Kuala Lumpur: Usia bukanlah pengukur yang menentukan kemampuan seseorang untuk hidup mewah.
Buktinya, ramai anak muda malah, ada yang berusia belasan tahun berkebolehan menjana pendapatan bulanan mencecah sehingga enam angka seterusnya hidup seperti golongan bangsawan.
Namun, kesenangan itu tidak dicapai dengan mudah, sebaliknya hasil kerja keras dan didorong kejayaan mencipta nama di media sosial. Lebih membanggakan apabila ada antara mereka berasal daripada keluarga susah dan berjaya keluar daripada kepompong itu, sekali gus membahagiakan ibu bapa masing-masing
Bagi merungkai rahsia di sebalik kejayaan itu, Harian Metro mendekati empat usahawan dan personaliti media sosial yang kini berjaya meletakkan status mereka sebagai 'jutawan muda.'
Kisah 1
Kangar: Minat mendalam terhadap bidang kecantikan mendorong anak kelahiran Perlis ini menjalankan perniagaan kosmetik sejak dua tahun lalu.
Percubaan Shaniena Natasya Ap Lop, 18, berhasil apabila produk penjagaan kulit keluarannya dikenali Omputeh diterima baik serta melayakkan dia meraih pendapatan bulanan enam angka iaitu antara RM200,000 hingga RM300,000.
Pemasaran hanya dilakukan secara dalam talian dari rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi di sini, dan ia dimulakan sejak dia berusia 15 tahun lagi ketika dia menjinakkan diri dalam dunia peragaan secara sambilan bagi mencari duit poket persekolahannya.
"Selepas tidak lagi aktif sebagai model sambilan, saya cuba menjadi ejen dropship pula dengan bermodalkan wang RM70.
"Ketika itulah saya menimba banyak ilmu perniagaan dan tidak pernah terfikir yang saya akan menjadi usahawan seperti hari ini. Cuma keinginan untuk mencari duit sendiri memberi keyakinan kepada saya untuk terus berniaga," katanya ketika dihubungi.
Membesar dalam keluarga yang menjalankan perniagaan, Shaniena Natasya berkata, dia lebih selesa berdikari dan sanggup menggunakan wang simpanannya sebagai modal permulaan untuk berniaga daripada meminta bantuan keluarga atau rakan terdekat.
"Cuma, adat berniaga pasti ada cabarannya dan saya pernah menanggung kerugian besar sewaktu menjalankan proses kajian dan penyelidikan (R&D) sebelum mengeluarkan produk ini.
"Namun, daripada situ saya belajar perbaiki kesilapan dan merancang strategi serta formula yang tepat untuk memajukan perniagaan.
"Saya segera bangkit daripada kekalahan dan tidak sampai ke tahap berputus asa kerana saya sedar saya akan gagal mengecapi impian bergelar usahawan yang berjaya jika mengalah di pertengahan jalan," katanya yang turut merancang membuka kafe pada tahun ini.
Wanita muda itu mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan kepadanya dan setiap perancangan diatur termasuk pembukaan kafe.
Katanya, hanya semangat kental mendorongnya untuk mengatur langkah dan berfikiran positif demi kejayaan.
"Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah kerana perlukan kekuatan fizikal dan mental. Ini kerana tidak semua orang senang dengan apa kita kecapi, malah ibu saya pernah terkena tempias apabila dihina memandu kereta buruk satu ketika dulu.
"Memang sedih apabila ada yang sampai menghina keluarga saya, tetapi saya cuba abaikan kata-kata negatif itu, sebaliknya fikir positif saja.
"Saya bersyukur dengan apa yang ada dan berdoa supaya tidak riak dengan kesenangan diberi serta dapat gunakan sebahagian hasil pendapatan bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya yang kini mempunyai kira-kira 900 ejen dan stokis di seluruh negara.
Kisah 2
Temerloh: Bermula dengan berniaga gerai di tepi jalan, Muhammad Aiman Edrizal Fuzzy Haslan kemudian mengorak langkah dengan membuka kedai yang dinamakan Bangman Fried Chicken di Paya Pulai di sini.
Premis itu menjual ayam dan kentang bersalut keju selain sosej corn dog.
Hasil kerja keras sejak dua tahun lalu, Muhammad Aiman, 24, atau mesra disapa Bangman mampu meraih keuntungan RM80,000 setiap bulan dan pernah mencecah sehingga RM100,000.
