Khamis, 17 September 2026

SUSAH-SUSAH SANGAT, SELAIN RASA BESAR DIRI DAN WAWASAN PUN INGIN DIKETEPI, ELOK PAS LUPAKAN SAJA UMNO

 SUSAH-SUSAH SANGAT, SELAIN RASA BESAR DIRI DAN WAWASAN PUN INGIN DIKETEPI, ELOK PAS LUPAKAN SAJA UMNO

16 September 2026

Kalau mahu dibuat perbandingan, UMNO ketika ini sebenarnya sedang berada di titik terendah sepanjang sejarah perjuangannya.

Dengan 26 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU15 lalu, jumlah itu adalah angka paling sedikit pernah dimenanginya berbanding semua pilihan raya sebelum ini.

Lebih pedih lagi, dengan 26 kerusi itu juga, UMNO tertinggal di belakang PAS (43 kerusi) dan Bersatu (31 kerusi)  yang kedua-duanya merupakan parti serpihannya sendiri.

Tetapi, adakah  UMNO sedar diri dan selalu merendah diri?

Baru-baru ini, setelah baru memenangi dua PRN - Johor dan Negeri Sembilan - kecenderungan untuk sombong diri seolah-olah ada 126 kerusi ternampak ketara sekali.

Ini kerana, di ketika UMNO dilihat mahu bekerjasama dengan PAS demi penyatuan ummah, parti itu mula menuntut PAS menunjukkan keikhlasan melalui kesediaan menyerahkan beberapa kerusinya di negeri-negeri SG4.

Kononnya, dengan sedia menyerahkan kerusi di negeri SG4 itu, itulah tanda keikhlasan PAS.

Tindakan tersebut dilihat amat menjengkelkan kerana di PRN Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, UMNO langsung tidak ada menyerahkan mana-mana kerusinya kepada PAS.

Apa yang berlaku di kedua-dua PRN itu, UMNO dan PAS hanya sekadar bekerjasama untuk menang saja.

Di PRN Melaka yang bakal menjelang tiba pula, awal-awal lagi Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh mengatakan BN akan tetap bertanding di semua 21 kerusi yang dimenanginya pada PRU tahun 2022 lalu.

Mudah cakap, UMNO belum lagi menunjukkan keikhlasannya kepada PAS setakat ini, tetapi ia sudah menuntut PAS menzahirkan keikhlasan terlebih dahulu.

Bukankah itu ciri-ciri kesombongan dan rasa besar diri UMNO? 

Nampaknya pesanan Naib Presiden UMNO yang disebut-sebut bakal jadi TPM, Johari Ghani  yang menggesa parti itu jangan mula berasa sombong hanya kerana kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan, langsung tidak dijiwai.

UMNO ternampak tetap bangga kerana ia parti yang punya ramai ahli, meskipun hakikatnya rakyat yang menyokong sudah lama mengecil.

Dalam PAU2026 baru-baru ini, beberapa perwakilan mula bercakap bahawa UMNO hanya ingin berunding soal pembahagian kerusi dengan PAS dan bukan dengan PN.

Malah ada perwakilan yang menggelarkan Parti Wawasan Negara, salah satu komponen PN sebagai “parti kucing.”.

Kenapa UMNO tujuan mula bercakap dengan nada begitu?

Dalam hal ini, UMNO sebenarnya mahu mengambil sebahagian daripada 31 kerusi yang dimenangi Bersatu yang kini sudah terpecah kepada 19 milik Wawasan, 6 masih bersama Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dan 6 lagi sudah menjadi Bebas tetapi menyokong Anwar Ibrahim.

Oleh kerana di semua 31 kerusi itu UMNO telah kalah kepada Bersatu, maka ia berhasrat mahu mengambil sebahagian daripada kerusi-kerusi itu supaya ia dapat jadi besar melebihi PAS selepas PRU16 nanti.

Jika perundingan hanya melibatkan PN, sudah tentu 19 kerusi yang sekarang kepunyaan Wawasan misalnya,  tetap akan ditandingi oleh parti itu selepas ini.

Jika begitu, berbekalkan hanya 26 kerusi sedia ada, UMNO merasakan mereka tidak akan dapat menandingi jumlah yang dimiliki PAS.

Dalam hal ini, PAS harus berhati-hati dan jangan terpedaya dengan perangkap UMNO yang hanya ingin berunding dengannya, tetapi mengenepikan PN.

Sebarang perundingan kerusi dengan UMNO, selain mesti melibatkan PN, bahkan semua 74 kerusi yang dimenangi PN, sama ada sekarang sudah beralih jadi Bebas atau masih dalam pegangan Bersatu, semuanya mesti dikekalkan untuk ditandingi PN pada PRU16 akan datang.

Dalam konteks berkaitan, rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PN sepatutnya hanyalah melibatkan kerusi-kerusi yang sekarang dipegang oleh PH saja.

Kiranya UMNO terus dengan rasa besar diri mereka, seelok-eloknya biarkan PAS lupakan saja parti itu dan lebih bagi PN pilih bergerak secara solo.

Selepas keputusan pilihan raya, baru berunding untuk menubuhkan kerajaan dengan parti yang menang paling banyak kerusi akan mengetuai kerajaan baharu nanti. 

- ShahbudinHusin

 16Sept2026.

0 ulasan:

Catat Ulasan