SITI ZAILAH (kanan) sempat berbual dengan seorang lelaki warga emas yang mempunyai 16 orang anak tetapi terpaksa tinggal berseorangan di salah sebuah penempatan di Seremban kelmarin.
REMBAU – Tiada siapa menyangka seorang lelaki warga emas yang mempunyai 16 orang anak kini terpaksa hidup bersendirian di sebuah rumah daif di Seremban.
Situasi menyayat hati itu disaksikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff dan sekumpulan pegawai kementerian yang melakukan program turun padang untuk menyantuni masyarakat setempat kelmarin.
Menurut Siti Zailah, pihaknya baharu sahaja menyantuni warga emas berusia lingkungan 70-an itu yang tinggal bersendirian di sebuah penempatan di Seremban.
Katanya, warga emas berkenaan mempunyai 16 orang anak hasil empat perkahwinan dan ada antaranya menjawat jawatan sebagai penjawat awam.
“Anak 16 orang, keadaan rumah yang sangat daif, agak tak selesa.
“Lebih 30 sukarelawan termasuk kakitangan agensi kerajaan serta pihak berkuasa datang mencuci rumahnya.
“Walau siapapun bapa kita, dia bapa kita. Tiada orang lain boleh ganti bapa kita. Saya sangat tersentuh hati apabila dia ada 16 orang anak, tetapi terpaksa mengharapkan jiran dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui sempena Program Jelajah Skuad Waja Peringkat Negeri Sembilan di Kampung Batang Nyamor di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Siti Zailah mengharapkan agar anak-anak di luar sana dapat menghargai dan bertanggungjawab kepada orang tua masing-masing.
“Macam warga emas ini, anak-anaknya ada datang, namun hanya sampai di pintu rumah sahaja dan tidak masuk ke dalam. JKM dah bantu melalui elaun warga emas sejak tahun 2017 lagi.
“Ini antara beberapa kes yang kita santuni bersama Skuad Waja dan kita ada lebih kurang 320,000 ahli Skuad Waja yang bersedia bergerak secara sukarela membantu golongan memerlukan,” katanya. -KOSMO! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan