Ahad, 25 April 2021

Serpihan dan barangan kapal selam KRI Nanggala 402 ditemui di lokasi pencarian

 

Kapal Selam milik Indonesia, KRI Nanggala 402 dipercayai kini dalam fasa tenggelam susulan penemuan beberapa barangan dipercayai daripada kapal selam itu termasuk kesan tumpahan minyak.

Menurut Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto, ia ditemui di permukaan sekitar kawasan pencarian.
 
"Pagi tadi, merupakan tempoh terakhir bekalan oksigen di Nanggala selama 72 jam.
 
"Angkatan Laut (AL) TNI menemukan tumpahan minyak dan serpihan sebagai bukti kukuh menunjukkan KRI Nanggala dalam fasa tenggelam," jelasnya dalam sidang media di Bali pada Sabtu.
 
Sementara itu, Panglima Angkatan Laut TNI, Laksamana Yudo Margono memaklumkan serpihan-serpihan yang ditemukan terapung di perairan Bali itu diyakini dari komponen kapal selam buatan Jerman itu.
 
Antara yang ditemukan, pelurus tabung peluru torpedo, paip pendingin serta botol berwarna oren mengandungi minyak pelincir kapal selam terbabit.
 
"Ditemukan beberapa kepingan dan barang di sekitar lokasi terakhir kapal menyelam yang diyakini bagian komponen kapal selam.
 
"Ini (serpihan) ini tidak akan terapung jika tiada tekanan atau keretakan pada kapal selam itu," katanya.
Tambahnya, tiada kapal lain berada di sekitar 10 batu nautika di kawasan pencarian selain Nanggala kata Yudo.
 
KRI Nanggala hilang pada Rabu lalu ketika latihan menembak torpedo.
 
Beberapa negara termasuk Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat turut menyalurkan bantuan dalam operasi mengesan kapal selam terbabit.
 
Sumber : Astro Awani

0 ulasan:

Catat Ulasan