"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


Ahad, 31 Disember 2023

RANGKUMAN SETAHUN NARATIF BERACUN DAP

 RANGKUMAN SETAHUN NARATIF BERACUN DAP 


2023 mungkin menjadi tahun yang akan sentiasa dikenang dalam sejarah DAP.

Pada tahun 2023, DAP berjaya memegang portfolio penting; Menteri Pengangkutan, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Digital dan Menteri Sumber Manusia.

DAP turut dilibatkan dalam 6 lagi kementerian sebagai Timbalan Menteri iaitu, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Berikut disenaraikan sebahagian ‘perjuangan’ DAP bagi tahun 2023;

1. Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy mempersoalkan penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam. (Februari 2023)

2. Exco DAP, Teng Chang Kim bersikap biadab dengan mengaitkan isu arak dengan solat. (Januari 2023)

3. Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming mengecam kostum ala pejuang HAMAS yang dipakai murid-murid sempena Minggu Solidariti Palestin dan mengugut pihak berkaitan untuk diambil tindakan. (Oktober 2023)

4. Pengerusi DAP, Lim Guan Eng membuat ucapan fitnah berunsur 3R dengan mendakwa 'gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan orang bukan Islam akan berdepan pelbagai sekatan sekiranya PAS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN). (Julai 2023)

5. DAP cuba mencucuk jarum perkauman dengan mempolitikkan isu kompaun PBT terhadap pakaian peniaga di Kelantan.  (Jun 2023)

6. Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua mendakwa Malaysia tidak lagi memerlukan parti Melayu. (Jun 2023)

7. Ahli Parlimen DAP, Howard Lee menggunakan ayat al-Quran dengan memberi tafsiran yang salah untuk menggesa umat Islam menyokong kerajaan campuran. (September 2023)

8. Ahli veteran DAP, Lim Kit Siang menunjukkan sikap chauvinisnya dengan membangkitkan mengenai orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia. (November 2023)

9. Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai desak agar kerajaan mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur. (Disember 2023)

10. Ahli Parlimen DAP, Ngeh Koo Ham cadang untuk Kerajaan melantik orang bukan Islam ke dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam. (Disember 2023)

Bayangkan, dalam setahun ini sahaja pelbagai ucapan dan tindakan yang menzahirkan wajah sebenar mereka telah dibuat tanpa berselindung. DAP bahkan dibela dan disucikan oleh parti sekutunya

Benarlah kata Tuan Guru Presiden PAS, “DAP tidak perlu bersuara kuat lagi, hanya sekali-sekala sudah cukup. Hal ini demikian kerana, mereka berjaya melantik jurubicara daripada kalangan Melayu yang lupa akan kemelayuannya dan lalai akan keislamannya, malah menganggap Melayu sangat rasis apabila bersuara membela Melayunya atau Islamnya fanatik jika bercakap mengenai Islam.”

Titah KDYMM Sultan Selangor yang mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam adalah isyarat jelas bahawa DAP biadap, melampau, dan telah melanggar garis sempadan politik kepartian dalam negara kita.

Setahun yang duka dengan naratif beracun DAP. Semoga 2024 yang mendatang ini Islam dan Melayu kuat menghadapi naratif beracun ini.

Sekian

ZURK AHMAD

Ketua Pengarah

Jabatan Penerangan & Media Baharu PAS Pusat

31 Disember 2023

DAP KONSISTEN CAMPUR URUSAN UMAT ISLAM

 DAP KONSISTEN CAMPUR URUSAN UMAT ISLAM 

DAP sekali lagi menunjukkan taring dalam kerajaan PH-BN apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti urusan agama Islam. 

Hakikat ini dilihat daripada kenyataan Ngeh Koo Ham, Ex Officio Jawatankuasa DAP Pusat yang juga Ahli Parlimen Beruas. Beliau telah mencadangkan penglibatan orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam baru-baru ini.

Walaupun Koo Ham telah menyatakan maaf dan YB Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP mengatakan kenyataan Ngeh Koo Ham ini adalah kenyataan peribadi, rakyat telah mengenali sikap DAP yang tidak pernah diam menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

Walhal, tidak sepatutnya kenyataan sensitif seperti itu dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat. Perlu diingat, Ngeh Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara. Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu.

Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan- kenyataan seperti ini yang seolah- olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

PAS mendukung penuh titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bahawa orang bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal umat Islam. PMX perlu lebih tegas untuk menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini.

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional sahaja. Namun, sekiranya melibatkan PH-BN-DAP disenyapkan.

PAS terus menyeru agar umat Islam dan Melayu bersatu teguh mempertahankan hak dan memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia.

DATO' SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Timbalan Presiden PAS

31 Disember 2023

Sabtu, 30 Disember 2023

Tuan Guru Haji Azhar Idrus, Kuala Terengganu ( 1964 - Kini )

 Tuan Guru Haji Azhar Idrus, Kuala Terengganu ( 1964 - Kini )

Oleh : Tengku Yusuff 

Tuan Guru Haji Azhar @ Zamrul Bin Idrus atau lebih terkenal dengan panggilan Ustaz Azhar Idrus @ UAI dilahirkan pada tanggal 12 Februari 1964 di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu. Ayah beliau merupakan seorang askar. 

Pendidikan awal Ustaz Azhar Idrus diperolehnya dari kedua ibu bapa beliau. Kemudiannya beliau dihantar belajar di Sekolah Rendah Inggeris Alor Setar yang terletak di belakang stesen keretapi pada tahun 1971. Kemudian beliau dihantar ke Sekolah Rendah Haji Mohd Sharif, Alor Star, Kedah hingga tahun 1976. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman, Alor Star dari tahun 1977 hingga tahun 1978 dan kemudian berpindah ke Negeri kelahiran iaitu Terengganu dan mula bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dari tahun 1979 hingga tahun 1983 iaitu dari Tingkatan 3 sehingga Tingkatan 6.

Setelah tamat pengajian, beliau mula berkerja di beberapa buah tempat termasuk pernah menjadi seorang guru muzik sekitar tahun 1985 dan pernah juga berkerja sebagai jurufoto di sebuah syarikat akhbar di Terengganu. 

Sekitar tahun 1990, dalam usianya 25 tahun beliau mula belajar agama dan belajar secara talaqqi lebih kurang dengan lapan orang guru dalam tempoh 12 tahun. Pada peringkat awal beliau berkerja di siang hari, pada sebelah malamnya beliau pergi ke kuliah pengajian. Namun lama kelamaan, hatinya menjadi kasih kepada ilmu agama lalu beliau berhenti kerja untuk fokus mengaji.

Terdetiknya hati beliau untuk belajar ilmu agama adalah kerana pada suatu hari dalam perjalanan balik, beliau lalu di sebuah surau dan ada seorang tok guru sedang mengajar. Melihat pada ramainya jemaah, Ustaz Azhar pun berhenti kenderaannya dan mendengar kuliah. Kata-kata tok guru tersebut telah masuk ke dalam hatinya, lalu Allah Taala kurniakan hidayah buat beliau untuk mendalami ilmu agama.

Awalnya beliau mula hadir ke kuliah Tuan Guru Haji Syed Mokhar dan belajar dalam bidang tafsir. Tuan Guru Haji Syed Mokhtar ini adalah salah seorang cicit Tok Ku Paloh. Beliau juga telah mengasaskan sebuah surau pengajian di Pantai Ali, Bukit Payong, Terengganu dan masih aktif mengajar sehingga kini. Dengan gurunya ini Ustaz Azhar khatam 40 buah kitab.

Gurunya yang kedua pula ialah Tuan Guru Mohd Tahir al-Fathani. Dengan gurunya ini beliau khatam 24 buah kitab-kitab jawi.

Guru beliau yang ketiga ialah Tuan Guru Mohd Hakim. Pada beliau, Ustaz Azhar belajar ilmu nahu, sorof, balaghah, usul fiqh, qawaidh, mustolah Hadis & usul tafsir dan lain-lain lagi.

Seorang lagi guru dan sahabatnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar Serkam. Daripada gurunya ini, beliau banyak belajar ilmu fiqh, usuluddin, nahu & hadis. Kata Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jaafar, Ustaz Azhar ini mengaji dengan beliau ketika di Kuala Terengganu. Pada ketika itu, Tuan Guru Haji Abdul Rahman belajar di Pondok Kerandang, Besut, sambil itu turut mengajar di beberapa buah masjid surau sekitar Terengganu. Pada waktu itulah, Ustaz Azhar bertalaqqi dengannya.

