FIQAH PUASA
Bahagian 14
SUNAT-SUNAT PUASA
MEMELIHARA LIDAH
Disunatkan ke atas orang yang sedang berpuasa menahan lidahnya dari bercakap perkara yang sia-sia yang tidak ada dosa padanya.
Ada pun menahan lidah dari berkata yang haram maka tidaklah wajib pada bulan Ramadhan sahaja bahkan wajib ia pada sepanjang waktu.
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :
كف اللسان والجوارح عن فضول الكلام والأفعال التي لا إثم فيها. وأما الكف عن الحرام كالغيبة والنميمة والكذب فيتأكد في رمضان، وهو واجب في كل زمان، وفعله حرام في أي وقت
Artinya : “(Disunatkan) memelihara lisan dan anggota dari berlebihan pada bercakap dan berbuat perbuatan yang tiada dosa padanya. Dan adapun memelihara lidah dari bercakap yang haram seperti mengumpat dan mengadu domba dan berdusta maka lebih kuat tuntutannya pada bulan Ramadhan dan ia adalah wajib pada setiap waktu dan mengerjakannya haram pada sepanjang masa.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
RAMAI YANG PUASA TAPI TIADA DAPAT PAHALA
Telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. sungguhnya beliau telah mendengar akan Nabi saw bersabda :
كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الظَّمَأُ
Artinya : “Dan betapa ramai orang yang puasa yang habuan dari puasanya hanyalah kelaparan.” (Hadith riwayat Ad-Darimi)
Dan pada satu riwayat Ibnu Majah :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ
Artinya : “Ramai orang yang puasa tiada baginya dari puasanya melainkan lapar.”
Maka setengah dari sebab orang yang berpuasa tidak mendapat pahala selain hanya mendapatkan lapar dan dahaga ialah lidahnya tidak dipelihara dari berkata yang keji.
Dan adakalanya sebab puasanya tidak berpahala disisi Allah ialah kerana berbuka ia dengan makanan yang haram.
Yang jelas bagi kita ialah tidak semua puasa yang dilakukan olih hamba-Nya akan diterima olih Allah dan diberi pahala.
Hanya puasa yang dikerjakan sesuai dengan perintah Allah Taala sahaja yang akan diterima dan diberi pahala.
PUASA YANG TIDAK DISUKAI OLIH ALLAH
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. adalah Rasulullah saw bersabda :
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Artinya : “Siapa yang tidak meninggalkan akan perkataan yang keji dan berbuat dengannya maka tiada bagi Allah berhajat pada dia meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadith riwayat Bukhari)
Berkata Imam Al-‘Aini :
قَول الزُّور وَهُوَ الْكَذِب والميل عَن الْحق، وَالْعَمَل بِالْبَاطِلِ والتهمة
Artinya : “Perkataan yang keji itu ialah dusta dan tidak mengikut kebenaran dan melakukan kebatilan dan tuhmah.” (Syarah Sahih Al-Bukhari)
Dan setengah ulamak memasukkan semua perkataan yang kotor dan tercela dalam larangan hadith tersebut seperti mengumpat dan mencarut dan maki hamun dan menuduh dan seumpamanya.
Berkata ulamak bermula maksud Allah tidak berhajat itu ialah :
مجَاز عَن عدم الِالْتِفَات وَالْقَبُول
Artinya : “Sindiran dari ketiadaan berpaling dan menerima.”
Yakni Allah berpaling dari puasa seorang yang tidak memelihara lidahnya dan kelakuannya dari yang keji dan Allah tidak akan menerima puasanya itu.
ADAKAH MENGUMPAT MEMBATALKAN PUASA?
Ulamak telah berkhilaf pada mengumpat dan mengadu domba dan berdusta atau seumpamanya dari perkataan yang diharamkan itu adakah ia membatalkan puasa?
Maka jumhur dari imam-imam berjalan kepada bahawa tidak membatalkan puasanya dengan yang demikian itu.
Dan meninggalkan perbuatan keji tersebut adalah setengah dari kesempurnaan ibadah puasa.
Dan diriwayatkan daripada Imam At-Tsauri : Bahawasanya mengumpat itu merosakkan puasa sebagaimana telah menyebut yang demikian itu olih Imam Ghazali pada Kitab Ihya’.
