Isnin, 4 Januari 2021

Karikatur komunis di restoran: MCA sifatkan tindakan polis terlalu keras

 

SHAH ALAM - Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng menyifatkan tindakan polis menyerbu serta merampas pelbagai gambar dan cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis pada dua premis restoran di Georgetown, Pulau Pinang adalah terlalu keras.

Menurutnya, beliau berpandangan kertas dinding dengan gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong itu hanyalah sekadar digunakan sebagai hiasan.

"Saya menasihatkan pihak berkuasa agar tidak terlalu agresif dan menangani perkara itu dengan cara yang lebih mesra.

“"Pada masa sama, saya juga berharap agar netizen tidak menjadikan perkara ini sebagai isu perkauman untuk mengelakkan merosakkan keharmonian antara kaum dan juga hubungan persahabatan antara Malaysia dan China," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Terdahulu, sebuah restoran yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China menjadi tular di laman sosial WhatsApp dan Facebook, sekali gus mendapat kecaman netizen.

Susulan itu, polis mengesahkan pihaknya telah membuat serbuan dan rampasan terhadap dua premis restoran tersebut pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, siasatan awal mendapati restoran di Juru dan di Pulau Tikus di sini adalah kepunyaan pemilik yang sama iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Nga Kor Ming bakal saman PDRM RM10juta kerana cabut perhiasan komunis di restoran Cina

Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik restoran itu yang menghiasi gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.

Sementara itu, Teik Cheng dalam kenyataan yang sama turut menyamakan kertas hias dinding karikatur Mao di restoran tersebut dengan senario di mana orang Malaysia memasang gambar Tunku Abdul Rahman ketika membuka restoran di luar negara.

Beliau yang juga Pengerusi biro MCA mengenai hubungan China berkata, tindakan pemilik restoran tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai agenda untuk mempromosikan ideologi tertentu.

Katanya, tindakan pihak berkuasa yang terlalu sensitif dalam berhadapan dengan isu berkenaan dikhuatiri berpotensi untuk merosakkan hubungan baik antara Malaysia dan China yang boleh dilihat melalui aspek ekonomi dan perdagangan ketika ini.

"Dari tahun 2013 hingga separuh pertama tahun 2020, China telah melabur sejumlah RM9.1 bilion di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

"China juga memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia memerangi wabak Covid-19," katanya.

Restoran yang mempamerkan wajah pemimpin komunis telah diambil tindakan oleh polis.

-SH Online

APA KATA PRESIDEN ISMA BERKENAAN KENYATAAN DIATAS 

Kenyataan Naib Presiden MCA ini sekali lagi manampakkan parti berkenaan tidak sensitif dengan masyarakat di negara ini terutama para prajurit yang telah berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negara ini. 

Ini menampakkan wajah sebenar MCA dan apa yang mereka perjuangkan. Apakah mempromosikan pejuang-pejuang komunis itu dianggap biasa-biasa? Atau apakah ini satu usaha normalisasi atau lebih parah lagi satu usaha untuk membangkitkan kembali semangat yang sudah lama hilang? Kalaulah benar ianya sekadar hiasan, maka apakah tidak ada lagi gambar lain untuk dijadikan hiasan? 

Persoalannya mereka bukannya tidak tahu sensitiviti perkara ini kerana ia telah disuarakan banyak kali. Tidakkah mereka lupa peristiwa pembawaan pulang abu mayat Chin Peng dan perkumpulan besar-besaran mengenang perjuangan komunis di Kajang dua tahun lalu yang dihadiri sendiri oleh wakil-wakil rakyat?

Yang lebih aneh ialah, bukan pemilik restoran itu yang ditegur oleh MCA tetapi pihak polis pula yang dipersalahkan kerana kononnya bertindak keras. Adakah MCA sebenarnya dalam diam memang menyokong ideologi komunis? 

Bagaimana nanti kalau ada perarakan mereka yang memakai baju dan sepanduk pejuang-pejuang komunis? Adakah kita perlu biarkan? Apakah MCA ingin menggunakan alasan 'menghormati hubungan dengan negara China' lagi? Ini bukan isu sentimen perkauman tetapi ini isu keselamatan negara kerana kita semua memang maklum bahawa wujudnya gerakan untuk mengembalikan ideologi komunis ke dalam masyarakat dengan penuh licik dan bersistematik. 

Sebenarnya MCA sedang cuba untuk mencari talian hayat kerana mereka sudah tidak mendapat sokongan kaum Cina. Mereka akan mencuba segala upaya untuk menarik sokongan kaum Cina walaupun ianya terpaksa melanggar adab-adab keharmonian kaum dan lunas undang-undang apatahlagi prinsip dan ideologi perjuangan mereka.

Eloklah keberadaan MCA dalam BN dinilai kembali kerana mereka sudah tidak relevan dan tidak mungkin BN boleh mengharapkan apa-apa undi dari kaum cina melalui MCA lagi kerana apa bezanya sangat mereka dengan DAP. PRK Tg Piai menjadi bukti bahawa MCA hanya mengharapkan talian hayat daripada orang Melayu semata-mata. Tetapi selepas menang, mereka terus lagi dengan kebiadapan mereka dan malah lebih melampau-lampau lagi.

Setakat ini, saya tidak dengar apa-apa berita tentang persidangan UMNO bahagian yang membangkitkan usul mengenai MCA. Apa yang penuh di dada-dada akhbar hanyalah mengenai usul menolak BERSATU. Sudah tidak terkira siri-siri isu kebiadapan MCA yang timbul, dalam tempoh hanya kurang setahun. Apakah itu masih tidak cukup untuk menjadikannya satu agenda dalam persidangan mana-mana parti Melayu terutamanya UMNO? 

Dengan pelbagai kebiadapan dan kejanggalan itu pun MCA masih dirai dengan pelbagai jawatan, lantikan, penghargaan dan sebagainya. Malah, Tan Teik Cheng yang biadap ini juga diberikan jawatan menerajui sebuah GLC, iaitu Pelabuhan Pulau Pinang sejak Perikatan Nasional memerintah. 


Aminuddin Yahaya

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

4 Disember 2020



0 ulasan:

Catat Ulasan