Guru beliau yang seterusnya ialah Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd yang berkelulusan daripada Mesir. Dengan gurunya ini beliau banyak belajar sirah Nabawi.

Ulama yang keenam menjadi guru beliau ialah Tuan Guru Haji Hashim. Daripada gurunya ini beliau belajar ilmu nahu, sorof, fiqh dan faraid

Daripada gurunya yang bernama Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Salleh pula beliau belajar ilmu fiqh, nahu, sorof, balaghah, hadis, tafsir dan lain-lainnya. Ustaz Azhar belajar daripada gurunya ini di rumah gurunya di Ladang, Kuala Terengganu yakni pada sebelah malam. Tuan Guru Haji Muhammad Zain adalah antara pengasas bersama Pondok Lubok Pandan yang terletak di Marang. Beliau adalah alumni pengajian pondok Pasir Tumboh selama 16 tahun.

Seorang lagi gurunya ialah Tuan Guru Haji Hussin Bin Deraman atau lebih terkenal dengan panggilan Ayah Ku. Beliau belajar dengan gurunya ini ketika di Kuala Terengganu secara berulang alik. Kata Ayah Ku, Ustaz Azhar ini seorang yang sangat rajin mengaji. Tambahan Ayah Ku lagi, untuk memantapkan kefahaman ilmunya, siang beliau belajar dengan Ayah Ku manakala pada sebelah malam pula beliau mengajar ilmu tersebut.

Selain itu, sayang dan bersungguh-sungguhnya dalam menuntut ilmu, Ustaz Azhar juga turut mengambil ilmu daripada Tuan Guru Baba Ismail Sepanjang bermula dari tahun 1990an lagi. Katanya, ketika sahabatnya yang belajar dengan Baba Ismail Sepanjang pulang bercuti ke Terengganu, beliau akan minta supaya sahabatnya itu memberinya kaset rakaman pengajian Baba Ismail kepadanya.

Pendek kata, sehari semalam beliau belajar selama 5 jam secara berulang alik ke rumah tuan-tuan guru atau masjid yang mereka mengajar. Lebih kurang 10 ke 12 kitab sehari dalam masa 12 tahun.

Antara sahabat awal beliau dalam rehlah pengajian ini adalah Tuan Guru Ku Syed Suhaimi dan Tuan Guru Baba Suplar. Kedua-dua sahabatnya ini adalah pengasas Pondok Bukit Jong, Terengganu. 

Berbekalkan ilmu yang dipelajarinya, Ustaz Azhar mula mengajar di sekitar Surau Ladang, Kuala Terengganu sekitar hujung 1990an. Dalam kesibukan jadual Ustaz sepanjang hari dan bulanan, beliau sentiasa mentelaah lagi kitab-kitab karangan mufti-mufti serta fatwa-fatwa khususnya dalam Fatwa Negara Mesir. Dalam rutin harian, Ustaz Azhar akan cuba habiskan 20 buah kitab sehari selama 5 jam. 

Pada sekitar tahun 2010, namanya menjadi fenomena dalam negara dan kemasyhuran beliau melonjak sebagai "Top 10" dalam senarai carian Google pada tahun 2011. Bermula daripada situ, Ustaz Azhar terus menabur jasa bakti mengajar di seluruh Malaysia sehingga orang ramai sentiasa ternanti-nanti jadual kuliahnya keluar pada setiap hujung atau awal bulan.

Kuliah-kuliah pengajiannya pernah dihadiri sehingga lebih dari 50 ribu orang, dan yang terpaling ramai ialah di Surau Perwaja, Gurun, Kedah iaitu mencecah 100 ribu orang.

Tuan Guru Haji Azhar Idrus adalah seorang tokoh agamawan dan pendakwah yang sangat besar jasanya dalam negara. Nama beliau turut terkenal di negara jiran kita iaitu Indonesia, Brunei dan Singapura dan Fathani. Moga Allah Taala mengurniakan kesihatan yang baik kepada Tuan Guru. Amin 

*Sumber - Tulisan Faris Ikhwan Fazli & Khazri Osman daripada UKM, serta kajian peribadi penulis bertemu para alim ulama yang menjadi gurunya dan pengalaman bersama beliau selama 13 tahun.

