"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kelantan. Papar semua catatan

Sabtu, 27 April 2024

Bagaimana SMO Menjadi Pengedar Buku Terbesar di Pantai Timur?

 "Bagaimana SMO Menjadi Pengedar Buku Terbesar di Pantai Timur?"

Tanyalah orang Kelantan, mesti majoritinya akan beli buku di SMO. Bila dah nak habis cuti sekolah je, pasti SMO penuh diserbu budak-budak sekolah yang nak beli kelengkapan persekolahan.

Malah Pesta Buku Kelantan yang sedang berlangsung sekarang di Mydin Tunjong sehingga 4 Mei 2024 turut dianjurkan oleh SMO Sdn Bhd.

Macam mana sebenarnya sejarah SMO ini bermula?

SMO yang merupakan akronim kepada Syarikat Muda Osman dibangunkan oleh Allahyarham Haji Muda Osman pada 1939. Wah lama dah rupanya SMO ni!

SMO bermula sebagai perniagaan yang menjual karung guni, pinggan mangkuk, kisaran dan kitab berpusat di Pasir Mas, Kelantan. Sekitar 1940-an, perniagaan runcit ini diteruskan dengan menambah perkhidmatan menjahit baju dan songkok.

Pada 1955, SMO dilantik sebagai “sub-distributor” untuk mengedarkan rokok Malayan Tobacco Company di kawasan Pasir Mas.

Pada 1961, SMO menukarkan perniagaan mereka dari menjual pinggan mangkuk dan peralatan dapur kepada buku dan alat tulis.

Setahun kemudian, mereka dilantik menjadi ejen untuk mesin jahit jenama PFAFF (Jerman) di kawasan Pasir Mas.

Lama-kelamaan, anak-anak Haji Muda Osman mengembangkan perniagaan ke Kota Bharu pada 1967 dengan membuka sebuah kedai buku dan alat tulis di Bangunan Dewan Perniagaan Melayu.

Anak-anaknya, Haji Hassan, Haji Othman, dan Haji Yusoff meneruskan perniagaan SMO ini sehinggalah ianya diturunkan kepada generasi ketiga iaitu cucu-cucu Haji Muda Osman iaitu Tuan Haji Ahmed Azim Othman, Tuan Haji Noor Hisham Yusoff, dan Tuan Haji Ahmed Azman Othman.

Siapa sangka, pada 1976 SMO dilantik menjadi pengedar tunggal buku Dewan Bahasa dan Pustaka untuk seluruh negeri Kelantan. Selepas lebih 10 tahun, Syarikat Muda Osman diperbadankan menjadi sebuah syarikat sendirian berhad yang membawa konsep “kedai buku dan alat tulis serba lengkap serta selesa” dengan membuka sebuah kedai di Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu pada 1987.

SMO terus berkembang dan pada 1993, mereka membuka sebuah kedai buku dan alat tulis serba lengkap di Pasir Puteh.

Pada tahun 1998, walaupun dalam suasana ekonomi negara yang sedang meleset SMO telah menambah modal dibenarkan dari RM500,000 ke RM5,000,000 dan modal berbayar dari RM165,003 ke RM1,005,003. Ini menunjukkan satu petanda positif dari segi penilaian prestasi, keupayaan perniagaan dan kestabilan kewangan.

SMO yang pada asalnya menjadi pengedar rokok Malaysian Tobacco Company bagi seluruh negeri Kelantan termasuk utara Terengganu memberhentikan perniagaan rokok tersebut pada 1999 dan hanya tertumpu pada buku dan alat tulis. Pejabat cawangan pengedaran rokok SMO di Machang diubahsuai menjadi kedai buku dan alat tulis.

SMO telah diiktiraf sebagai pengedar tunggal Dawama Sdn. Bhd. untuk buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka di seluruh negeri Kelantan di samping beberapa penerbit yang tidak asing lagi di kalangan pembaca. 

SMO juga merupakan pembekal utama buku-buku teks pelajaran ke sekolah-sekolah serta institusi-institusi pengajian tinggi di negeri Kelantan. 

SMO juga merupakan penaja kepada beberapa Pesta Buku Kelantan, satu acara tahunan anjuran Jabatan Pelajaran Kelantan dan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kelantan (PUSTAKA) bagi mempromosikan buku-buku disamping menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar sekolah serta kanak kanak di pelbagai peringkat usia.

Kini, SMO telah mempunyai 32 cawangan rangkaian kedai buku dan alat tulis di seluruh negeri Kelantan seperti di Kota Bharu, Kubang Kerian, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Rantau Panjang, Tumpat dan tak ketinggalan di Terengganu, Pahang dan Selangor.

