.org itu telah menunjukkan peningkatan sejak ia dilancarkan Rabu lalu.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, setakat 5.30 petang Jumaat, sejumlah 101,053 telah menandatangani petisyen yang disasarkan mencapai 150,000 tandatangan.
Menurut BERSIH, petisyen itu bagi meminta Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak menggunakan kuasa pengampunan terhadap Najib.
Sementara itu, satu lagi referandum yang dilancarkan oleh penyokong Najib pula sehingga kini mendapat 5,306 tandatangan.
Petisyen terbabit antara lain meminta Yang di-Pertuan Agong agar memberikan Pengampunan Diraja serta merta terhadap Najib.
Malah referandum itu turut meminta agar Yang di-Pertuan Agong menitah Ketua Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengarah Pesuruhjaya Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) SPRM untuk menghadap baginda berhubung bukti kes melibatkan Hakim Nazlan Ghazali.
-AstroAwani 

0 ulasan:

Catat Ulasan