VETERAN Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau mahu menjadi perdana menteri tetapi mengakui mungkin tidak mendapat sokongan daripada partinya sendiri, lapor The Vibes.Ahli Parlimen Gua Musang itu juga menolak kemampuan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan menyebutnya sebagai “malas” dan pada masa sama berkata Mohamed Azmin Ali “tidak layak”.
Razaleigh yang berusia 84 tahun itu berkata beliau adalah pilihan terbaik untuk menjadi perdana menteri dan memerlukan sokongan daripada pembangkang.
“Tetapi saya tidak fikir saya akan menjadi (perdana menteri). Saya tidak tahu, saya sepertinya tidak mendapat sokongan parti. Saya mungkin mendapat sokongan ahli pembangkang, tetapi bukan Umno,” katanya.
Mengenai Muhyiddin, Razaleigh berkata presiden Bersatu “malas dan tidak mempunyai inovasi”.
“Beliau adalah timbalan saya (di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 1984 hingga 1986). Beliau tidak tahu (apa yang harus dilakukan). Najib Razak, yang pernah bertugas sebagai timbalan saya di Petronas sebelum ini, jauh lebih baik dari segi itu. Antara keduanya, saya akan memilih Najib.
“Najib mempunyai inisiatif dan kreatif. Muhyiddin sangat relaks tentang semua perkara. Oleh itu, ketika dilantik oleh Agong untuk menjadi perdana menteri, saya sangat kecewa. Beliau bukan orang yang tepat untuk negara ini.”
Mengenai Azmin, Razaleigh berkata kedudukannya sebagai menteri perdagangan dan industri antarabangsa disebabkan oleh peranannya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari tahun lalu.
“Saya tidak fikir beliau mempunyai kemampuan menguruskan kementerian.
“Ia tidak adil memberinya tanggungjawab itu, kerana kita bercakap mengenai negara. Anda tidak boleh membiarkan Azmin mengendalikan perdagangan dengan mengetahui sepenuhnya beliau tiada kemampuan untuk melakukannya. Bolehkah beliau menangani krisis jika ia berlaku?”
Tahun lalu, Tengku Razaleigh dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan perpaduan untuk menggantikan Muhyiddin dan Perikatan Nasional gagal dilaksanakan.
Sumber: The Malaysian Insight
0 ulasan:
Catat Ulasan