Khamis, 8 Oktober 2020

Anwar sahkan menghadap Agong Selasa ini


ANWAR

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Beliau dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, Seri Paduka telah memperkenankan permintaannya untuk bertemu dan menetapkan tarikh tersebut.

"Pada majlis menghadap tersebut, saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

"Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing serta menghormati peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Pada 23 September lalu, Anwar memaklumkan sudah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong sehari sebelum itu, namun ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kukuh dan meyakinkan iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa sokongan itu terdiri daripada pelbagai parti termasuk yang menyokong kerajaan sedia ada, namun enggan mendedahkan jumlah sebenar yang menyokongnya.

-SH Online

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 KENYATAAN MEDIA

8 Oktober 2020
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.
Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober 2020, InshaAllah.
Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.
Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
ANWAR IBRAHIM

-Agen DSAI

0 ulasan:

Catat Ulasan