Jumaat, 3 Disember 2021

AS paling banyak buang sampah plastik di dunia

 

SAMPAH termasuk sisa plastik di pantai Costa del Este di bandar Panama. - AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merupakan negara penyumbang terbesar pencemaran sisa plastik di dunia berdasarkan laporan baharu strategi nasional bagi membendung krisis yang dihantar kepada Kerajaan Persekutuan. 

Laporan bertajuk Reckoning with US Role in Global Ocean Plastic Waste diberi mandat oleh Kongres sebagai sebahagian daripada Akta Save Our Seas 2.0 yang digubal menjadi undang-undang, Disember 2020. 

Secara keseluruhannya, AS menyumbang sebanyak 42 juta tan sisa plastik, 2016, iaitu dua kali ganda lebih tinggi dari China serta melebihi negara gabungan Kesatuan Eropah (EU). 

Secara purata, setiap penduduk AS menghasilkan sebanyak 130 kilogram (kg) sisa plastik setiap tahun, diikuti Britain 99 kg setiap orang untuk setiap tahun serta Korea Selatan, 88 kg setiap tahun. 

Ketua Pegawai Sains Monterey Bay Aquarium, Margaret Spring mempengerusikan jawatankuasa pakar yang menghasilkan laporan tersebut. 

Jelas beliau, kejayaan ciptaan produk plastik abad ke-20 juga menyebabkan banjir skala global dengan sisa plastik kelihatan di merata tempat.

Katanya, sisa plastik global adalah ‘krisis alam sekitar dan sosial’ yang memberi kesan kepada penduduk di kawasan pedalaman dan pantai sehingga berlaku pencemaran. 

“Pencemaran berlaku di kawasan sungai, tasik dan laut sehingga menyebabkan beban ekonomi terhadap penduduk, memberi ancaman terhadap binatang liar serta mencemarkan air yang menjadi sumber kebergantungan,” jelasnya.

Pengarah kempen barang plastik Oceana, Christy Leavitt menegaskan semua pihak perlu menghentikan tuding-menuding antara satu sama lain. 

Hal ini kerana, peranan AS yang menyumbang kepada krisis pencemaran plastik yang menjadi ancaman alam sekitar terbesar dihadapi lautan perlu dipandang serius. 

MENINGKAT 20 KALI GANDA 

Penghasilan sisa plastik global meningkat dari 20 juta tan pada 1966 kepada 381 tan pada 2015, sekali gus menyaksikan peningkatan 20 kali ganda dalam tempoh setengah abad. 

Laporan sama turut mendedahkan perhatian terhadap sisa lautan yang asalnya tertumpu kepada sumber berasaskan kapal dan marin semata-mata, kini diketahui hampir semua sampah plastik di kawasan darat berpotensi sampai ke lautan melalui aliran sungai. 

Hasil penyelidikan menunjukkan hampir seribu spesies hidupan laut terdedah kepada belitan plastik atau termakan mikroplastik yang kemudian melalui siratan makanan yang kembali kepada manusia. 

Laporan itu memperincikan anggaran lapan juta tan sisa plastik memasuki dunia setiap tahun yang bersamaan dengan lori sampah membuang sisa plastik ke lautan setiap minit. 

Pada kadar semasa, jumlah plastik yang dilepaskan ke lautan boleh mencecah sehingga 53 juta tan setahun menjelang 2030, kira-kira separuh daripada jumlah berat ikan yang ditangkap dari lautan setiap tahun.

 LANGKAH CADANGAN

Laporan itu menawarkan beberapa langkah bagi menangani krisis tersebut, antaranya mengurangkan pengeluaran bahan berasaskan plastik. 

Tindakan lain yang dicadangkan termasuk menggunakan bahan yang mudah lupus dengan lebih cepat serta lebih mudah dikitar semula. 

Selain itu, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan pengurusan sisa plastik lebih baik seperti teknik mengeluarkan mikroplastik daripada air sisa. 

Dalam pada itu, teknologi penangkapan sisa perlu ditambah baik bagi menghentikan plastik di laluan air serta membendung pembuangan plastik terus ke lautan. 

Laporan itu turut menyeru AS mewujudkan sistem penjejakan dan pemantauan bagi mengenal pasti sumber sisa dan titik panas. 

AS turut dicadangkan membangunkan strategi nasional selewat-lewatnya penghujung 2022. -UTUSAN

0 ulasan:

Catat Ulasan