Jumaat, 17 Oktober 2025

Pempengaruh Media Sosial Rambo Castello Meninggal Dunia di Indonesia

 Pempengaruh Media Sosial Rambo Castello Meninggal Dunia di Indonesia

Oleh Mynewshub | 17 Oktober 2025

KOTA BHARU – Pempengaruh media sosial terkenal, Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, dilaporkan meninggal dunia awal pagi ini di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta, Indonesia, selepas lebih seminggu ditidurkan akibat serangan jantung.

Berita pemergian Rambo Castello, yang juga mesra disapa sebagai Cikgu Li, disahkan anak ketiganya, Hafizul Fazli, 30.

Menurutnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.38 pagi waktu Indonesia, di sisi beliau dan ibu, Asiah Abdullah, 55.

“Jenazah bapa akan dibawa pulang ke Kampung Wakaf Zing, Jeli dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam berdekatan rumah.

“Kami sedang menguruskan proses membawa pulang jenazah dan dijangka tiba ke kampung hari ini,” katanya ketika dihubungi media.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Allahyarham dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital berkenaan sejak 5 Oktober lalu selepas diserang sakit jantung ketika berada di Indonesia.

Difahamkan, Rambo Castello merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, selain aktif sebagai pempengaruh media sosial yang sering berkongsi pandangan dan pengalaman dalam bidang pendidikan serta isu masyarakat.

Pemergian beliau mendapat perhatian ramai rakan serta pengikut di media sosial yang menzahirkan ucapan takziah dan doa agar rohnya dicucuri rahmat.

Al-Fatihah.

#mynewshub

0 ulasan:

Catat Ulasan