Mukhriz Mahathir lihat PAS bersedia untuk ke Putrajaya
September 15, 2025
ALOR SETAR: Presiden PEJUANG, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir berkata, sudah tiba masanya kepimpinan bercirikan Islam diberi peluang untuk membuktikan kebaikan serta keberkesanannya dalam pentadbiran negara.
Menurut beliau, kepimpinan berasaskan nilai Islam bukan sahaja berupaya melahirkan pemerintahan berintegriti, malah mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya kira perlu diberi peluang kepada kepimpinan yang bercirikan Islam supaya ditonjolkan kebaikannya dan bukannya dilihat daripada imej yang kurang baik akibat tindakan pihak tertentu yang mencemarkan nama Islam,” katanya.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.
Beliau menyifatkan ucapan Tuan Guru sebagai menyeluruh kerana tidak hanya membincangkan isu-isu dalam negara, malah turut menyentuh perkembangan antarabangsa.
Katanya, pendekatan yang ditampilkan Ahli Parlimen Marang itu menunjukkan PAS bersedia mengemudi negara dengan corak kepimpinan baharu yang lebih inklusif.
“Saya juga lihat bahawa cara Tuan Guru mengemudi parti ini, iaitu parti PAS, terdampak kesediaannya untuk menuju ke arah Putrajaya. Ini satu perkembangan yang baik.
“Tambah-tambah lagi apabila beliau menyentuh beberapa isu berkaitan yang mungkin (selama ini) sensitif bagi kaum-kaum yang beragama lain berkenaan dengan persepsi mereka terhadap PAS.
“Ini sesuai dengan masanya kerana kita memerlukan cara kepimpinan yang berbeza dengan apa yang telah kita lalui sebelum ini tambah-tambah lagi yang ada sekarang ini yang bagi saya sentuhan dari segi keagamaan itu penting.
“Bukan untuk menidakkan hak orang lain sebaliknya untuk menonjolkan ciri-ciri kepimpinan yang mempunyai nilai murni iaitu yang sangat didambakan oleh rakyat Malaysia tak kira agama dan kaum,” ujarnya.
Terdahulu Tuan Guru menyampaikan ucaptama pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke 71 yang bertemakan Kembali Kepada Penyelesaian Islam.
Beliau berkata, negara sedang menyaksikan keruntuhan moral, politik yang zalim dan menipu, keruntuhan sistem ekonomi sehinggalah kemusnahan alam sekitar.
Selain itu kata beliau lagi, politik yang menjadi amanah telah bertukar menjadi peluang bagi mendapatkan pangkat dan harta sehingga menipu, khianat penyewengan dan rasuah. – HARAKAHDAILY 15/9/2025
#MuktamarPAS71
#KembaliKepadaPenyelesaianIslam










0 ulasan:
Catat Ulasan