Telah meriwayatkan olih Basyar bin Al-Harith beliau berkata : Telah meriwayatkan olih Al-Laits daripada Mujahid :
خصلتان تفسدان الصَّوْم: الْغَيْبَة وَالْكذب
Artinya : “Dua perkara merosakkan puasa yaitu mengumpat dan berdusta.”
Dan pada satu riwayat berkata Mujahid :
خصلتان من حفظهما سلم لَهُ صَوْمه: الْغَيْبَة وَالْكذب
Artinya : “Dua perkara siapa yang memelihara daripada keduanya nescaya selamatlah puasanya yaitu mengumpat dan berdusta.”
Dan diriwayatkan daripada Ibnu Sirrin daripada ‘Ubaidah As-Salmani berkata mereka itu :
اتَّقوا المفطِرَين: الْكَذِب والغيبة
Artinya : “Takutlah kamu sekelian akan dua yang membatalkan puasa yaitu berdusta dan mengumpat.”
Kebanyakkan ulamak menanggung makna mengumpat dan berdusta merosakkan puasa ini ialah merosakkan pahala puasa bukan membatalkan puasa maka jadilah puasanya itu sah tetapi tidak berpahala.
Maka tiada wajib atasnya qadha akan puasa tersebut tetapi bersegera dengan bertaubat.
Dan telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata : Sungguhnya Rasulullah saw telah bersabda :
إِذَا كَانَ يَوْمُ صِيَامِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ شَاتَمَهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ
Artinya : “Apabila adalah hari seorang kamu itu berpuasa maka janganlah berkata yang keji dan berbuat perkara yang bodoh. Maka jika ada seorang memakinya atau membantahnya maka ucapkanlah sungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadith riwayat An-Nasaie)
Dan telah diriwayatkan daripada Al-Harith bin Abdul Rahman bin Az- Zi’bi dari bapa saudaranya daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata : Telah bersabda olih Rasulullah saw :
لَيْسَ الصّيام من الْأكل وَالشرب فَقَط، إِنَّمَا الصّيام من اللَّغْو والرفث
Artinya : “Tiadalah puasa itu hanya dari makan dan minum sahaja. Sungguhnya puasa itu juga dari perkara yang melalaikan dan dari perkataan keji.” (Hadith Imam Al-Baihaqi)
TIGA DARJAT ORANG BERPUASA
Menurut ulamak bahawa puasa itu ada baginya tiga tingkatan yaitu puasa orang awam dan puasa orang yang khusus dan puasa yang paling tinggi darjatnya.
Berkata Imam Ghazali :
عْلَمْ أَنَّ الصَّوْمَ ثَلَاثُ دَرَجَاتٍ صَوْمُ الْعُمُومِ وصوم الخصوص وصوم خصوص الخصوص
وأما صَوْمُ الْعُمُومِ فَهُوَ كَفُّ الْبَطْنِ وَالْفَرْجِ عَنْ قضاء الشهوة
وَأَمَّا صَوْمُ الْخُصُوصِ فَهُوَ كَفُّ السَّمْعِ وَالْبَصَرِ وَاللِّسَانِ وَالْيَدِ وَالرِّجْلِ وَسَائِرِ الْجَوَارِحِ عَنِ الْآثَامِ
وما صوم خصوص الخصوص فصوم القلب عن الهضم الدَّنِيَّةِ وَالْأَفْكَارِ الدُّنْيَوِيَّةِ وَكَفُّهُ عَمَّا سِوَى اللَّهِ عز وجل بالكلية
Artinya : “Ketahui olimu bahawasanya puasa itu ada tiga darjat.
Pertama ialah puasa orang awam dan puasa orang khusus dan puasa khusus al-khusus.
Dan adapun puasa orang awam itu yaitu menahan perut dan kemaluan dari menunaikan kehendak syahwat.
Dan adapun puasa khusus yaitu menahan pendengaran dan penglihatan dan lidah dan kaki dan tangan dan sekelian anggota dari melakukan dosa.
Dan adapun puasa khusus al-khusus yaitu puasa hatinya dari keinginan yang rendah dan hina dan dari memikirkan dunia dan menahan hati akan selain dari Allah Taala secara keseluruhan.” (Kitab Ihya’ Ulumiddin)
Bagi siapa yang sudah sekian lama berpuasa pada darjat yang pertama yaitu puasa orang awam maka sangatlah dituntut supaya naik ke darjat yang kedua yaitu puasa khusus yaitu puasa orang-orang solih.