#KenaliUlamak

Kami sayang Ustaz Azhar Idrus

Isnin, 25 Disember 2023

RANTAU PANJANG BAKAL TENGGELAM SERUPA 2014

Ketika catatan ini ditulis paras air Sungai Golok pada pukul 1.30 petang hari ini, mencatat bacaan 10.70 meter melebihi paras bahaya 9 meter dan menghampiri paras tertinggi banjir 2014 iaitu 10.84 meter, serta data JPS menunjukkan ‘trend’ semakin menaik.

Kalau 60 tahun dahulu fenomena banjir merupakan saat-saat yang dinantikan oleh saya dan rakan-rakan ketika zaman kanak-kanak, tetapi sekarang ianya lebih kepada malapetaka yang mengerikan.

Kejadian banjir yang berlaku di Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas semenjak dari dahulu sampai sekarang adalah disebabkan 3 faktor utama:

1. Limpahan air Sungai Golok mengalir sekitar Daerah Rantau Panjang.

2. Limpahan air Sungai Jedok mengalir ke Kemahang, Baroh Pial, Kubang Kual, Putat Tujuh, Kalbod 5, Pengkalan Teluk, Tersang, Sg. Lubok Jong dan Sungai Golok.

3. Limpahan air Sungai Jegor mengalir ke Klewek, Padang Siam, Danau Tok Uban, Sg Lubok Jong, Tersang, Sungai Golok.

Dahulu air secara semula jadinya boleh mengalir tanpa gangguan, seperti contoh air dari Kalbod 5, Pengkalan Teluk boleh masuk ke Sg. Tersang/Lubok Jong ke sebelah tebing Bukit Lata, Padang Pak Atah, Banggol Kong, Siram dan kawasan lain.

Begitu juga air Sg. Lubok Jong boleh mengalir ke Repek, Batu 5, Pohon Tanjung, Bakong, Meranti dan kawasan lain.


Pada 2018 projek fasa 1 yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (KESBAN) telah dibina dari muara Sungai Golok (Tak Bai) naik ke hulu sehingga ke Kg. Tersang dan melencung ke kiri sejauh 20 km ke Kg. Rengas berhampiran Kg. Chicha Tinggi di sepanjang tebing Sg. Lubok Jong.

Kesan daripada pembinaan ini kawasan bersebelahan benteng dilanda banjir teruk pada musim tengkujuh sepanjang laluan 14 km dari Lubok Jong ke Rantau Panjang.

Punca air daripada 2 buah sungai utama (Sungai Jedok dan Sungai Jegor) sebagaimana disebut di atas tidak dapat mengalir keluar ke Sg. Golok yang tinggi parasnya dan melimpah keluar menyebabkan berlakunya pertembungan air 3 sungai utama membentuk kolam takungan angkara tangan manusia itu sendiri.


Buktinya pada Disember 2022 laluan utama Pasir Mas-Rantau Panjang yang dibina sekitar 1980 buat kali pertamanya dalam sejarah telah terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam lebih 3 meter (10 kaki) di Kalbod 5. 

Sepatutnya pembinaan benteng tersebut memberi manfaat kepada penduduk sekitar tetapi ia adalah sebaliknya. Di mana silapnya? Liputan yang disiar oleh Malaysiagazette pada 16/1/2023 lepas ada kebenaranya.

 https://malaysiagazette.com/2023/01/16/binaan-benteng-punca-banjir-terburuk-di-pasir-mas-rantau-panjang/

Sumber

ASHABUL KAHFI: KRISTIAN ATAU MUSLIM?

 ASHABUL KAHFI: KRISTIAN ATAU MUSLIM?


Soalan: Adakah wujud kisah Ashabul Kahfi disebutkan di dalam Bible sebagaimana yang dinyatakan PMX?

Jawapan: Tidak

Soalan: Adakah kisah Ashabul Kahfi disebutkan di dalam Taurat?

Jawapan: Tidak

Soalan: Adakah kisah Ashabul Kahfi disebutkan di dalam al-Quran?

Jawapan: Ya. Kisah Ashabul Kahfi  merupakan kisah benar mengenai sekumpulan pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua. Di dalam Surah al-Kahfi ayat 9 hingga 26, diceritakan kisah beberapa orang pemuda beriman yang telah melarikan diri ke sebuah gua dan bagaimana Allah SW menidurkan mereka selama 309 tahun.

