Khamis, 22 April 2021

FIQAH PUASA:Masuk Sesuatu Dalam Rongga Terbuka (Bahagian 7)


 Fiqah Puasa

Bahagian 7

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

2. MEMASUKKAN SUATU KE DALAM RONGGA YANG TERBUKA

Yang dimaksudkan dengan rongga terbuka ialah mulut dan lubang hidung dan lubang telinga dan kemaluan depan dan belakang.

Maka membatalkan puasa jika sengaja memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut sekali pun atas dasar berubat.

Dan ada pun had yang membatalkan puasa apabila sengaja memasukkan suatu ke dalam rongga-rongga tersebut ialah melepasi had batinnya.

Maka had yang batin bagi hidung ialah kawasan dalam hidung yang jauh yang tidak sampai jari manusia jika dimasukkan padanya. 

Olih kerana itu seorang yang memasukkan jarinya ke dalam lubang hidung kerana membersihkan kotorannya maka tidaklah membatalkan puasa kerana tidak sampai kepada bahagian yang membatalkan puasa tetapi ulamak memakruhkan masukkan jari ke dalam lubang hidung tanpa hajat.

Adapun memasukkan ubat dari hidung jika ubat hanya berada di dalam kelopak hidung maka tidak mengapa tetapi jika disedut atau masuk ubat sampai kepada had yang batin maka ia membatalkan puasa.

Ini adalah kerana dikiaskan tidak batalnya seorang yang berwuduk lalu ia berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung kerana keduanya adalah termasuk sunat-sunat wuduk.

Diriwayatkan daripada ‘Asim bin Laqith daripada bapanya berkata :

Bersabda olih Rasulullah saw bersabda :

أَسْبِغِ الْوُضُوءَ وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ وَبَالِغْ فِى الاِسْتِنْشَاقِ إِلاَّ أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

Artinya : “Ratakan akan wuduk dan gosok celah-celah jari dan bersungguh ketika masukkan air ke hidung melainkan kamu sedang berpuasa.” (Hadith Abu Daud, Ibnu Majah & Nasaai)

Olih itu jika tidak bersungguh memasukkan air ke hidung ketika wuduk tiba-tiba termasuk juga sedikit air wuduk itu kepada had yang batin maka tidaklah membatalkan puasa. Yang membatalkan puasa ialah berlebih-lebihan memasukkan air ke hidung lalu melepasai had batin kerana larangan Rasulullah saw pada hadith tersebut.

Had yang batin bagi telinga ialah melepasi gegendang telinga kerana ia sudah sampai ke otak. Olih itu tidak batal mengorek telinga dengan umpama jari atau kapas kerana kawasan yang biasanya di korek ialah bukan bahagian batin tetapi hanya lubang sebelah luar.

Adapun memasukkan melalui telinga akan air atau ubat misalnya sampai masuk ke otak atau had yang batin maka ia membatalkan puasa.

Adapun mata maka bukanlah ia termasuk rongga yang terbuka. Olih itu tidak membatalkan memasukkan ubat seperti cecair ke dalam mata akan tetapi jika selepas dimasukkan ubat pada mata lalu terasa ubat itu pada tekaknya makan janganlah ia menelannya kerana membatalkan puasa menurut sebahagi fuqahak.

Had batin bagi dubur pula ialah kawasan yang tidak terbuka ketika mengeluarkan najis dan had batin bagi faraj wanita ialah kawasan yang sebelah dalam yang hanya sampai kepadanya olih zakar.

Maka sengaja memasukkan sesuatu kepadanya adalah membatalkan puasa sekalipun atas jalan berubat.

Dan sebahagian ulamak mutaakhirin mengharuskan memasukkan ubat melaui rongga badan kerana ia tidak tergolong dalam artikata makan dan minum.

Memasukkan bahagian buasir yang terkeluar dari dubur tidak membatalkan puasa.

Jika seorang yang mandi atau berenang lalu termasuk air ke dalam telinganya maka jika bukan dengan bersungguh mandinya itu maka dimaaf yaitu tidak membatalkan puasa.

Begitu juga dengan menyelam jika seorang itu sudah tahu apabila dia menyelam akan masuk air kedalam rongga badannya maka batal puasnaya jika dia menyelam dan masuk air. Dan jika pasti air tidak masuk ke dalam rongga badannya jika dia menyelam maka makruh dia menyelam tanpa hajat.

CONTOH RAWATAN YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA

- Ubat yang disapu pada bahagian luar tubuh seperti kulit atau tampalan dan balutan.

- Ubat titis seperti titis pada mata atau telinga atau hidung yang tidak masuk sampai ke dalam had yang batin.

- Ubat jenis kumur yang tidak ditelan.

- Mencabut gigi atau membersihkan gigi atau menampal gigi berlubang atau menanam gigi.

- Suntikan pada kulit seperti lengan atau paha atau punggung atau seumpamanya yang bukan pada rongga yang terbuka.

- Pemindahan darah atau membersih darah atau pengambilan contoh darah.

- Memasukan tiub melalui salur darah.

- Ubat jenis sembur yang tidak ditelan.

-Ubat yang diletakkan di bawah lidah yang tidak masuk ke dalam kerongkong.

- Bius melalui suntikan kerana pembedahan.

- Dan lain-lain.

CONTOH RAWATAN YANG MEMBATALKAN PUASA

- Menelan ubat samada pil atau cecair.

- Memasukkan umpama tiub melalui kerongkong.

- Menyedut inhaler kerana ia adalah cecair yang akan sampai kepada paru-paru melebihi had kerongkong.

- Memasukkan tiub atau ubat melalui lubang kemaluan lelaki.

- Memasukkkan tiub atau teropong atau alat melalui faraj wanita melepasi had batin.

- Memasukkan alat atau ubat ke dalam dubur.

Dan lain-lain.

Dan tidak batal puasa seorang yang dipaksa memasukkan suatu ke dalam rongganya.

wallahua’lam

ustaz azhar idrus

Bersambung tentang muntah yang membatalkan puasa.

0 ulasan:

Catat Ulasan