TENTUNYA, tinjauan Merdeka Center yang menyatakan 67% rakyat di Semenanjung menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri memberi lonjakan moral kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pemimpin PN, baik di nasional dan akar umbi mungkin tersenyum melihat angka-angka tinjauan ini menunjukkan kestabilan Muhyiddin mentadbir negara.
Disebalik berita positif buat Muhyiddin dan PN, 46% rakyat dalam tinjauan ini menyatakan Malaysia menuju arah yang salah. Indikator yang menyebabkan rakyat berfikir sedemikian adalah kerana ketidakstabilan politik (27.3%), keadaan ekonomi merudum (15.5%), dan pentadbiran lemah (7.9%).
Manakala 41% menyatakan negara berada di arah yang betul kerana pentadbiran kerajaan yang baik (21.3%) dan faktor keberkesanan kerajaan memberi bantuan kebajikan kepada rakyat (10.4%).
Secara umumnya, kepuasan rakyat terhadap pentadbiran Muhyiddin yang agak bercampur baur atau tidak jelas. Perkara ini berlaku apabila ramai yang melihat negara menuju ke arah yang salah tetapi masih memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Dalam tinjauan ini, masalah ekonomi merupakan kebimbangan utama rakyat merentasi etnik dan latar belakang sejak setahun yang lalu. Seramai 68% responden mengakui ekonomi mereka kian terjejas dan hanya tujuh peratus berpendapat ekonomi masih tidak berubah. Jika ditambah kedua-dua peratusan ini, hampir 75% rakyat melihat keadaan ekonomi negara masih merudum.
Sebanyak 63% responden Melayu menyatakan ekonomi negara kian merudum sejak setahun yang lalu, iaitu lebih rendah berbanding responden Cina (76%) dan India (75%). Tekanan ekonomi ini lebih dirasai oleh responden di bandar, iaitu seramai 70% berbanding luar bandar yang mencatatkan 63% sahaja.
Ironinya, walaupun lebih 50% orang Melayu dalam tinjauan ini menyatakan ekonomi merudum, mereka masih memberi sokongan kepada kerajaan Muhyiddin (sebanyak 84%). Adakah ini bermaksud meskipun ekonomi masih teruk, orang Melayu masih menyokong Muhyiddin yang dilihat tidak responsif dalam menguruskan situasi negara pasca pandemik?
Situasi ini menunjukkan jurang persepsi yang melebar dalam isu ekonomi dan politik dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu. Ada beberapa perkara yang boleh menjelaskan situasi di atas. Pertama, kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan ketika krisis merupakan salah satu faktor sokongan kepada kerajaan makin kuat. Bagi mereka, hanya kerajaan yang dapat membantu mereka dalam keadaan getir ini.
Stephen Welt, ahli akademik daripada Universiti Harvad melihat “Covid-19 bakal mencipta masyarakat yang mempunyai kebebasan terhad pasca-pandemik (‘less free’ post pandemic society). Kawalan kerajaan hari ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang terpaksa bergantung kepada pemerintah, dan ia akan berlanjutan dalam tempoh yang panjang.
Kedua, saya berpendapat rakyat, khususnya orang Melayu, masih melihat isu ekonomi dan politik secara berasingan. Tanggapan yang melihat masalah ekonomi dan politik saling tidak berkait masih lagi kuat dalam kalangan rakyat.
Walaupun tinjauan Merdeka Center menunjukkan sokongan Muhyiddin masih stabil, persoalannya, sejauh manakah Muhyiddin dan kerajaan PN mampu mempertahankan sokongan yang ditunjukkan rakyat melalui tinjauan Merdeka Center untuk tempoh seterusnya?
0 ulasan:
Catat Ulasan