Jumaat, 23 Februari 2024

Sinopsis Filem:TIGER STRIPES (2023)

 TIGER STRIPES (2023)

1. Pengarah filem Tiger Stripes, Amanda Nell Eu ada menulis hantaran di FBnya yang dikongsi oleh Malaysiakini (Oktober 20, 2023) di mana Amanda menyatakan kekecewaan apabila filem arahannya telah banyak dipotong oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) Malaysia. Amanda turut membuat penegasan dengan ayat berikut: “The film that will be shown in local cinemas is not the film that we made and it is not the film that won the Grand Price of Critics Week in Cannes”.

2. LPF telah mengarahkan banyak babak dalam filem tersebut dipotong. Filem ini telah ditayangkan di GSC Mid Valley Kuala Lumpur pada Oktober 2023.

3. Saya telah menonton filem ini di Netflix malam tadi. Selepas menontonnya barulah saya nampak dan faham kenapa LPF memotong banyak babak dalam filem ini. Saya percaya versi di Netflix adalah versi asal. Kandungan cerita ini jelas menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu Islam di Malaysia. 

4. Secara peribadi kandungan filem ini telah menyinggung perasaan beragama dan Melayu saya. 

5. Sinopsis – kisah Zaffan 12 tahun budak perempuan sekolah rendah yang nakal hadapi trauma apabila datang bulan buat kali pertama ketika capai akil baligh. Akhir cerita Zaffan buang telekung dan lari masuk ke dalam hutan dan menari-nari kegembiraan di anak sungai tanpa menutup aurat. 

6. Isu budak perempuan atau remaja wanita datang bulan adalah satu isu besar dalam masyarakat Melayu Islam. Selemah-lemah iman seorang ibu Melayu akan mengambil berat kepada anak perempuan mereka yang mengalami ‘datang bulan’ kali pertama. Ibu Melayu akan beritahu anak-anak perempuan mereka tentang syariat ‘datang bulan’. Antaranya tentang mandi wajib dan menjaga kebersihan diri. Ibu Melayu juga akan fahamkan kepada anak-anak mereka datang bulan bukanlah sesuatu yang hina. Cuma aib dan malu untuk bercerita secara terbuka kepada orang lelaki walaupun kepada adik beradik lelaki atau bapa sendiri. Hatta di sekolah sekali pun para guru akan membantu dan mendidik anak murid mereka yang tiba-tiba datang bulan. 

7. Tapi dalam filem ini tidak digambarkan institusi keluarga Melayu dan sekolah Melayu membantu dan mendidik isu ‘datang bulan’ ini. 

8. Tidak salah untuk mengangkat cerita tentang budak Melayu ‘datang bulan’. Tapi bila Melayu dan masyarakat Melayu yang dijadikan bahan dan konflik cerita, naratif penceritaan harus dilihat dari sudut pandang (point of view) masyarakat Melayu Islam. Kandungan filem ini tidak memberi gambaran sebenar tentang syariat ‘datang bulan’ orang Melayu dan tentunya ianya akan ‘mislead’ penonton antarabangsa.

9. Tidak boleh ianya datang dari sudut pandang pengarah dan penulis lakon layar seorang bukan Islam yang tidak faham dan tidak mendalami syariat Islam. 

10. Penggunaan elemen metafora di mana Zaffan kena rasuk dan bertukar menjadi harimau jadian akibat dari pengalaman pertama ‘datang bulan’ itu juga adalah sesuatu yang excessive dan melampau. 

11. Tegasnya, Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. 

12. Kandungan filem ini memaparkan secara buruk seolah-olah masyarakat Melayu beranggapan datang bulan adalah sesuatu yang kotor dan hina. Jalan cerita memaparkan bagaimana kotor, busuk dan penyakit yang berpunca dari datang bulan itu menjadi punca beberapa pelajar perempuan Melayu diserang histeria adalah satu exegeratian (berlebih-lebihan). Babak akhir dan penutup Zaffan menari-nari di anak sungai tanpa menutup aurat juga adalah exegeration. 

13. Keseluruhan cerita tidak ada nilai murni yang boleh diambil. Tidak ada elemen ilmu malah yang jelasnya ia sebuah filem yang menggambarkan betapa teruknya sikap dan cara masyarakat Melayu mengendalikan isu datang bulan ini. Dan akhiran cerita ini juga tidak ada solusi yang jelas. 

14. Saya galakkan masyarakat Melayu menonton filem ini di Netflix dan buat penilaian sendiri. Kita boleh berbeza pendapat dan boleh tidak bersetuju dengan saya.

15. Selepas tonton ‘tepuk dada tanya iman’. 

16. Selepas saya tepuk dada tanya iman, saya sangat tersinggung dengan opening scene Zaffan pakai tudung dan ending scene Zaffan buka aurat dipaparkan menari-nari di anak sungai memakai singlet dan seluar pendek. Secara semiotik dalam subtext babak ini memperlekeh dan memperleceh syariat Islam.

Sumber: Fb Zabidi Mohamed 

0 ulasan:

Catat Ulasan