Isnin, 1 September 2025

Rafizi kata ‘baik’ PAS tidak cukup untuk selesaikan masalah negara.

 Biar betul Rafizi…

Rafizi kata ‘baik’ PAS tidak cukup untuk selesaikan masalah negara.

Ingin saya bertanya, ‘baik’ PKR (PH), selesaikah masalah negara? Maju sangatkah negara dan negeri yang ditadbir PKR sekarang ini? Masa Rafizi menjadi menteri ekonomi dengan formulanya, hebat sangatkah kementerian dan ekonomi negara yang dijaganya ketika itu? Selesaikah masalah negara? Minta maaflah cakaplah, saya tidak nampak sangat. 

Saya bersetuju dengan Rafizi, bahawa dalam PAS ni ramai orang baik-baik. Hatta, dalam mana-mana partipun ada sahaja orang baik. Tetapi untuk mengatakan bahawa baiknya PAS tidak cukup untuk selesaikan masalah negara, itu tidak berapa nak kena. 

Seolah-olah kita ada persepsi yang orang PAS tidak pandai untuk mentadbir. Wal hal dalam PAS, ada ramai sahaja professional yang pandai mengurus dan mentadbir,  dalam PAS, bukan orang agama sahaja. Takkan Rafizi tak tahu semua ini?

Satu lagi perkara, benarkah orang agama tidak pandai mengurus dan mentadbir? Belajarlah daripada sirah dan sejarah negara Islam yang ditadbir dan ditadbirkan oleh orang agama. 

Ada je, orang agama mengajar dan mengaji agama, buka kitab di pondok, pandai mengurus dan mentadbir. Lagipun, katakanlah orang agama yang menjadi PM, dia kurang pandai mentadbir dan mengurus, sudah tentu dia akan melantik professional dan pembantunya yang hebat untuk membantunya. Takkan nak biarkan negara diuruskan oleh seorang PM sahaja. 

Katakanlah saya menjadi PM, bidang saya bidang sains politik, okaylah katakanlah bidang saya bidang agama. Bila saya jadi PM, sudah tentu akan bentuk satu cabinet yang di dalam terdiri kepelbagaian bidang mengikut kementerian yang diterajui. Takkan saya nak lantik semua orang agama menerajui setiap kementerian. Saya tidak fikir PAS berpandangan sedemikian rupa. Tengok di Terengganu dan Kedah sudahlah. Menteri Besarnya, bukan pun terdiri daripada kalangan ‘orang agama”.

Tengok balik sejarah, ketika BN memerintah. Orang agama akan dilantik menerajui kementerian tertentu, yang berkaitan dengannya. Kalau pun dilantik orang agama menerajui kementerian yang kononnya tidak berkaitan dengan bidang, katakan kementerian Kementerian Kesihatan, pada saya pun tidak ada masalah, kerana di dalam KKM itu sendiri, penuh dengan pegawai kesihatan yang boleh membantu. Seseorang pemimpin, tidak semestinya pakar dalam bidang, tetapi mesti pandai berfikir, seterus membuat delegasi tugas, pengurusan dan pentadbiran. 

Timbalan Perdana Menteri sendiri, Zahid Hamidi, pernah menjadi Menteri di JPM, menjaga hal ehwal agama, walaupun bidangnya bukan agama, suatu ketika dahulu. Saya tengok okay je, beliau memimpin kementerian agama tersebut. Hebat je, kementerian agama yang dipimpinnya ketika itu.

Kenapa kita perlu bersangka buruk, apabila orang agama memimpin, jadi tak berapa molek? Tetapi apabila professional memimpin jadi molek? Ramai jer professional, apabila menjadi pemimpin mereka menjadi, sebaliknya, harapkan pagar, pagar makan padi?  

Saya tidak fikir, katakanlah jika PAS (PN) berjaya memerintah negara, PAS akan lantik Hadi Awang sebagai PM? Saya tidak fikirpun Hadi Awang akan jawatan tersebut? Laluan pasti akan  diberikan kepada professional lain dalam PAS. 

Namun, saya setuju, kepemimpinan tertinggi dalam PAS mesti diterajui oleh orang agama, untuk menjadi memimpin PAS ke jalan yang diredhai Allah swt. Profesional yang ramai itu boleh diberikan laluan memimpin negara dengan nasihat orang agama. Sebab itu muncul, kata-kata memprofesionalkan ulamak, dan mengulamakkan professional. Profesional yang secular dan jauh dari agama, hanya akan merosakkan negara. 

Sebab, kita kita dapat lihat, apabila professional jauh daripada agama, rasuah dengan menjadi barah dalam negara sehingga ke hari ini. Apabila professional PH menguruskan kerajaan dan negara, adakah rasuah tidak berlaku? Malah makin menjadi-jadi sekarang ini? 

Kenapa Rafizi tidak komen, bagaimana pula dengan orang belajar dalam bidang sastera seperti saya, contoh bidang sejarah, Bahasa Melayu, sains politik, geografi dan lain-lain. Bidang penghususan ini lebih kurang sahaja epistimologi dan cara mengajinya, adakah mereka tidak tahu mengurus dan mentadbir negara? 

PMX sendiri, bidang sastera juga, boleh pulak jadi PM dan Menteri Kewangan? Bila pulak PMX pernah ambil subjek kewangan, ekonomi dan akaun. Kenapa kita tidak kata, baiknya pemimpin PKR, mengaji dalam bidang Bahasa Melayu dan sejarah, tidak cukup untuk selesaikan masalah negara? 

Adakah orang yang berkelulusan dalam bidang sains, kejuruteraan, ekonomi dan akaun sahaja yang pandai mentadbir dan mengurus ekonomi negara dan dapat menyelesaikan masalah negara?

Sebagai saudara seIslam, saya ingin mengingatkan Rafizi, kita ini di mana pun berada, di dalam dan di luar kerajaan, tanggungjawab kita sebagai khalifah mesti dilaksanakan, amar makruf nahi mungkar.

Kita tidak boleh kata, apabila berada dalam kerajaan, kita tidak boleh banyak bercakap, mengkritik dan menegur. Namun, apabila berada di luar kerajaan, baru kita berani atau bebas menegur? Tak boleh macam tu? Islam tetap Islam, di mana-mana kita berada. Kita ada tanggungjawab sebagai hamba. Sokong perkara baik, cegah perkara mungkar. Tak boleh cakap bila berada dalam kerajaan, tak boleh tegur, di luar baharu boleh. 

Kata-kata sebegini tidak molek didengar. Ini kerana ia bertentangan dengan cara hidup dan prinsip agama Islam itu sendiri. AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR, tidak mengira tempat di mana kita berada. Inilah prinsip asas hidup beragama.

Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

30/8/2025

0 ulasan:

Catat Ulasan