“Cinta, Pengorbanan, dan Wahyu: Kisah Zainab binti Jahsy”
Dalam sejarah Islam, terdapat sebuah kisah perkahwinan yang begitu istimewa, di mana Allah SWT sendiri menikahkan seorang wanita mulia dengan Rasulullah SAW. Wanita itu ialah Zainab binti Jahsy r.a., sepupu Rasulullah SAW, dan kisah perkahwinannya diabadikan dalam Al-Quran. Kisah ini bukan sekadar kisah cinta biasa, tetapi ia mengandungi hikmah mendalam tentang ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta pelajaran berharga tentang keimanan dan pengorbanan.
Zainab binti Jahsy r.a. bukan sahaja dikenali dengan kecantikannya, tetapi juga kerana ketakwaannya yang luar biasa. Beliau berasal dari keluarga bangsawan Quraisy dan merupakan anak kepada Umaimah binti Abdul Muttalib, iaitu makcik kepada Rasulullah SAW. Dibesar dalam suasana yang mulia dan dekat dengan ajaran Islam, Zainab menjalani kehidupan yang penuh pengabdian. Namun, Allah telah menetapkan sebuah ujian keimanan yang besar buat dirinya, yang menjadi inspirasi kepada umat Islam hingga hari ini.
Suatu hari, Rasulullah SAW datang untuk meminang Zainab, tetapi bukan untuk dirinya. Baginda meminang Zainab bagi pihak Zaid bin Harithah r.a., anak angkat kesayangan Baginda yang dahulunya seorang hamba. Pada awalnya, Zainab dan keluarganya keberatan. Sebagai wanita Quraisy dari keturunan mulia, agak sukar bagi mereka untuk menerima seorang bekas hamba sebagai suami.
Namun, Allah SWT menurunkan firman-Nya yang menjelaskan bahawa seorang Muslim tidak berhak menolak apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu.
Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 36, bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.”
Dengan penuh ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul-Nya, Zainab akhirnya menerima perkahwinan tersebut. Namun, kehidupan rumah tangga antara Zainab dan Zaid tidak berjalan lancar. Walaupun Zaid bin Harithah r.a. adalah seorang lelaki yang soleh dan amat disayangi Rasulullah SAW, perbezaan latar belakang sosial menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri. Akhirnya, setelah beberapa lama, mereka bercerai.
Selepas perceraian itu, turun satu wahyu yang mengejutkan seluruh penduduk Madinah. Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk mengahwini Zainab. Perkahwinan ini bukanlah atas kehendak peribadi Rasulullah SAW, tetapi ia adalah perintah Allah yang bertujuan menghapuskan adat jahiliah yang menganggap anak angkat sama seperti anak kandung, terutama dalam hal perkahwinan.
Allah berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 37: “Maka tatkala Zaid telah selesai keperluannya terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tiada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri anak-anak angkat mereka setelah anak-anak angkat itu menyelesaikan keperluannya terhadap isteri mereka. Dan adalah ketetapan Allah itu pasti berlaku.”
Allah SWT sendiri yang menikahkan Zainab dengan Rasulullah SAW, tanpa wali manusia atau saksi tradisional. Hal ini menjadikan Zainab sering berbangga dengan berkata, “Kamu semua dinikahkan oleh keluarga kamu, tetapi aku dinikahkan oleh Allah dari atas tujuh petala langit.”
Perkahwinan ini bukan sahaja menjadi penghormatan besar kepada Zainab, tetapi juga menjadi tanda ketaatan mutlak kepada Allah, walaupun ia mungkin bertentangan dengan adat dan pandangan masyarakat ketika itu.
Selepas menjadi isteri Rasulullah SAW, Zainab menjalani kehidupan yang penuh ketakwaan. Beliau dikenali sebagai seorang wanita yang sangat rajin beribadah, banyak bersedekah, dan mahir dalam membuat kerajinan tangan. Hasil kerajinannya sering dijual dan pendapatannya digunakan untuk membantu golongan fakir miskin.
Rasulullah SAW pernah memuji Zainab dengan menyatakan bahawa beliau adalah isteri Baginda yang paling banyak bersedekah. Zainab membuktikan bahawa darjat seseorang di sisi Allah bukanlah berdasarkan keturunan atau status sosial, tetapi berdasarkan ketakwaan dan amal kebaikan.
Di sebalik segala cabaran dan pandangan sinis masyarakat, Zainab tetap teguh dengan keimanannya. Kisah beliau menjadi bukti bahawa kebahagiaan sejati terletak pada ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, bukan pada pandangan manusia. Ia juga menunjukkan bagaimana Islam menghapuskan diskriminasi sosial dengan meletakkan ketakwaan sebagai ukuran utama kemuliaan seseorang.
Pengajaran dari kisah ini sangat relevan untuk umat Islam hari ini. Ia mengajarkan kita bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah menjadi keutamaan dalam hidup kita, mengatasi kehendak peribadi dan adat yang bertentangan dengan syariat. Zainab binti Jahsy telah menunjukkan teladan seorang Muslimah sejati, yang sanggup mengorbankan kehendak dirinya demi mencapai keredhaan Allah.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat kita semua untuk sentiasa mendahulukan perintah Allah dalam kehidupan.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami iman yang teguh seperti Zainab binti Jahsy, yang sentiasa mengutamakan ketaatan kepada-Mu. Jadikanlah kami umat yang sentiasa taat kepada-Mu dan Rasul-Mu, serta mengutamakan ketakwaan dalam setiap aspek kehidupan kami. Amin ya Rabbal ‘alamin.
---
0 ulasan:
Catat Ulasan