Kini, bapa seorang anak berusia 11 bulan itu tidak lagi bergerak solo sebaliknya dibantu lima kakitangan bagi menjalankan perniagaan di premis yang beroperasi bermula jam 3 petang sehingga sebelum waktu berbuka bagi Ramadan dan atau mulai jam 12 tengah hari pada musim lain.
Berkongsi latar belakangnya, Muhammad Aiman berkata, dia hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak sempat menghabiskan pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Temerloh.
"Saya belajar satu semester sahaja dan selepas berhenti, saya cuba cari rezeki dengan berniaga dan modal permulaan ketika itu adalah bawah RM800 hasil wang simpanan yang dikumpul ketika membantu ayah berniaga di pasar malam.
"Saya pilih berdikari dan tidak meminjam wang kerana enggan susahkan sesiapa dan Alhamdulillah, perniagaan saya mendapat sambutan, mungkin kerana nasib saya baik ketika itu, tiada peniaga lain yang menjual makanan sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Selepas tiga bulan berniaga di tepi jalan, Muhammad Aiman mampu menyewa sebuah kedai dan berpindah lokasi.
Katanya, pada permulaan dia hanya berniaga di luar premis untuk memberi laluan kerja pengubahsuaian sebelum beroperasi sepenuhnya.
"Ada perbezaan antara berniaga di gerai dan premis. Di gerai dulu tiada sistem dan tidak perlu membayar sewa tapak serta gaji pekerja.
"Di premis, saya wujudkan sistem supaya perniagaan lebih teratur. Alhamdulillah, perniagaan saya masih diterima sehingga ke hari ini dan paling seronok apabila sudah ada pelanggan tetap yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
"Cabaran tetap ada, malah ada harinya, jualan berkurangan dan pernah juga menerima teguran daripada pelanggan berikutan ayam terlebih masak, tetapi saya ambil semua teguran itu daripada sudut positif untuk memperbaiki kualiti serta mutu perkhidmatan kerana jika bukan mereka yang menegur, siapa lagi?" katanya.
Menurut Muhammad Aiman, dia tidak merasakan dirinya sudah berjaya dan mengakui perjalanannya dalam perniagaan masih jauh lagi.
Bagaimanapun, dia bersyukur apabila ada pihak menjadikan dirinya sumber inspirasi untuk berjaya dan menasihati anak muda supaya sentiasa ingat dan berterima kasih kepada orang yang bersama-sama berjuang serta memberi sokongan.
"Perancangan masa depan adalah memiliki trak makanan dan membuka cawangan premis di setiap negeri di pantai timur. Saya harap impian ini menjadi kenyataan," katanya yang mahu mengukuhkan perniagaannya terlebih dahulu sebelum menambah cawangan.
Kisah 3
Kuala Lumpur: "Anak kampung, lemah, lembab dan tidak boleh berjaya," itu tohmahan pernah diterima usahawan muda, Syabil Qasiem Mokhtar ketika mula menceburi bidang perniagaan.
Namun kini, Syabil, 18, berjaya menepis kata-kata hinaan itu dengan menjadi pengasas minuman dikenali Chanrakter dan biskut yang berjaya. Pencapaian anak kelahiran Yong Peng, Johor itu harus dibanggakan kerana mampu meraih keuntungan sehingga RM50,000 sebulan.
Semua itu dicapai hasil kerja kerasnya mengusahakan perniagaan sejak dua tahun lalu bermula Oktober 2019.
Bercerita lanjut, Syabil yang kini menetap di Setapak di sini, berkata, minat menjalankan perniagaan datang sendiri dan didorong keinginannya mengubah nasib hidup selepas berhenti sekolah, Jun tahun lalu. Bermula dengan menjual minuman di tepi jalan dan menyertai program perniagaan, siapa sangka percubaan Syabil berhasil berkat kesungguhannya.
"Selain berniaga kecil-kecilan, saya juga kerap ke Kuala Lumpur untuk belajar ilmu perniagaan. Ketika itu boleh dikatakan dua kali seminggu dengan menaiki bas tanpa ditemani rakan atau keluarga.
"Lama kelamaan, timbul minat untuk berniaga secara serius dan berhenti sekolah kerana saya sudah tidak boleh fokus dengan pelajaran disebabkan prestasi teruk dalam akademik.
"Bukan mudah untuk ibu dan bapa menerima keputusan itu kerana mereka mementingkan pelajaran tetapi saya cuba yakinkan dengan membuktikan hasil dalam perniagaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Syabil, cabaran utamanya ketika memulakan perniagaan adalah kewangan kerana simpanan yang ada tidak seberapa.
Namun, Syabil nekad mengambil risiko dan tebalkan muka dengan meminjam wang daripada rakan terdekat bagi dijadikan modal perniagaan.