Soalan: Jadi, dari manakah kisah Ashabul Kahfi muncul di dalam agama Kristian?

Jawapan: Riwayat terawal yang ditemui adalah ia merupakan kisah yang di bawa dalam khutbah singkat dalam gereja Ortodoks Timur yang dikarang oleh seorang pemuisi terkenal dari Eddessan iaitu Jacob of Sarug (450-521 Masihi). Lihat Gibbon, Edward. The History of the Decline and Fall of the Roman Empire, (London: Penguin Classics, 2001). 387-388; Al-Majdub, Ahmad ‘Ali. Ahl al-Kahf fi al-Injil wa al-Tawrah wa al-Qur’an, (Kaherah: al-Dar al-Misriyyah al-Lubnaniyyah, t.t.) 58.

Soalan: Apakah sebab turun ayat 9-26 daripada Surah al-Kahfi

Jawapan: Beberapa orang pendeta Yahudi telah menyampaikan kepada wakil pembesar Quraisy yang menghantar Uqbah bin Abi Mu’ayt dan Nazar bin Harith untuk bertanya kepada Rasulullah SAW tentang tiga perkara:

i. Pemuda-pemuda yang keluar dari masa lampau.

ii. Lelaki yang telah sampai ke timur dan barat bumi.

iii. Roh.

Huraian Ibn Kathir secara panjang lebar berkenaan tiga persoalan boleh diteliti secara lebih lanjut. Lihat Ibn Kathir. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (Riyadh: Dar Taybah, 1999), 5: 136.

Tujuan pertanyaan itu adalah untuk menguji Rasulullah SAW kerana kisah Ashabul Kahfi memang masyhur dalam kalangan para pendeta Yahudi dan agak mustahil diketahui “orang luar”. Kalau Baginda seorang Nabi dan Rasul, sudah tentu hal ini diketahui. Jika sebaliknya, terbukti Baginda penipu. Setelah berlalu 15 hari, Jibril datang dan membawakan wahyu berupa jawapan bagi ketiga-tiga persoalan tersebut. 

Soalan: Apakah definisi Kristian?

Jawapan:

1. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Kristian adalah agama yg penganut-penganutnya mempercayai bahawa Nabi Isa ialah anak Tuhan. Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=Kristian

2. Menurut Alkitab, perkataan “Kristian” hanya dipakai tiga kali sahaja di dalam Perjanjian Baru dan setiap contoh merujuk kepada “Kristian” di dalam gereja awal.

“...dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokha, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian” (Kisah Rasul-Rasul 11:26).

“Raja Agripa bertitah kepada Paulus, ‘Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?’” (Kisah Rasul-Rasul 26:28).

“Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus” (1 Petrus 4:16).

Mereka digelar “Kristian” kerana kelakuan, perwatakan serta pertuturan yang mirip dengan Yesus Kristus. Istilah “Kristian” bermaksud, “pengikut Yesus Kristus” ataupun “mereka menjadi kepunyaan Yesus.” 

Kesimpulannya, Kristian adalah seseorang yang telah menerima Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka dan mempunyai satu hubungan peribadi dengan Yesus Kristus.

Apakah ciri-ciri seorang Kristian? Seorang penganut Kristian tidak dapat tidak, mesti berpegang dengan Apostles’s Creed. Apa intipatinya? Konsep triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak, dan Roh Kudus.

Soalan: Bolehkah menyatakan bahawa Ashabul Kahfi itu beragama Kristian?

Jawapan: Saya nampak, sudah ada sedikit salah faham timbul dalam kalangan masyarakat awam dalam memahami isu ini apabila kenyataan PMX agak tergantung. Misalnya, ada seorang hamba Allah menulis, “Agama mereka adalah Nasrani (kini dipanggil Kristian).”

Ini kesimpulan yang tersasar.

Apa yang jelas dalam kitab-kitab tafsir bi al-ma’thur, Ashabul Kahfi tidak dinisbahkan sebagai Nasrani atau Masihi, kecuali dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2: 114), Ibn Kathir menyatakan mereka beragama Nasrani. Penisbahan mereka kepada agama Nasrani boleh ditemui dalam kitab-kitab tafsir bi al-ra’yi misalnya oleh Ibn ‘Asyur.

Saya cenderung kepada penjelasan al-Tabari bahawa mereka dinyatakan sebagai “Muslim mengikut agama ‘Isa”. Lihat al-Tabari. Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Qur’an, (Giza: Dar Hijr, 2001), 15: 162. Bahkan, inilah kesepakatan umat Islam dan seluruh para ulama’. Sabda Rasulullah SAW:

‌الْأَنْبِيَاءُ ‌إِخْوَةٌ ‌لِعَلَّاتٍ: ‌دِينُهُمْ ‌وَاحِدٌ، ‌وَأُمَّهَاتُهُمْ ‌شَتَّى

Para nabi bagaikan saudara sebapa, agama mereka satu [Islam], dan syariat mereka berbeda-beda." (Riwayat Ahmad, no. 9632)

Boleh jadi Ashabul Kahfi berada dalam kelompok Ibiyuniyyah (Ebionites), kelompok Yahudi pengikut ajaran Nabi Isa yang menolak ketuhanan Nabi Isa dan menganggap Baginda hanya seorang utusan Allah. Mungkin sebab itulah kisah mereka menjadi buah mulut para pendeta Yahudi Madinah turun temurun. Cuma kita tidak boleh lagi panggil mereka “Kristian” kerana Kristian kemudiannya telah pun menyesatkan mereka. Lihat Rev. J. M. Fuller, "Ebionism and Ebionites", dalam Henry Wace (ed.) Wace Henry. Dictionary of Christian Biography and Literature to the End of the Sixth Century A.D., with an Account of the Principal Sects and Heresies, (Massachusetts: Hendrickson Publishers, t.t.), 608; Hakkinen, S. “Ebionites” dalam A Companio to Second-Century Christian Heretics, ed. Antti Marjanen & Petri Luomanen, (Netherlands: Brill), 272.

Sebagai penuntut ilmu yang dilatih dalam bidang Akidah, Perbandingan Agama, dan Pemikiran Islam sejak peringkat Sarjana Muda sehingga kini sebagai calon Doktor Falsafah (doakan urusan tesis saya dipermudahkan), pendefinisian dan rujukan kepada etimologi amat dititikberatkan kerana ia adalah nilai keadilan yang kita letakkan kepada satu-satu perkara.

Justeru, pandangan saya tidak sesuai lagi dan tidak tepat - pada masa kini - untuk menyatakan mereka beragama Kristian.

Soalan: Tapi, mengapa kita boleh temui ada pandangan ulama silam dan kontemporari yang menisbahkan mereka kepada Nasrani?

Jawapan: Ia sesuai pada zaman dan uruf tertentu apabila masyarakat memahami bahawa penisbahan Nasrani itu merujuk kepada pengikut Nabi Isa yang membawa ajaran yang bukan difahami sebagai ajaran Kristian hari ini.

Secara peribadi – tanpa mengurangkan rasa hormat kepada PMX – saya tetap berpandangan ucapan beliau agak tergantung dan boleh menimbulkan kekeliruan dan konteks umat Islam di Malaysia sehingga “terpaksa” diperjelaskan pula oleh sebahagian asatizah dan pendakwah. Jika beliau kekal sahaja dengan terjemahan teks al-Qur’an tanpa menyebut “kalau kita cerita begini, orang Kristian pun senang…”, itu sudah memadai kerana fokus beliau dalam video berkenaan adalah menceritakan tentang komitmen Ashabul Kahfi kepada pendirian / akidah mereka. 

Kaedah fiqh menyebut

عادة جمهور قوم في قول أو فعل

“Adat kebiasaan sesuatu kaum adalah pada pertuturan dan perbuatan mereka.” Lihat al-Zarqa. Mustafa Ahmad. al-Fiqh al-Islami fi Thawbihi al-Jadid, Beirut: Dar al-Fikr, 1968), 557.

Saya yakin tidak ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang memahami Ashabul Kahfi sebagai penganut Kristian (dengan kefahaman Kristian pasca Persidangan Nicea). Kita diajar Ashabul Kahfi itu mengikut ajaran Nabi Isa, dan beriman dengan agama Allah. Definisi Kristian yang saya bawakan di atas sudah memadai untuk menjadi hujah.

Para ulama menggunakan uruf sebagai asas pembinaan hukum berdasarkan athar yang diucapkan oleh Abdullah ibn Mas’ud:

ما رأى المسلمون حسنا فهو عند الله حسن ، وما رآه المسلمون قبيحا فهو عند الله قبيح

“Apa yang umat Islam melihatnya sebagai kebaikan, maka ia dianggap baik di sisi Allah. Apa yang umat Islam melihatnya sebagai keburukan, makai a dianggap buruk di sisi Allah.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat, no., 3602)

Menamakan mereka sebagai penganut Kristian amat janggal sekali dalam pemahaman, bahasa dan kebudayaan umat Islam di Malaysia, walaupun tidak salah dalam uruf di tempat lain atau masa lalu. 

Kesimpulan

Kisah Ashabul Kahfi tidak dinyatakan dalam Bible. Mereka adalah Muslim, mengikut ajaran Nabi Isa yang asal, bukan penganut Kristian. 

Semoga isu ini selesai dengan baik tanpa lanjutan perbalahan. Dari sudut positif, saya pasti sudah ramai mendapat ilmu baharu dalam isu ini, baik yang pro mahupun kontra. Kita doakan sesiapa sahaja yang mengangkat kisah ini dengan niat yang baik, dirahmati Allah SWT. 

Ashabul Kahfi kekal sebagai kisah yang tidak dihuraikan lanjut dalam al-Qur’an kerana objektif dalam kisah itu adalah untuk kita meneladani keteguhan iman mereka. Itulah yang wajar kita pegang dan hayati bersama. Wallahu a’lam.

*Gambar ketika di Masjid Agung Çamlıca, Üsküdar, Istanbul, Türkiye. Anjing Ashabul Kahfi besar lagi kot dari anjing-anjing di Türkiye ni?

MOHAMAD RAZIF BIN MOHAMAD FUAD

https://t.me/raziffuad

Jumaat, 22 Disember 2023

Tun M perjelas sebab kerajaan benar kapal Israel berlabuh pada 2002

 Kerajaan Malaysia pernah membenarkan kapal milik syarikat Israel, ZIM untuk berlabuh di negara ini pada 2002 kerana menaruh harapan terhadap perdamaian antara Palestin dengan Israel, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun M perjelas sebab kerajaan benar kapal Israel berlabuh pada 2002

Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

  • Kerajaan Malaysia pernah membenarkan kapal milik syarikat Israel, ZIM untuk berlabuh di negara ini pada 2002 kerana menaruh harapan terhadap perdamaian antara Palestin dengan Israel, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Dr Mahathir berkata kerajaan juga pernah membenarkan pasukan kriket Israel masuk ke negara ini dengan harapan rakyatnya dapat melihat penduduk Malaysia yang majoritinya beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.
  • Beliau berkata malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihatkan sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin.
  • “Kita sokong tindakan Kerajaan Malaysia sekat Syarikat perkapalan Israel ZIM dari berlabuh di pelabuhan Malaysia.
  • “Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” kata Tun Mahathir di platform X, semalam.
  • KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia pernah membenarkan kapal milik syarikat Israel, ZIM untuk berlabuh di negara ini pada 2002 kerana menaruh harapan terhadap perdamaian antara Palestin dengan Israel, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Dr Mahathir berkata kerajaan juga pernah membenarkan pasukan kriket Israel masuk ke negara ini dengan harapan rakyatnya dapat melihat penduduk Malaysia yang majoritinya beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.

    Beliau berkata malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana rejim Israel selepas itu terus memperlihatkan sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin.

  • “Kita sokong tindakan Kerajaan Malaysia sekat Syarikat perkapalan Israel ZIM dari berlabuh di pelabuhan Malaysia.

    “Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” kata Tun Mahathir di platform X, semalam.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam melalui kenyataannya berkata, kerajaan memutuskan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

    Kerajaan Malaysia juga tidak lagi membenarkan mana-mana kapal dengan bendera Israel berlabuh di negara ini sebagai tanda solidariti dengan Palestin yang kini diserang rejim zionis Israel.

  • Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata laluan diberikan kepada ZIM dulu sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihatkan sebarang sokongan kepada rejim zionis Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.

    “Ini berbeza dengan menjadi ahli dan penyokong pertubuhan pro-zionist yang jelas mendokong cita-cita Israel melakukan penghapusan etnik orang Palestin menerusi genocide dan pembunuhan besar-besaran,” kata Tun Mahathir. – The Merdeka Times

    Sumber: Twitter Tun Dr Mahathir