Berkata Imam Ghazali :
وأما صوم الخصوص وهو صوم الصالحين فهو كف الجوارح عن الآثام وتمامه بستة أُمُورٍ
الْأَوَّلُ غَضُّ الْبَصَرِ وَكَفُّهُ عَنِ الِاتِّسَاعِ فِي النَّظَرِ إِلَى كُلِّ مَا يُذَمُّ وَيُكْرَهُ وَإِلَى كُلِّ مَا يُشْغِلُ الْقَلْبَ وَيُلْهِي عَنْ ذكر الله عز وجل
الثاني حفظ اللسان عن الهذبان وَالْكَذِبِ وَالْغَيْبَةِ وَالنَّمِيمَةِ وَالْفُحْشِ وَالْجَفَاءِ وَالْخُصُومَةِ وَالْمِرَاءِ وإلزامه السكوت وشغله بذكر الله سبحانه وتلاوة القرآن فهذا صوم اللسان
الثَّالِثُ كَفُّ السَّمْعِ عَنِ الْإِصْغَاءِ إِلَى كُلِّ مَكْرُوهٍ لِأَنَّ كُلَّ مَا حُرِّمَ قَوْلُهُ حُرِّمَ الْإِصْغَاءُ إِلَيْهِ وَلِذَلِكَ سَوَّى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بين المستمع وَأَكْلِ السُّحْتِ
الرابع كف بقية الجوارح عن الآثام من اليد والرجل عن الْمَكَارِهِ وَكَفُّ الْبَطْنِ عَنِ الشُّبُهَاتِ وَقْتَ الْإِفْطَارِ
الْخَامِسُ أَنْ لَا يَسْتَكْثِرَ مِنَ الطعام الحلال وقت الإفطار بحيث يمتلىء جوفه فَمَا مِنْ وِعَاءٍ أَبْغَضُ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وجل من بطن مليء مِنْ حَلَالٍ
السادس أن يكون قلبه بعد الإفطار معلقاً مُضْطَرِبًا بَيْنَ الْخَوْفِ وَالرَّجَاءِ إِذْ لَيْسَ يَدْرِي أَيُقْبَلُ صَوْمُهُ فَهُوَ مِنَ الْمُقَرَّبِينَ أَوْ يُرَدُّ عَلَيْهِ فَهُوَ مِنَ الْمَمْقُوتِينَ
Artinya : “Dan adapun puasa khusus maka yaitulah puasa para solihin dengan menahan segala anggota dari perkara dosa dan kesempurnaannya dengan enam perkara berikut :
Pertama :
Menundukkan pandangan mata dan menahannya dari bermudah pada memandang kepada perkara yang dicela dan dibenci dan kepada barang yang menyibukkan hati dan melalaikannya dari ingat akan Allah.
Kedua :
Memelihara lidah dari yang sia-sia dan dusta dan mengumpat dan mengadu domba dan yang keji dan kata nista dan berbalah dan berbantah-bantah dan melazimkan lidah itu dengan diam dan menyibukkan lidah itu dengan zikir akan Allah Taala dan membaca Quran maka inilah puasa lidah.
Ketiga :
Menahan pendengaran dari mendengar kepada sekelian yang dibenci kerana setiap apa yang diharamkan berkatanya maka diharamkan mendengarnya maka kerana itulah Allah Taala menyamakan orang yang sengaja mendengarkan yang haram itu dengan orang yang memakan yang haram.
Keempat :
Menahan sekelian anggota yang lain dari segala perbuatan dosa yaitu tangan dan kaki dari dari sekelian yang dibenci dan menahan perut dari segala yang syubahat pada ketika berbuka puasa.
Kelima :
Bahawa tidaklah memperbanyakkan dari memakan yang halal ketika berbuka puasa dengan sekira-kira sampai penuh perutnya kerana tiada perut yang sangat dibenci olih Allah Taala dari perut yang dipenuhkan dengan yang halal.
Keenam :
Bahawa adalah hatinya selepas dari berbuka puasa itu dalam keadaan gentar dan tergantung antara takut dan harap kerana dia tidak pasti adakah diterima puasanya itu maka dia termasuk kalangan muqarrabin atau ditolak akan puasanya itu maka dia dari yang dimurkai.” (Kitab Ihya’ Ulumiddin)
wallahua’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan