Selasa, 15 November 2022

KJ: Kes mahkamah pemimpin Umno takkan digugur, imej mesti dipulihkan


Khairy Jamaluddin berkata dia mahu memulihkan imej Umno dan menurutnya Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein juga sependapat dengannya.

“Ismail, Hisham dan saya sendiri agak tegas di mana kita mahu membawa Umno untuk memastikan imej kita dipulihkan,” katanya dalam temu bual dengan BFM.

Menjawab soalan berhubung imej Umno tercemar akibat rasuah, menteri kesihatan sementara itu menegaskan kes mahkamah tidak akan digugurkan sekiranya BN kembali berkuasa.

“Adalah sangat penting bagi pemimpin Umno seperti saya untuk menyatakan secara terbuka bahawa tidak akan ada campur tangan dalam proses kehakiman.

“Kita tidak mahu dikenali sebagai satu lagi parti yang menggugurkan kes membabitkan pemimpin parti dan ini penting.

"Saya telah memberitahu Ismail Sabri bahawa ini mesti menjadi pendirian kita apabila kita kembali berkuasa, sama seperti sebelum ini apabila dia (Ismail Sabri) tidak campur tangan dalam proses kehakiman, atau mempertimbangkan campur tangan sekali pun,” tambahnya.
Walaupun Khairy tidak menyebut "parti lain" yang dimaksudkannya, dia dipercayai merujuk kepada DAP dan kes "banglo" terhadap pengerusi parti itu, Lim Guan Eng.

Bekas presiden Umno Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, manakala presiden semasanya, Ahmad Zahid Hamidi berdepan dengan tuduhan rasuah.

Bukan lagi parti ‘bossku’

Sementara itu, Khairy berkata dia percaya Umno adalah "parti yang baik terdiri daripada orang yang baik" dan mereformasikannya bukanlah agenda yang jauh.

“Kami tahu akan ada pemilihan parti sejurus selepas pilihan raya umum (PRU), sebab itu anda mempunyai barisan pemimpin baru ini, bukan sahaja saya tetapi seperti (ketua penerangan Umno) Shahril Hamdan dan (bekas timbalan ketua Pemuda Umno) Khairul Azwan Harun.

“Saya mahu melihat mereka memenangi tempat di peringkat bahagian, saya mahu melihat mereka menggantikan beberapa pemimpin lama untuk menunjukkan Umno sedang berubah. Ini bukan projek lima atau 10 tahun, ia akan berlaku selepas pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada Umno boleh melakukan pembaharuan dari dalam, Khairy berkata perkara itu mungkin tidak dapat dilakukan pada masa lalu.

“Tetapi kita telah melalui perlbagai kesukaran. Kita kehilangan kerajaan dan ada kesedaran di lapangan,” tambahnya.

Khairy turut mengimbas kembali keputusannya untuk bertanding jawatan presiden Umno selepas PRU 2018.

“Semua orang menyangka saya adalah perosak undi tetapi saya melihat Ku Li (veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah) sebagai perosak undi. Jika undi kami (undi untuk mereka berdua) digabungkan, saya sudah menjadi presiden Umno,” katanya lagi.
Menjawab soalan lain mengenai pembaharuan dalam Umno selepas sudah dua dekad dalam parti itu dan memegang pelbagai jawatan, Khairy menjawab: “Saya rasa pembaharuan sentiasa ada. Sesetengah orang berkata… ia mengambil masa tetapi saya rasa saya sudah bersedia sekarang, saya telah matang sebagai ahli politik..”

Mengenai sokongannya kepada Najib di tengah-tengah skandal 1MDB yang dilihat bercanggah dengan agenda pembaharuan yang dicanangnya, Khairy menjawab bahawa banyak perkara yang telah terbongkar dari dalam.

“Banyak perbezaan pendapat dalaman berlaku (semasa kemuncak skandal) dan sudah tentu itu bukan alasan, tetapi secara luaran, kami mahu mempamerkan perpaduan menjelang pilihan raya lalu.

“Sudah tentu, selepas kami kalah, saya membuat keputusan bahawa sudah cukup, kita tidak boleh teruskan ini, ini bukan ‘parti bossku’ lagi…” tambahnya.

Khairy, yang akan bertanding di Sungai Buloh pada PRU kali ini, juga mengakui bahawa dia sepatutnya lebih lantang sebelum ini.

“Itu mungkin akan menjadi salah satu penyesalan terbesar saya dalam karier saya tetapi kita melakukan kesilapan dan kita mengakuinya, dan mudah-mudahan, kita boleh menebusnya,” tambahnya.

-Wak Labu Farm

0 ulasan:

Catat Ulasan