PIHAK berkuasa dilaporkan telah menyerbu sebuah gudang di Senai, Johor Bahru semalam sekaligus membongkar kegiatan kartel yang membawa masuk daging sejuk beku dari luar negara seperti China, Ukrain, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh negara.
Kartel berkenaan telah menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk menghasilkan label dan cap halal palsu sebelum ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula.
Tindakan itu membuatkan pemborong di Malaysia yakin bawa bekalan daging sejuk beku tersebut diperolehi dari negara yang mendapat kebenaran import untuk diedarkan dalam pasaran tempatan.
Kerja pembungkusan semula daging-daging berkenaan dilakukan oleh warga asing yang mengambil upah, serta diberikan kemudahan asrama untuk menginap di situ.
Serbuan berkenaan berjaya merampas sejumlah 1535 sejuk buku yang dianggarkan bernilai RM30 juta kata Saiful Yazan Alwi, Ketua Pengarah Maqis (Jabatan perkhidmatan kuarantin dan pemeriksaan Malaysia).
"Buat masa ini kita masih menyiasat lagi bagaimana daging sejuk beku yang kebanyakannya diseludup dari China, Ukrain, Brazil dan Argentina boleh terlepas masuk," katanya seperti yang dipetik oleh Sinar Harian.
Menurutnya antara modus operandi kartel terbabit adalah dengan mendapatkan stok daging sejuk beku dari luar negara sebelum diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
"Bagi memastikan kegiatan penyeludupan terbabit berjaya, mereka akan menggunakan dokumen palsu termasuk borang kastam, permit import, Sijil halal atau pun resit bayaran,"
"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sedikit turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai," katanya.
Menurutnya lagi, selepas itu daging daging terbabit akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan.
Pemeriksaan lanjut juga menunjukkan daging yang dicurigai itu kemudian akan dibungkus semula di dalam sebuah bilik yang dilengkapi mesin pemotong.
Kerja kerja pembungkusan itu pula difahamkan dilakukan oleh beberapa pekerja warga Bangladesh.
"Daging atau organ dalaman tersebut akan dimasukkan di dalam kotak sebelum ditampal dengan pelekat serta dicap dan di label seakan-akan daging terbabit adalah halal,"
"Hasil siasatan mendapati cap logo berkenaan ditempah dari sebuah premis percetakan di Ulu Tiram dekat sini. Malah, kita juga mengesan pembuatan pelekat yang dihasilkan sendiri di gudang berkenaan," dedahnya.
Daging 'halal' yang sudah siap dibungkus semula kemudian akan diletakkan dalam peti simpanan bersuhu -18 darjah celcius. Malah ia juga dicampur dengan susunan daging lain yang memiliki sijil halal yang sah.
Menurutnya siasatan awal mengesyakki daging-daging berkenaan adalah daripada sumber yang diperolehi dari tempat penyembelihan tidak sah dan tidak diiktiraf oleh pihak Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.
"Dalam gudang ini ada daging yang sah dan tidak sah. Kita percaya kalau daging itu halal mereka tidak akan buat pembungkusan semula,"
"Selain itu beberapa barang lain turut ditemui antaranya cap halal serta pelekat palsu yang digunakan sindiket berkenaan," katanya.
Sehingga kini siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sejak bila kegiatan itu mula beroperasi selain mengesan rangkaian sindiket yang lain.
"Kita masih menyiasat lokasi daging terbabit diedarkan," katanya.
Sumber — https://www.milosuam.net/
0 ulasan:
Catat Ulasan