Oleh: Azizul Farhan

___


Credit 

Isnin, 25 Disember 2023

RANTAU PANJANG BAKAL TENGGELAM SERUPA 2014

Ketika catatan ini ditulis paras air Sungai Golok pada pukul 1.30 petang hari ini, mencatat bacaan 10.70 meter melebihi paras bahaya 9 meter dan menghampiri paras tertinggi banjir 2014 iaitu 10.84 meter, serta data JPS menunjukkan ‘trend’ semakin menaik.

Kalau 60 tahun dahulu fenomena banjir merupakan saat-saat yang dinantikan oleh saya dan rakan-rakan ketika zaman kanak-kanak, tetapi sekarang ianya lebih kepada malapetaka yang mengerikan.

Kejadian banjir yang berlaku di Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas semenjak dari dahulu sampai sekarang adalah disebabkan 3 faktor utama:

1. Limpahan air Sungai Golok mengalir sekitar Daerah Rantau Panjang.

2. Limpahan air Sungai Jedok mengalir ke Kemahang, Baroh Pial, Kubang Kual, Putat Tujuh, Kalbod 5, Pengkalan Teluk, Tersang, Sg. Lubok Jong dan Sungai Golok.

3. Limpahan air Sungai Jegor mengalir ke Klewek, Padang Siam, Danau Tok Uban, Sg Lubok Jong, Tersang, Sungai Golok.

Dahulu air secara semula jadinya boleh mengalir tanpa gangguan, seperti contoh air dari Kalbod 5, Pengkalan Teluk boleh masuk ke Sg. Tersang/Lubok Jong ke sebelah tebing Bukit Lata, Padang Pak Atah, Banggol Kong, Siram dan kawasan lain.

Begitu juga air Sg. Lubok Jong boleh mengalir ke Repek, Batu 5, Pohon Tanjung, Bakong, Meranti dan kawasan lain.


Pada 2018 projek fasa 1 yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (KESBAN) telah dibina dari muara Sungai Golok (Tak Bai) naik ke hulu sehingga ke Kg. Tersang dan melencung ke kiri sejauh 20 km ke Kg. Rengas berhampiran Kg. Chicha Tinggi di sepanjang tebing Sg. Lubok Jong.

Kesan daripada pembinaan ini kawasan bersebelahan benteng dilanda banjir teruk pada musim tengkujuh sepanjang laluan 14 km dari Lubok Jong ke Rantau Panjang.

Punca air daripada 2 buah sungai utama (Sungai Jedok dan Sungai Jegor) sebagaimana disebut di atas tidak dapat mengalir keluar ke Sg. Golok yang tinggi parasnya dan melimpah keluar menyebabkan berlakunya pertembungan air 3 sungai utama membentuk kolam takungan angkara tangan manusia itu sendiri.


Buktinya pada Disember 2022 laluan utama Pasir Mas-Rantau Panjang yang dibina sekitar 1980 buat kali pertamanya dalam sejarah telah terputus hubungan kerana ditenggelami air sedalam lebih 3 meter (10 kaki) di Kalbod 5. 

Sepatutnya pembinaan benteng tersebut memberi manfaat kepada penduduk sekitar tetapi ia adalah sebaliknya. Di mana silapnya? Liputan yang disiar oleh Malaysiagazette pada 16/1/2023 lepas ada kebenaranya.

 https://malaysiagazette.com/2023/01/16/binaan-benteng-punca-banjir-terburuk-di-pasir-mas-rantau-panjang/

Sumber

Ahad, 5 Mac 2023

Syarikat Jepun minat labur RM140 juta di Kelantan

 

KOTA DARULNAIM: Sebuah syarikat dari Jepun yang berasaskan pembangunan produk karbon berminat melabur RM140 juta di Kelantan.

Pelaburan tersebut adalah bagi membina fasiliti ‘Waste Plastic Carbonization and Volume Redaction System‘ yang akan menghasilkan ‘Activated Carbon‘.

Bahan ini akan digunakan sebagai bahan utama untuk menghasilkan produk seperti carbon plate, elektrod yang akan digunakan dalam kapasitor, filter pelbagai gred, penebal haba dan pelbagai lagi produk yang menggunakan karbon sebagai bahan asas.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dato’ Dr Izani Husin sewaktu menerima kunjungan delegasi daripada Ohgi Technological Creation Co (Ohgi) di MABNA-MBI, semalam.

Rombongan tersebut diwakili Pengasas Ohgi,  Takehiko Ohki, Pengasas Bersama Ohgi, Ryuichiro Kuboshima dan wakil Syarikat Bersekutunya, J Global Trading Sdn Bhd.

Ohgi yang berpangkalan di Tokyo memfokus kepada pembangunan produk berasaskan karbon yang digunakan dalam bidang perubatan, makanan, pembinaan dan sebagainya.

Ohgi juga banyak terlibat dengan kajian pembangunan bersama Universiti Ryukoku bagi membangunkan pelbagai produk baharu yang berasaskan karbon.

Setakat ini Ohgi memegang 181 paten pelbagai rekaan produk.

