Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya hari ini.
Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. satu undi rosak atau berkecuali.
Dengan itu Ahmad Faizal akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.
Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim. Asalnya usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak.
Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa Salbiah Mohamed (BN-Temenggor) dan Howard Lee (PH-Pasir Pinji) kepada DUN diterima Speaker Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (PH) kemudian memohon agar pengundian dijalankan secara belah bahagi. Ia diterima Mohamad Zahir selepas lebih 10 Adun berdiri untuk menyokongnya.
Dalam ucapan yang disampaikan sejurus selepas keputusan dibacakan, Ahmad Faizal berkata, dia menerima ketetapan yang dibuat Adun Perak.
"I miss you guys sometimes actually, seriously (Sebenarnya kadang-kadang saya rindukan kamu semua, betul," katanya.
Dia dijadual membentangkan belanjawan negeri pada hari ini. Bagaimanapun dengan perkembangan yang berlaku tadi, ia terpaksa ditunda kepada Rabu depan.
Tempoh itu perlu bagi membolehkan speaker dan Ahmad Faizal mengadap Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum apa yang berlaku dalam DUN hari ini.
Ahmad Faizal juga menjanjikan peralihan kuasa menteri besar akan dijalankan secara lancar.
"Saya berbangga berkhidmat kepada negeri dan menunjung kasih kepada Sultan Perak atas kesempatan menabur bakti kepada baginda," katanya.
Mohamad Zahir kemudian menangguhkan sidang DUN Perak sehingga ke jam 2 petang pada 9 Dis ini.-mKini
0 ulasan:
Catat Ulasan