Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang memandang serius percubaan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang cuba campur tangan dalam urusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dalam soal pertukaran jawatan dan tugas pegawai-pegawai kanan polis Malaysia dalam PDRM.
Sabtu, 10 April 2021
HAMZAH ZAINUDDIN DIKECAM CAMPURTANGAN PERTUKARAN PEGAWAI2 KANAN POLIS
Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang memandang serius percubaan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang cuba campur tangan dalam urusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador dalam soal pertukaran jawatan dan tugas pegawai-pegawai kanan polis Malaysia dalam PDRM.
Zahid, Anwar akan dipanggil beri keterangan: KPN
KLANG - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil bagi merakam keterangan berhubung isu rakaman audio perbualan telefon yang tular.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak polis telah membuka kertas siasatan berkaitan perkara tersebut.
"Produser operasi standard (SOP) tindakan yang kita akan ambil berdasarkan sesebuah kes adalah pegawai penyiasat akan panggil individu terlibat untuk merakam keterangan, itu proses siasatan.
"Kedua, pihak Ahmad Zahid dan Anwar sekiranya merasakan diri teraniaya, mereka boleh tampil membuat aduan supaya polis lakukan siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Tapak Padang Surau An-Nur, Bandar Puteri, Klang pada Sabtu.
Menurutnya, setakat ini lapan laporan polis telah diterima berhubung perkara berkenaan.
"Proses tindakan siasatan akan diambil dan hasil analisa sedang ditunggu. Sekiranya ada, hasil analisa tersebut akan diangkat kepada Jabatan Peguam Negara untuk klasifikasikan atas kesalahan undang-undang dan seksyen apa.
"Sebolehnya kita akan dapatkan penyelesaian cepat agar siasatan dapat disegerakan," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung rakaman audio tersebut di seluruh negara.
“Rakaman audio itu akan dihantar ke Makmal Forensik bagi dianalisis perbandingan persamaan suara dalam rakaman audio berkenaan.
“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya.
Pada 7 April lalu, satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar didedahkan di media sosial.
Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada Perhimpunan Agung UMNO yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
-SH ONLINE
Ahad, 4 April 2021
Pulanglah Sajat, kamu bukannya hadapi kes berat di mahkamah - Ketua Polis Negara
Polis hairan dengan tindakan Sajat melarikan diri memandangkan dia tidak berdepan pertuduhan atau hukuman berat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman agar segera keluar dari tempat persembunyiannya dan seterusnya berhadapan dengan kes yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.
Menurutnya, ketika ini, pihak polis masih belum mendapat sebarang perkembangan tentang kedudukan dan keberadaan usahawan kontroversi terbabit yang dipercayai sedang berada di luar negara.
Tambah beliau, pihaknya turut berasa hairan dengan tindakan yang dilakukan Nur Sajat ketika ini iaitu dengan melarikan diri memandangkan dia tidak menghadapi sebarang pertuduhan atau hukuman yang berat di mahkamah.
Abdul Hamid turut menjelaskan bahawa polis sebelum ini telah berjaya mengesan keberadaan Nur Sajat dan cuba untuk menahannya namun terdapat beberapa kekangan terutama kewujudan lorong tikus di sempadan negara telah menggagalkan usaha tersebut.
"Saya harap dia bertanggungjawab, itu private life dia, saya tahu, (tetapi) janganlah apabilah dia berada di luar negara ke, tempat persembunyian, dia masih lagi hendak mencuit perasaan orang ramai (dengan kenyataan dan tindakan yang dilakukannya), (saya minta dia) balik (dan) pergi ke mahkamah,
"Dia sudah memang di luar negara, masa dia lari dari mahkamah itu kita tidak dapat kesan, hanya kita tahu lebih kurang dia di mana. Kita ada teknik mengesan misalnya ada di Kedah, Perak, kita cuba hendak menahan dia di sempadan. Tetapi kena faham, sempadan kita bukan sahaja tembok, kalau mereka gunakan lorong tikus ini, sukar bagi kita," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Seksyen K9 Bahagian Bantuan Teknik D6 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM di Langkawi pada Ahad.
Rabu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali sebagai Nur Sajat berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Muhammad Sajjad berada di luar negara, namun pemantauan sedang dilakukan.
-AstroAwani
Khamis, 10 Disember 2020
Laporan usahawan dakwa diperas ugut SPRM diketahui minggu depan - KPN
Kuala Lumpur: Laporan awal siasatan terhadap seorang usahawan yang mendakwa diperas ugut ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Oktober lalu, bakal diketahui minggu hadapan.
Pada peringkat awal, polis mendapati adanya kesalahan mengikut Sekyen 384 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pemerasan dan Seksyen 500 kanun sama atas kesalahan fitnah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima tiga laporan membabitkan laporan dibuat usahawan berusia 32 tahun itu, laporan balas SPRM yang dibuat semalam serta laporan daripada seorang individu yang menafikan laporan pertama oleh usahawan terbabit.
"Memandangkan banyak isu teknikaliti dalam kes ini, polis memulakan perbincangan dan tiada apa-apa halangan dalam menjalankan siasatan.
"Namun, ada beberapa perkara perlu kita tentukan sebelum mengambil langkah seterusnya.
"Mungkin Isnin dan Selasa hadapan kita akan dapat mengetahui hala tuju kes ini dan mula memanggil saksi yang mempunyai maklumat," katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, hari ini.
Abdul Hamid berkata, pihaknya memerlukan masa untuk memulakan siasatan kes itu disebabkan butiran dalam laporan dibuat terlalu banyak dan berselang-seli serta perlu dirungkai secara satu persatu.
Beliau berkata, berdasarkan semua laporan diterima, ada kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan menyebabkan tumpuan siasatan ke arah itu.
"Saya sudah mengarahkan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar M Sree untuk mengkaji sedalam-dalamnya perkara ini.
"Kita tidak mahu membuang masa oleh sebab laporan pertama dan kedua yang mendakwa berlakunya perbalahan," katanya.
Beliau berkata, perbalahan dikesan dalam laporan itu adalah membabitkan dua orang ahli perniagaan termasuk usahawan rokok elektronik (vape) terbabit.
Menurutnya, polis tidak mahu terperangkap dan membuang masa dalam siasatan kes perbalahan itu menyebabkan siasatan perlu dibuat secara berhati-hati.
Terdahulu, usahawan vape berkenaan mendakwa diperas ugut ketika ditahan SPRM pada 1 Oktober lalu.
Beliau disoal siasat berhubung pembabitannya bersama dua individu yang kini sedang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti Macau Scam dan pengubahan wang haram.
-myMetro
