“Pihak Ohgi berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak Pengurusan Siso Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (PPSMP) selaku Syarikat Bersekutu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) bagi menaik taraf sistem pengurusan tapak pelupusan di Daerah Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang,” katanya. – UPKN 


Ahad, 10 April 2022

150 peniaga bazar Ramadan termenung, jualan tak laku

 

Bazar Ramadan Padang Bandaran Pasir Puteh lengang selepas tidak mendapat sambutan pengunjung sejak Ahad lalu di Pasir Puteh.

PASIR PUTEH – Lebih 150 peniaga di bazar Ramadan Padang Bandaran di sini hanya mampu termenung melihat juadah mereka tidak laku dijual ekoran lokasi yang baru dipindahkan itu tidak mendapat perhatian ramai.

Situasi itu berlaku sejak hari pertama Ramadan sehingga menyebabkan para peniaga berdepan kerugian kerana sudah mengeluarkan modal besar termasuk membayar sewa tapak kepada Majlis Perbandaran Pasir Puteh (MPPP).

Difahamkan, antara punca bazar Ramadan di situ tidak laku adalah kerana lokasinya yang tersorok selain keadaan padang yang sentiasa becak dan berlumpur akibat hujan sejak beberapa hari lalu.

Seorang peniaga, Karimah Ismail, 45, berkata, lokasi sebenar bazar Ramadan itu tiga tahun lalu sepatutnya berhampiran Pasir Puteh Sentral di sini.

Katanya, peniaga yang sudah melunaskan sewa tapak kepada MDPP ketika itu, namun tidak sempat berniaga sebelum mereka dibenarkan membuka gerai tahun ini secara percuma di lokasi baharu yang terletak di Padang Bandaran.

“Lokasi ini agak tersorok dan kini dalam keadaan becak selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu. Keadaan itu menyebabkan tiada pengunjung mahu datang membeli juadah berbuka puasa.

“Kebanyakan peniaga sekarang berdepan kerugian kerana kami sudah mengeluarkan modal besar, namun kurang pengunjung pada kali ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, Setiausaha MDPP, Noor Azman Md. Nawi ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mencari pendekatan yang sesuai dalam tempoh terdekat bagi meningkatan keselesaan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan tersebut.

“Keadaan yang berlaku ketika ini di luar jangkaan apabila hujan lebat dalam tempoh tiga malam berturut-turut menyebabkan tapak perniagaan menjadi becak.

“Selain itu, MDPP tidak membuka permohonan baharu untuk peniaga, sebaliknya menggunakan permohonan 2019 dan 2020 sahaja,” katanya.

-Kosmo

Isnin, 26 Julai 2021

DAGING KATOK : LAUK DULU-DULU ORANG KELANTAN

Salah satu cara orang Kelantan dulu2 preserve daging lebihan adalah dgn membuat daging katok.

Cara nk membuatnya daging dipotong2 mengikut urat daging supaya nnti x hancur. Ianya kemudian dilumur garam kunyit dan dijemur 3 ke 4 hari.

Daging itu kemudiannya dibakar dan selepas itu diketuk.

Pelbagai hidangan blh dibuat dgn daging katok antaranya masak lemak cili padi atau digoreng begitu shj.

Sumber harian metro

Jumaat, 9 Julai 2021

Bekas Pengurus Besar Air Kelantan antara 3 ditahan berkait rasuah lebih RM27 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan projek bernilai lebih RM27 juta antara tahun 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB yang berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.

Menurut sumber SPRM, mereka ditahan antara 4.25 petang dan 6.30 petang semalam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Kelantan, lapor Bernama.

SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini terhadap ketiga-tiga mereka.

Difahamkan, siasatan lanjut dilakukan atas dakwaan pembabitan mereka dalam rasuah daripada sebuah syarikat untuk mendapatkan projek dan kerja daripada AKSB, yang juga anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Menurut sumber, kes berkenaan adalah antara kes berprofil tinggi yang membabitkan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, dan siasatan lanjut mengenainya akan dilakukan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa telah mendedahkan salahlaku yang berlaku di dalam AKSB bagaimanapun AKSB telah menyaman Husam.

Namun selepas perbicaraan diadakan, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak saman itu pada 29 Mac 2021 lalu dan memerintahkan AKSB membayar kos perbicaraan itu.

Pada 5 Mac 2018, Husam menuntut penjelasan kerajaan negeri Kelantan berhubung kelulusan tender projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11 (Pakej 1) yang bernilai RM27.1 juta.

Dia mendakwa, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Bagaimanapun Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB Hanifa Ahmad sebaliknya berkata, syarikat terbabit hanya ‘menukar nama’.

Hanifa juga menjelaskan AKSB melantik Cdah Construction dan Jangka Prestasi yang terlibat dalam usaha sama selepas syarikat terbabit lulus semua peringkat penilaian jawatankuasa tender.

Susulan itu pada 28 Mei 2018, AKSB mengambil tindakan undang-undang untuk menyaman Husam yang juga bekas exco kanan Kelantan itu.

-Malaysiadateline

Rabu, 30 Jun 2021

Jual durian kampung 6kg hanya RM10

Shahmi Azani (kiri) dan isteri, Shaidatul Fatini menunjukkan buah durian kampung bersaiz besar yang dijual pada harga RM10 di Kampung Smat Jal, Tumpat.

TUMPAT – Niat untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati durian ketika ini, seorang penjual di Kampung Semat Jal di sini menjual raja durian kampung pada harga RM10 untuk enam kilogram.

Jualan durian yang boleh dimuatkan dalam satu plastik besar itu dilakukan oleh Shahmi Azani Mohd. Tanazi, 27, untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi menikmati buah itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, jualan durian semurah RM10 itu dilakukan dalam tempoh lima hari bermula kelmarin sehingga Jumaat ini.

“Pendekatan ini dilakukan selepas saya turut menerima rungutan orang ramai yang tidak mampu membeli, namun teringin makan durian.

“Disebabkan simpati dengan nasib mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi ketika ini, maka saya ambil keputusan untuk menjual durian pada harga yang murah agar semua orang dapat menikmatinya,” katanya ketika ditemui semalam.

Shahmi Azani berkata, dia yang merupakan pemborong durian di kawasan itu akan menjual sebanyak 12 tan buah setiap hari bemula pukul 8 pagi sehingga pukul 7 petang.

Katanya, bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah bekalan durian, malah ada ketika buah durian akan habis seawal pukul 2 petang.

 “Bekalan pelbagai jenis durian termasuk IOI ganja dan kunyit akan sampai setiap hari. Kebiasaannya, saya menjual durian pada harga berpatutan antara RM3 sekilogram sehingga RM35 sekilogram mengikut gred buah itu.

“Semua bekalan durian ini dibawa dari luar Kelantan iaitu kawasan ke kebun di Tangkak, Johor, Jelebu (Negeri Sembilan) dan Banting (Selangor),” katanya.

Shahmi Azani yang juga ahli kumpulan Pemburu Buah Group, berkata, dia turut mendapat sokongan isterinya, Shaidatul Fatini Shamsudin, 29, untuk terus menjalankan perniagaan itu sejak lebih 11 tahun lalu.

Katanya, dia tidak pernah berkira dengan pelanggan dan disebabkan itu juga gerainya menjual buah durian itu pada harga yang amat berpatutan.-K! ONLINE.

Rabu, 19 Mei 2021

Wanita lari dari PKPD untuk beraya, sebar Covid-19

 


Bachok: Seorang wanita warga emas dari Mukim Bunut Susu yang melarikan diri dari kampung itu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dipercayai untuk menyambut Aidilfitri, sehingga wabak Covid-19 merebak kepada tujuh individu lain.

Warga emas berusia 60-an itu dikatakan lari ke rumah ahli keluarganya di Pulau Beluru, Tumpat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin, berkata, warga emas itu disahkan positif Covid-19 pada hari raya kedua.

"Sebaik mendapati warga emas itu tiada dalam kampung itu sedangkan namanya terdapat dalam senarai, kami mendapat maklumat wanita itu lari ke rumah saudaranya di Tumpat.

"Kami kemudiannya mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat untuk mengesan warga emas berkenaan sebelum mengambilnya untuk tujuan ujian swab.

"Keputusan ujian swab warga emas berkenaan keluar pada hari raya kedua dan disahkan positif Covid-19," katanya pada sidang media ketika meninjau Kampung Pauh Lima, di sini, yang dilaksanakan PKPD mulai tengah malam tadi sehingga 1 Jun depan.

GAMBAR hiasan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
GAMBAR hiasan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Dr Zaini berkata, disebabkan warga emas itu, wabak berkenaan sudah menjangkiti tujuh individu lain iaitu ahli keluarganya di Tumpat.

Beliau berkata, pihaknya mendapati warga emas itu keluar dari kampung selepas mendapat tahu kampung berkenaan akan dilaksanakan PKPD selain mahu menyambut Aidilfitiri.

Katanya, setakat ini, pihaknya masih mengesan kontak rapat warga emas itu untuk menjalani ujian saringan Covid-19.-myMetro

Khamis, 15 April 2021

RAMADAN :Akok Mek Jah muncul setahun sekali

AKOK Mek Jah di Kampung Dalam Ru, Pasir Puteh, Kelantan bersifat eksklusif kerana hanya dinikmati penggemarnya 30 hari dalam setahun, iaitu sepanjang Ramadan. - UTUSAN/TOREK SULONG

 PASIR PUTEH: Tidak sebagaimana kuih akok di tempat lain, Akok Mek Jah di Kampung Dalam Ru, di sini bersifat eksklusif kerana hanya dinikmati penggemarnya 30 hari dalam setahun, iaitu sepanjang Ramadan.

Biarpun mempunyai pelanggan setia tersendiri dan sering pula diminta berniaga tanpa mengira musim, Mek Jah Mat Diah, 57, tetap hanya mahu berniaga kuih tradisi hasil adunan telur itu pada Ramadan, sejak 10 tahun lalu.

“Kalau jual hari-hari, nanti orang bosanlah,” kata wanita itu ketika ditemui Utusan Malaysia di bangsal kayu di hadapan rumahnya, di sini, semalam.

Mek Jah berkata, kehadiran Ramadan membuka peluang kepada keluarganya mencari rezeki lebih hasil perniagaan kuih warisan Melayu Kelantan itu, biarpun hanya dijalankan selama 30 hari.

Menurutnya, rahsia keenakan Akok Mek Jah terletak pada cara adunan dibuat selain dibakar secara tradisional oleh ahli keluarganya menggunakan bara sabut kelapa kering, sekali gus membangkitkan aroma unik tersendiri.

“Saya memproses sendiri bahan adunan menggunakan 1,000 biji telur itik bersama satu beg besar tepung gandum dan 10 kilogram santan kelapa setiap hari. Sekiranya bekalan telur itik tidak mencukupi, saya terpaksa menggunakan telur ayam gred A.

“Perniagaan ini hanya dijalankan di bangsal di depan rumah sejak hampir 10 tahun lalu. Jadi kami tidak perlu bersusah payah mencari bazar Ramadan,” katanya.

Wanita itu memberitahu, perniagaannya dibuka seawal pukul 3 petang setiap hari dengan mendapat tempahan awal daripada pelanggan setia dan lazimnya Akok Mek Jah habis dijual seawal 5 petang.

“Saya jual akok yang masih panas yang baru diangkat dari dapur. Tahun ini kuih tradisional ini dibungkus dalam tiga pakej iaitu RM3, RM5 dan RM10 kerana kami buat kaedah jualan berasaskan pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Selasa, 24 November 2020

KELANTAN PERNAH JADI PUSAT PELACURAN SEHINGGA DIGELAR ‘PARIS OF MALAYA’ PADA 1950-AN?


Siapa sangka Kelantan yang digelar sebagai Negeri Serambi Mekah ini pernah menjadi pusat pelacuran terbesar di Tanah Melayu. Mungkin korang terkejut dengan kenyataan ini, tetapi sebenarnya ia benar-benar berlaku pada tahun 1950-an.

Tidak dinafikan pengajian ilmu agama dan sekolah pondok di sana pada masa itu sangat berkembang pesat tetapi pelacuran pada masa itu juga berleluasa sehingga Kelantan digelar sebagai Paris of Malaya. Jadi, kenapa ia digelar sebegitu? Mari kami huraikan dengan lebih panjang mengenai topik ini.

Paris of Malaya yang bermaksud kota pelacur di Kelantan

Keratan akhbar The Straits Times. Imej dari Yusrin Faidz Yusoff.

Pada awal 1950-an, dilaporkan pusat pelacuran di Kelantan sangat berleluasa, sehingga ada di antara pelacur ini yang dilatih seawal usia 12 tahun. Mereka ini bukan sahaja berasal dari Kelantan malah, seluruh Semenanjung Tanah Melayu (kini Malaysia). Mesti korang tertanya-tanya macam mana boleh muncul para pelacur ini? Haaa… gejala ini terjadi kerana perkahwinan bawah umur mengakibatkan perceraian pada usia muda yang  mendorong mereka ke lembah pelacuran.

Diberi nama Paris of Malaya kerana pada masa itu Paris juga digelar sebagai kota pelacur, tetapi orang Paris pada masa itu sangat marah apabila disamakan dengan Kelantan. Mereka menyatakan bandar Paris masih menjadi bandar yang mempunyai tinggi budaya malah, kalau nak borak pasal kota pelacur, London lagi hebat. Korang boleh tengok keratan akhbar mengenai isu ini di bawah:

Berita mengenai gelaran Paris of Malaya. Imej dari Yusrin Faidz Yusoff.

Hal ini telah dibongkarkan oleh seorang pegawai kebajikan British yang bernama Josephine Foss. Beliau menyatakan ibu-ibu ayam yang menindas anak-anak gadis menjadi pelacur ini akan mendapat ganjaran yang lumayan antaranya dapat tinggal di hotel mewah.

Namun, kenyataan Josephine ini ditentang oleh orang-orang Melayu pada masa itu kerana dia dianggap sengaja menimbulkan ketegangan masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Tapi sebenarnya, isu ini pernah dibincangkan dalam sidang dewan undangan negeri.

Seorang ahli dalam sebuah jawatankuasa, Nik Mohamed Ali, telah melaporkan isu pelacuran yang berleluasa kerana kanak-kanak terjebak dalam pelacuran. Dia mencadangkan supaya pihak berkuasa (Majlis Agama Islam Kelantan) tidak menghukum tetapi, memberikan peluang pekerjaan lain kepada para pelacur.

“Pelacuran tidak dapat dibendung dengan mengirim pelacur ke penjara. Mereka seharusnya diberi pekerjaan.” – Nik Mohamed Ali, petikan dari Malaysiakini.

Betul juga kata Nik Mohamed Ali ni. Imej dari giphy.

Pendapat ini juga dipersetujui oleh ahli politik dari Parti Perikatan (sekarang namanya BN), Inche Yaacob Awang kerana beliau sendiri malu dengan Kelantan sehingga digelar Paris of Malaya. Beliau juga menyalahkan para isteri kerana meminta cerai apabila bergaduh dengan suami.

“Pelacuran di sini menjadi semakin teruk. Di mana sahaja seseorang melintasi seluas negeri ini, seseorang akan menemui pelacur dari Kelantan.” – Inche Yaacob Awang, petikan dari Malaysiakini.

 Namun, pendapat Yaacob itu ditentang oleh isterinya sendiri, Che Halimah, kerana dia tak boleh salahkan wanita sahaja, sebab lelaki lebih bertanggungjawab dalam menangani isu cerai.

“Ramai wanita menjadi pelacur kerana mereka harus mencari sesuatu untuk hidup, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai anak dan telah diceraikan oleh suami mereka.” – Che Halimah, petikan dari Malaysiakini.

Abdullah Munshi melihat pelacur berkemban dan rambut bersanggul

Isu pelacuran di Kelantan ini pernah ditulis dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah (Ke Kelantan). Imej dari Hidup Sastera Melayu.

Seorang penulis tersohor Alam Melayu, Munshi Abdullah, pernah pergi ke Kelantan dan terkejut dengan pusat pelacuran yang dianggap normal di Kelantan (Negeri Serambi Mekah). Beliau juga berjumpa dengan pelacur yang berkemban, rambut bersanggul dan memakai bunga melor yang berjuntai sampai ke lutut. Korang boleh tengok petikan di bawah mengenai isu ini:

“Shahadan maka adalah saya lihat dalam negeri Kelantan itu terlalu banyak perempuan jalang. Maka apabila petang hari, datanglah ia dekat-dekat perahu segala dagang, berjalan berduyun-duyun. Ada pun pakaiannya itu berkemban sahaja dengan tiada berbaju; dan rambutnya bersanggul lintang sangkut. Maka dipakainya bunga melor berumbai-umbai, panjangnya sampai ka lututnya.

____

Maka ada pula yang memakai bunga melor berkarang, dengan berbagai-bagai jenis rupanya; ada yang seperti siku keluang, dan ada berkerawang terlalu indah perbuatannya; tiada pernah saya lihat dalam Melaka atau Singapura karangan bunga yang demikian itu bagusnya.” – Petikan dari buku Kisah Pelayaran Abdullah.

A. Samad Ismail pun memberikan hujah mengenai isu ini. Imej dari Goodreads.

Bukan itu sahaja, isu ini turut diketengahkan oleh lagenda penulis dan wartawan Malaysia, A. Samad Ismail, dalam buku “Temasha Tinta (1966)” pada bahagian cerpen yang bertajuk “Kesah Chinta di Kota Bharu”. Baiklah, mari kami huraikan cerpen ini.

Cerpen ini mengisahkan tentang seorang wartawan muda bernama Nasir yang ditugaskan mengikuti rombongan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman ke Kota Bharu untuk melihat usaha kerajaan Persekutuan memujuk kerajaan PAS dengan menawarkan pembukaan tanah rancangan.

Pada malam Nasir sampai di situ, dia hanya dapat meniduri seorang pelacur yang bergigi emas dan rambutnya berbau minyak makan yang dilumur bunga rampai agar tidak terlalu busuk (dapat pelacur tua agaknya). Dia gelisah kerana tidak mendapat pelacur yang memuaskan nafsunya sejak tiba di Kota Bharu.

Nasir-nasir, kenapa kau macam ni. Imej dari Meme Creator.

Nasib baik menimpa Nasir kerana nafsu kuda dia akhirnya puas apabila dia berjumpa dengan pelacur berbadan gempal ketika mendapat tugas di kawasan pedalaman. Mari kami berikan sedikit petikan dari cerpen tersebut:

“Mereka naik bersama2 dan Nasir lega melihat Taib tidak ada di-dalam bilek-nya. Mereka bergolek di-katel dan sebentar lagi Nasir melepaskan kemarahan-nya dan kerunsingan-nya saperti sa-ekor binatang buas, menggigit dan mencakar, hingga wanita itu mengeloh dan mengerang tetapi menyerah bulat kapada tenaga muda yang memulas dan menghempas-nya di-katel.

____

Bila wanita itu pulang, Nasir terlentang di-katel, badan-nya berpeloh dan mata-nya termengah2 tetapi merasakan kepuasan yang melapangkan kepala-nya dan dada-nya. Taib pulang, melihat Nasir maseh berbogel di-katel-nya, tidor dengan lenyak-nya.” – Petikan cerpen dari FMT.

Kini keadaan telah berubah dan semuanya tinggal sejarah

Kejayaan Islam dikecapi semasa pemerintahan TGNA di Kelantan. Imej dari Berita PAS.

Apabila Kelantan diambil alih oleh PAS sejak 21 Oktober 1990, agama Islam lebih berkembang. Semasa Tok Guru Nik Aziz memimpin Kelantan, banyak inisiatif yang dilaksanakan sehingga digelar “Kerajaan Menerajui Perubahan“. Antaranya, beliau telah menutup premis-premis judi dan panggung wayang di Kelantan, manakala hotel dan kedai tidak dibenarkan menjual dan menyajikan arak di tempat awam kerana ia akan membawa kita ke lembah maksiat.

Justeru, Enakmen Kawalan Hiburan Negeri 1998 diperkenalkan bagi menerapkan nilai keislaman dalam setiap persembahan, serta mengelak amalan khurafat dan tahyul seperti hiburan wayang kulit, makyong, main puteri dan sebagainya.

Pemergian beliau sangat meninggalkan kesan besar pada Kelantan. Imej dari mStar.

Apa yang pasti, perkara yang jadi di Kelantan berpuluh tahun lalu – kini cuma tinggal sejarah. Dengan penguatkuasaan undang-undang dan penerapan nilai-nilai Islam, aktiviti pelacuran bukanlah perkara yang normal lagi dalam masyarakat. Namun, sejarah tetap mengajar kita untuk sentiasa berjaga-jaga dan menuju ke arah pedoman yang lebih baik.

Sumber: soscili.my

Ahad, 22 November 2020

Jika mahu buat duit, inilah tempatnya, datang ke Dabong!


Jika mahu buat duit, inilah tempatnya, datang ke Dabong!

Dabong yang terletak di Gua Musang kini tular dalam kalangan warga tempatan dan menjadi lokasi tumpuan pelancong sehingga menukar landskap ekonomi penduduk di situ. - Gambar Astro AWANI/Muhafandi Muhamad

DABONG: BUKAN cakap kosong. Kalau dahulu, sebut sahaja Dabong, apa yang terlintas ialah kawasan hulu yang tiada pembangunan, tiada kemudahan internet, tiada pasar raya, pekan mati, penduduknya terpinggir dan bermacam-macam lagi.

Dabong tidak meniti di bibir rakyat Kelantan, lebih-lebih lagi untuk sampai ke sini jaraknya sangat jauh, lebih 200 kilometer dari Kota Bharu dan mengambil masa tiga jam jika berkereta.

Ya, memang benar, Dabong tiada pembangunan, tiada pasar raya, tiada stesen minyak, tiada kedai kasut berjenama, tiada butik, tiada pusat kecantikan, tiada tarikan buat anak muda dan kaum wanita.

Namun Dabong mempunyai khazanah alam yang amat tinggi nilainya, sehinggakan Air Terjun Gunung Stong disebut sebut oleh pelancong asing.

Dabong, walaupun lokasinya jauh dan kurang popular - pakej pelancongan yang ada di dalamnya lengkap. Dari Gunung Stong, Air Terjun Jelawang, Gunung Ayam, Gunung Haji Tahir, Kompleks Gua Ikan, Air Sungai Kendrong, Jelawang Pipe resort jeram air yang sejuk dingin, fenomena awan karpet, matahari terbit di atas awan, "God's light" di Gua Pagar dan bermacam-macam lagi yang boleh dirakam menjadi kenangan.

