KLANG - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil bagi merakam keterangan berhubung isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan berkaitan perkara tersebut.
"Produser operasi standard (SOP) tindakan yang kita akan ambil berdasarkan sesebuah kes adalah pegawai penyiasat akan panggil individu terlibat untuk merakam keterangan, itu proses siasatan.
"Kedua, pihak Ahmad Zahid dan Anwar sekiranya merasakan diri teraniaya, mereka boleh tampil membuat aduan supaya polis lakukan siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang pada Sabtu.
Menurutnya, setakat ini lapan laporan polis telah diterima berhubung perkara berkenaan.
"Proses tindakan siasatan akan diambil dan hasil analisa sedang ditunggu. Sekiranya ada, hasil analisa tersebut akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk klasifikasikan atas kesalahan undang-undang dan seksyen apa.
"Sebolehnya kita akan dapatkan penyelesaian cepat agar siasatan dapat disegerakan," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung rakaman audio tersebut di seluruh negara.
“Rakaman audio itu akan dihantar ke Makmal Forensik bagi dianalisis perbandingan persamaan suara dalam rakaman audio berkenaan.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya.
Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.
Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
-SH ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan