Israel hancurkan Gaza: Angelina Jolie kecam pemimpin dunia
LOS ANGELES, California: Pelakon tersohor Hollywood, Angelina Jolie mengecam pemimpin-pemimpin dunia kerana keengganan mereka bersatu menuntut gencatan senjata kedua-dua Israel dan Hamas yang terbabit dalam konflik di Gaza ketika ini.
“Dengan enggan menuntut gencatan senjata kemanusiaan dan menghalang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) daripada menuntutnya (genjatan senjata) kepada kedua-dua pihak (Israel dan Hamas), pemimpin-pemimpin dunia terlibat dalam jenayah ini!” tegas Jolie dalam hantaran Instagramnya, @angelinajolie yang dimuatnaik pada hari ini, Khamis (2 Nov).
“Sementara dunia memerhati dan dengan sokongan aktif banyak kerajaan, jutaan orang awam Palestin – kanak-kanak, wanita, keluarga mereka sedang dihukum secara kolektif dan tidak berperikemanusiaan (oleh Israel), sementara mereka menghadapi masalah kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
“40 peratus daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak yang tidak bersalah. Seluruh keluarga mereka dibunuh,” tambah Jolie, 48, yang memuatnaik foto kemusnahan teruk di Kem Pelarian Jabalia yang dibom tentera Zionis Israel dua hari berturut-turut mengorbankan ratusan nyawa.
“Ini adalah pengeboman yang disengajakan terhadap penduduk yang terperangkap yang tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.
“Gaza telah menjadi penjara terbuka selama hampir dua dekad dan pantas menjadi kubur besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023
0 ulasan:
Catat Ulasan