"Dulu saya pernah bekerja sebagai penolak troli di bazar karat. Malah, saya pernah tidur di terminal bas ketika mula-mula datang ke Kuala Lumpur.
"Itu belum termasuk kerugian RM13,000 ketika menyertai sebuah acara, tetapi pengalaman itu yang membuatkan saya belajar daripada kesilapan," katanya.
Biarpun perniagaan dijalankan sudah membuahkan hasil, Syabil enggan terlalu selesa kerana baginya, banyak lagi yang perlu dipelajari.
Namun, dia gembira seandainya kejayaan dikecapi memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda di luar sana untuk berjaya.
"Saya tidak mahu berjaya sendiri, tetapi suka melihat orang lain turut sama merasai kesenangan.
"Disebabkan itu, saya ambil inisiatif berkongsi ilmu dan melatih 1,000 anak muda tahun lalu untuk membimbing mereka menjadi usahawan berjaya.
"Seronoknya menjadi usahawan ini bukan kerana mendapat pulangan banyak semata-mata tetapi dapat gunakan rezeki yang ada bagi membantu golongan memerlukan," katanya.
Kisah 4
Kuantan: Usianya baru 17 tahun namun personaliti menarik dan keletah bersahaja membantunya meraih pendapatan mencecah lima angka sebulan hasil ulasan berbayar dilakukan sejak aktif di TikTok pada Ogos tahun lalu.
Nurinlofa Adrianna Kirana mengakui tidak sangka dengan apa dikecapinya hari ini kerana niatnya membuka akaun TikTok hanyalah untuk berkongsi pengalaman harian saja.
Namun, segala-galanya berubah apabila jumlah pengikutnya di TikTok bertambah saban hari hingga mendapat kepercayaan pengasas produk bagi mempromosikan produk mereka.
Bercerita lanjut, gadis yang mesra disapa Nurin itu berkata, dia bukan datang daripada keluarga senang, malah kesusahan hidup menyebabkannya dihantar ke rumah anak yatim serta fakir miskin sebelum tinggal bersama kakaknya, Azuni, 36.
"Kehidupan saya ketika kecil mungkin tidak sama dengan rakan sebaya, baru dua tahun lalu saya berpeluang tinggal bersama emak dan kehidupan keluarga saya belum senang sebaliknya sekadar cukup makan saja ketika itu.
"Sebelum ini, saya jalani kehidupan dengan seadanya saja tetapi pembabitan aktif di TikTok membuka pintu rezeki buat saya apabila diberi kepercayaan oleh pengasas produk untuk membuat ulasan berbayar selepas jumlah pengikut mencecah 15,000.
"Memang terkejut dengan perubahan itu. Mulanya saya tidak tahu apa yang membuatkan saya mendapat peluang sebegitu. Rupanya kerana mereka tertarik melihat keletah saya yang suka berleter di dalam video serta yakin saya dapat membuat ulasan dengan baik," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Nurin yang sudah mengumpul 1.2 juta pengikut di TikTok berkata, dia kini mampu meraih kira-kira RM30,000 sebulan hasil membuat ulasan berbayar.
Nurin bersyukur kerana pendapatan hasil ulasan berbayar membolehkannya membeli dua kereta yang mana satu daripadanya iaitu Toyota Vellfire untuk dihadiahkan kepada ibu dan bapanya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat cari duit sendiri dan menggunakannya untuk membantu meringankan beban ditanggung keluarga terutama ibu.
"Sekurang-kurangnya saya dapat beri kesenangan buat keluarga kerana satu ketika dulu, saya pernah dicerca rakan kerana menaiki kereta lama.
"Malah, ada juga yang mengatakan saya makan hasil duit haram selepas dikenali di TikTok tetapi siapa saya untuk menutup mulut mereka?," katanya.
Menceritakan bagaimana dia membahagikan masa, Nurin berkata, dia hanya akan mengambil tawaran membuat ulasan berbayar pada hujung minggu saja.
"Saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini jadi perlu fokus kepada pelajaran berbanding yang lain.
"Untuk itu, saya hanya sediakan slot ulasan berbayar pada hari Jumaat dan Sabtu saja.
"Jika tawaran yang datang kena dengan dengan masa, saya akan terima dan tolak dengan baik jika sebaliknya kerana tidak mahu kecundang dalam pelajaran gara-gara mahu mendapatkan wang," katanya yang juga giat berkongsi rezeki setiap bulan dengan rumah anak yatim pernah didiaminya.
-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan