Selasa, 28 Disember 2021

Tegur pihak persoal ‘halal haram’ bantuan makanan, wanita tak putus asa bersuara

 

Tangkap layar catatan Facebook Noor Shamera Hassan mengenai videonya.

PETALING JAYA: Noor Shamera Hassan tahu beliau akan berdepan situasi sukar apabila membuat kenyataan terbuka mengenai orang Islam yang mempersoalkan status halal makanan sumbangan orang bukan Islam kepada mangsa banjir.

Namun itu tidak mematahkan semangatnya.

Dalam klip video berdurasi 90 saat yang dimuat naik di media sosial, beliau menegur mereka yang disifatkannya mengamalkan dwistandard apabila rakyat hanya ingin meneruskan hidup selepas terjejas akibat banjir besar minggu lalu.

Beliau kelihatan beremosi dalam video berkenaan dan menyeru agar orang ramai agar berfikir secara rasional.

Video itu menjadi tular di media sosial dan tanpa disangkanya, menerima ribuan komen positif daripada orang Islam sendiri.

“Semestinya ada orang Islam lain yang menegur, siapa saya untuk bercakap mengenai halal dan haram. Namun saya tidak putus asa kerana saya sentiasa bersuara menegakkan keadilan.

“Namun, 90% daripada orang Islam yang meninggalkan komen menyokong (pendapat) saya, termasuk seorang ustaz yang memuji saya kerana bersuara,” kata wanita berusia 39 tahun itu kepada FMT.

Dalam video berkenaan, ibu kepada dua anak remaja itu membidas mereka yang bertanya sama ada makanan yang disumbangkan itu halal atau tidak, walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan dan mungkin boleh mati kelaparan.

“Saya nak tanya, waktu darurat macam ni, kamu semua masih nak tanya pasal halal dan haram? Orang yang tinggal di Malaysia mesti tahu tentang halal dan haram,” katanya dalam video itu, selain turut bertanya mengapa amalan lain yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pasangan belum berkahwin bebas berpegangan tangan tidak ditegur.

“Tahu tak betapa susahnya sukarelawan (berusaha) hantar makanan? Tak makan dan minum, cari dana, penat masak, naik bot, agihkan makanan semata-mata tak mahu kamu semua mati kelaparan.

Pendapat Noor Shamera Hassan turut disokong ramai orang Islam lain, termasuk bekas personaliti TV Normala Samsudin.

“Waktu darurat begini, sila hormati mereka yang menyumbang makanan.”

Apabila ditanya faktor yang mendorong beliau membuat video berkenaan meskipun tahu akan menerima reaksi negatif, beliau berkata, beliau kecewa melihat orang Islam menolak bantuan makanan daripada orang bukan Islam kerana ia dianggap tidak halal.

“Saya geram apabila makanan daripada gurdwara Sikh dipersoalkan walaupun mereka hanya menghidangkan makanan ‘vegetarian’. Diketahui mereka tidak masak daging dalam pekarangan gurdwara,” katanya.

Disebabkan video itu, Shamera mendapat lebih 20,000 pengikut baharu di akaun media sosialnya.

Ibunya yang bangga dengannya turut memintanya meneruskan apa yang sedang dilakukannya.

“Saya bersyukur atas sokongan ini. Saya juga ajar anak-anak saya tentang keperluan hidup bersama dalam masyarakat majmuk,” kata Shamera.

Tambahnya, tindakan orang Islam membantu membersihkan kuil dan orang bukan Islam membersihkan masjid di kawasan terjejas banjir menunjukkan bahawa rakyat dapat mengatasi rasisme.

“Saya ada ramai rakan bukan Islam dan sebagaimana mereka melihat begitu banyak kebaikan dalam Islam, saya juga lihat mereka sebagai insan yang baik.

“Jangan kita lupa bagaimana rakyat saling membantu. Jika kita tak dapat belajar toleransi melalui episod ini, saya khuatir masa depan kita akan kelam,” katanya.-FMT

0 ulasan:

Catat Ulasan