Walaupun terletak jauh di pedalaman Gua Musang, Dabong memiliki pakej pelancongan yang menarik dan luar biasa. - Gambar Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
Kalau dahulu, sebelum dunia dilanda musibah COVID-19, pelancong asing atau penduduk Dabong memanggilnya Mat Salleh, sentiasa datang untuk menerokai alam semulajadi ini dan mereka memilih menaiki keretapi.
Angkara COVID-19, tiada Mat Salleh dan Minah Salleh yang kelihatan, tetapi hanya Pok Leh, atau Pak Salleh, rakan di Dabong.
Pada tahun 2018, ketika pandemik COVID-19 belum mencengkam industri pelancongan, media Malaysia banyak "menjual" Dabong, tetapi tidak laris.
Namakan apa sahaja bentuk laporan, khazanah Dabong, keunikan Gua Batu Kapur, meneroka hidupan liar terancam dan sebagainya, semua sudah dilaporkan oleh Astro AWANI melalui saya atau Penerbit AWANI PAGI, Marlina Manaf.
Pemandangan melihat matahari naik dan terbenam antara kenangan tidak boleh dilupakan jika melawat Dabong. - Gambar Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
Cerita Dabong dan eko pelancongan juga disorot media lain, sama ada percetakan atau televisyen, malah portal-portal juga banyak mengetengahkan tentang keistimewaan Dabong ini.
Usaha selama dua tahun, sejak 2018 menjual Dabong, akhirnya berbaloi. Sambutan pelancong tempatan ke atas Dabong secara perlahan-lahan nampak perubahannya.
Sangkaan saya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Mac 2020, menyebabkan lokasi pelancongan jadi sepi, sekali gus menipiskan poket pemain industri yang terlibat dengan pelancongan, tanpa terkecuali di Dabong.
Tetapi, apabila PKP ditamatkan, diganti PKP Pemulihan, Dabong antara tempat pertama saya kunjungi bersama rakan media, Sinar Harian, Harian Metro.
Laporannya, masih menjurus kepada keindahan dan keunikan Dabong.
Tarikan alam semula jadi dan habitat spesies terancam yang ada di Dabong tiada di tempat lain di Malaysia. - Gambar Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
Tanpa disangka, laporan yang dibuat bersama Marlina antaranya, Khazanah Gua Dabong, pasca pemulihan eko pelancongan Dabong, Ada Apa di Dabong, Awan Karpet, mencetuskan fenomena sekali gus membawa rakyat Kelantan secara beramai-ramai bertandang ke sini.
Rakyat di luar Kelantan mula datang ke sini bermula akhir Julai, hingga kini, sama ada menaiki kereta api atau berkereta.
Sifirnya mudah. Apabila fenomena, ramai yang datang. Ramai yang datang, pendapatan meningkat.
Cerminannya sebagai contoh, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah koc atau gerabak bagi menampung permintaan.
Perjalanan dengan keretapi dikenali "Train to Dabong" mendapat sambutan luar biasa.
Ini diakui peniaga kedai makan di sebelah Stesen KTMB Dabong, Norikmal Rizal Manaf, yang memaklumkan, pada hari minggu (Jumaat dan Sabtu) kawasan stesen kereta api itu akan dipenuhi orang ramai yang datang dari Kota Bharu.
"Lepas PKP, orang cari tempat melancong. Disebabkan tak boleh ke luar negara, orang memilih melancong dalam negara dan Dabong menjadi pilhan," katanya ketika ditemui di kedai makannya.
"Orang datang sini dengan promosi Astro AWANI. YouTuber datang ke Dabong jadi viral. Dengan viral, orang sini jadi terbuka mata tengok Dabong.
"Dahulu, orang dengar Dabong jauh. Tetapi sekarang, orang datang ke Dabong untuk 'explore'," kata anak jati Dabong ini.
Inilah kenderaan pacuan empat roda yang dibeli secara tunai oleh beberapa anak jati Dabong hasil laporan tular mengenai Dabong dan keunikannya. - Gambar Astro AWANI/Muhafandi Muhamad
Pemilik kedai mee udang galah yang turut terletak berhampiran Stesen KTMB Dabong, Rohani Hussein, berkongsi pandangan sama apabila mengakui kesan penyebaran maklumat dan promosi media melonjakkan nama Dabong.
"Alhamdulillah perniagaan saya meningkat dua tiga kali ganda, berganda, sampai empat kotak udang galah sehari! Suka lah! Sebagai peniaga, Alhamdulillah, terutama kepada media yang menaikkan Dabong. Terima kasih Astro AWANI," katanya.
Bagi anak muda Wan Zonun Al Masri Wan Abdul Aziz, yang terlibat sebagai pemandu pelancong, kemasyhuran Dabong yang dipromosi media membolehkan mereka memiliki kenderaan pacuan empat roda yang dibeli secara tunai.
Dabong yang dikenali sebagai tempat "jin bertandang" ini kini jadi lubuk rezeki setelah dipopularkan pihak media.
"Kini, di sini lah limpahan meluas rezeki. Sejak Dabong viral, rezeki bertambah, anak muda sini ramai dapat kerja.
"Saya pemandu pelancong. Dalam empat bulan, saya kumpul duit upah bawa orang mendaki gunung, meneroka Gua Ikan dan sebagainya, saya boleh beli Pajero Prado secara tunai," katanya.
Senada dengan beliau, Nik Ali Nik Mohamed yang dahulu bekerja di Korea Selatan mengakui dengan menjadi pemandu pelancong di tempat kelahirannya di Dabong, ia umpama "hujan emas di negeri sendiri".
Selepas tular, dalam tempoh empat bulan sahaja, Nik Ali mengakui ramai yang dahulunya tiada kenderaan, boleh membeli kereta secara tunai, dahulu yang naik basikal atau pinjam motosikal kawan, kini semuanya memiliki aset sendiri.
Pengakuan dan maklum balas penduduk Dabong ini membuktikan peranan media rasmi dan keberkesanan penyampaian maklumat kepada rakyat membantu mengubah sosio-ekonomi di Dabong.

* Penulis ialah wakil Astro AWANI di Kota Bharu, Kelantan.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.