Rabu, 21 April 2021

FIQAH PUASA:Melihat Anak Bulan (Bahagian 4)


 FIQAH PUASA

Bahagian 4

MELIHAT ANAK BULAN

Masuknya bulan Ramadhan itu dengan salah satu dari dua perkara :

Pertama : 

Rukyah yaitu melihat anak bulan Ramadhan olih seseorang pada malam ke tiga puluh dari bulan Sya’ban.

Adalah yang demikian itu dengan bahawa seorang yang adil telah berksaksi di hadapan qadhi sungguhnya dia telah melihat akan anak bulan Ramadhan.

Kedua :

Dengan cara menyempurnakan bulan Sya’ban sebanyak tiga puluh hari.

Menggunakan cara ini ialah apabila kesukaran melihat anak bulan dengan sebab awan telah menutup langit di sebelah terbit anak bulan atau tidak ada saksi yang melihat anak bulan.

Ini adalah kerana melihat anak bulan itu ialah pada petang hari ke dua puluh sembilan bulan Sya’ban maka jika tidak kelihatan anak bulan atau tertutup olih awan maka dijadikan hari esoknya sebagai hari yang ke tiga puluh bulan Sya’ban dan mula berpuasa pada hari selepas tiga puluh sebagai hari pertama Ramadhan.

Bermula dalil diwajibkan berpuasa dengan sebab melihat anak bulan itu ialah hadith yang telah diriwayatkan olih Abu Hurairah r.a. Nabi saw telah bersabda :

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فإنْ غُبِّيَ علَيْكُم فأكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

Artinya : “Hendaklah kamu mula berpuasa kerana melihat akan anak bulan dan hendaklah kamu berhari raya kerana melihatnya. Maka jikalau awan menutup atas penglihatan kamu maka sempurnakanlah akan bilangan bulan Sya’ban itu menjadi tiga puluh.” (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Yang dimaskudkan dengan sempurnakan Sya’ban menjadi tiga puluh ialah belum lagi berpuasa pada hari selepas hari melihat anak bulan itu.

Dan diriwayatkan daripada Rib’ie r.a. Nabi saw telah bersabda :

إِذَا رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ فَصُومُوا، وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَتِمُّوا شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا الْهِلَالَ قَبْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ صُومُوا رَمَضَانَ ثَلَاثِينَ إِلَّا أَنْ تَرَوْا الْهِلَالَ قَبْلَ ذَلِكَ

Artinya : “Apabila kamu sekelian nampak akan anak bulan (Ramadhan) maka hendaklah kamu sekelian berpuasa. Dan apabila kamu sekelian melihat akan anak bulan (Syawal) maka hendaklah kamu berhari raya. Maka jikalau ditutup atas penglihatan kamu (ketika melihat anak bulan Sya’ban) maka sempurnakanlah akan bulan Sya’ban itu menjadi tiga puluh melainkan bahawa kamu nampak akan anak bulan sebelum yang demikian itu. Dan hendaklah kamu sekelian puasa akan Ramadhan itu sebanyak tiga puluh hari melainkan bahawa kamu nampak akan anak bulan (Syawal) sebelum itu.” (Hadith riwayat An-Nasaie)

Berkata Imam Nawawi :

قَالَ أَصْحَابُنَا وَغَيْرُهُمْ وَلَا يَجِبُ صَوْمُ رَمَضَانَ إلَّا بِدُخُولِهِ وَيُعْلَمُ دُخُولُهُ بِرُؤْيَةِ الْهِلَالِ فَإِنْ غُمَّ وَجَبَ اسْتِكْمَالُ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

Artinya : “Telah berkata Ashab kami dan lainnya tidak wajib puasa Ramadhan melainkan dengan masuknya bulan Ramadhan. Dan diketahui akan masuknya bulan Ramadhan itu ialah dengan melihat anak bulan. Maka jika cuaca mendung menutup penglihatan nescaya wajiblah menyempurnakan bilangan Sya’ban menjadi tiga puluh hari.” (Kitab Al-Majmu’)

BERSAKSI MELIHAT ANAK BULAN

Maka apabila ada seorang lelaki yang adil atau dua orang perempuan berksaksi di hadapan qadhi bahawa dia telah melihat anak bulan Ramadhan sekalipun orang lain tidak melihatnya nescaya hendaklah qadhi mengumumkan akan perintah memulai berpuasa pada keesokkannya.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata :

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: إِنِّي رَأَيْتُ الْهِلَالَ، يَعْنِي هِلَالَ رَمَضَانَ، فَقَالَ: " أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " أَتَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ " قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: " يَا بِلَالُ، أَذِّنْ فِي النَّاسِ أَنْ يَصُومُوا غَدًا

Artinya : “Telah datang seorang A’rabi kepada Nabi saw lalu berkata : Sungguhnya aku telah nampak akan anak bulan yakni anak bulan Ramadhan. Maka Nabi saw bersabda : Adakah kamu bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah? Katanya : Ya. Bersabda Nabi saw lagi : Adakah kamu bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah? Kata lelaki itu : Ya. Nabi saw pun bersabda kepada Bilal : Wahai Bilal. Hendaklah kamu beritahu segala manusia supaya mereka semua mula berpuasa pada esok hari.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

PERBEZAAN HARI PUASA SEBAB NEGERI YANG BERBEZA

Bermula perintah berpuasa ini ialah ke atas penduduk negeri yang dilihat padanya anak bulan Ramadhan tersebut atau mereka yang tinggal berdekatan dengan negeri tersebut.

Ada pun penduduk negeri yang berjauhan maka hendaklah mengikut akan perintah dari pemerintah yang mereka tinggal itu samada nampak anak bulan dan mula berpuasa atau tidak nampak anak bulan dan menyempurnakan bulan Sya’ban menjadi tiga puluh.

Berkata Dr Mustafa Al-Khin :

إذا لم يجب الصوم على أهل بلد بعيد فسافر إليه شخص من بلد الرؤية فإنه يوافقهم في الصوم آخراً، وإن كان قد أتم ثلاثين يوماً، لأنه بالانتقال إلى بلدهم صار واحداً منهم، فيلزمه حكمهم، ومن سافر من البلد الذي لم ير فيه الهلال إلى بلد الرؤية أفطر معهم، سواء أصام ثمانية وعشرين يوماً، وذلك بأن كان رمضان عندهم ناقصاً فأفطر معهم في التاسع والعشرين، أم صام تسعة وعشرين، وذلك بأن كان رمضان عندهم تاماً لكنه يقضي يوماً إن صام ثمانية وعشرين، لأن الشهر لا يكون كذلك.

ومن أصبح في بلد معيداً، فسافر إلى بلد بعيد أهله صيام وجب عليه أن يمسك بقية اليوم موافقة لهم.

Artinya : “Apabila bermusafir olih seorang dari negeri yang telah nampak anak bulan pergi ke negeri yang jauh yang belum wajib berpuasa maka sungguhnya hendaklah dia menyertai mereka yaitu menahan diri dari makan dan minum pada hari yang terkahir sekalipun dia telah menyempurnakan tiga puluh hari berpuasa kerana dia telah berpindah kepada negeri mereka itu yang jadilah dia setengah dari mereka itu maka wajib atasnya hukum mereka itu. Dan siapa yang bermusafir dari negeri yang tidak nampak anak bulan ke negeri yang nampak anak bulan maka hendaklah dia berhari raya bersama mereka samada dia telah berpuasa sebanyak dua puluh lapan hari sahaja dan yang demikian itu adalah kerana Ramadhan di sisi penduduk negeri itu kurang sehari maka berhari rayalah dia bersama mereka itu pada hari yang ke dua puluh sembilan berpuasa (disisinya) atau dia telah berpuasa selama dua puluh sembilan hari dan yang demikian itu adalah kerana Ramadhan di sisi penduduk itu sempurna akan tetapi hendaklah dia qadha puasa sehari jika dia hanya berpuasa dua puluh lapan hari dari kerana sungguhnya tidak ada bulan itu sebanyak dua puluh lapan hari. Dan barangsiapa yang pada awalnya berada di negeri yang berhari raya lalu dia bermusafir ke negeri yang masih berpuasa maka wajib atasnya menahan diri dari makan dan minum sepanjang hari tu kerana muwafakat dengan penduduk negeri tersebut (yang masih berpuasa).” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Keterangan :

Jika seorang yang berasal dari negeri yang sudah mula berpuasa pergi ke negeri yang belum mula berpuasa maka hendaklah dia bersama penduduk negeri tersebut berpuasa pada hari yang terkahir sekalipun dia telah berpuasa sebanyak tiga puluh hari yakni pada hari yang ke tiga puluh satu itu dia tidaklah berhari raya seorang diri bahkan menahan diri dari makan dan minum kerana meraikan negeri yang dia sedang berada itu kemudian berhari raya bersama mereka selepas hari itu.

Dan jika seorang yang berasal dari negeri yang belum berpuasa pergi ke negeri yang sudah berpuasa kemudian penduduk negeri tersebut hanya berpuasa selama dua puluh sembilan hari sedangkan yang musafir itu baru berpuasa selama dua puluh lapan hari nescaya hendaklah dia berhari raya bersama mereka walau pun dia baru berpuasa sebanyak dua puluh lapan hari sahaja dan wajib dia qadha sehari lagi selepas hari raya kerana tidak ada puasa sebanyak dua puluh lapan hari kerana sekurang-kurang puasa itu ialah dua puluh sembilan hari.

Dan jika seorang yang telah berhari raya bermusafir ke negeri yang masih berpuasa maka wajib atasnya menahan diri bersama penduduk negeri yang masih berpuasa itu kemudian dia berhari raya sekali lagi bersama mereka selepas itu.

TIDAK SAH PUASA DAN HARI RAYA DENGAN MENGIKUT NEGERI LAIN

Tidak harus mengikut waktu puasa atau waktu berhari raya akan negeri yang jauh kerana berlainan masa dan jam sekalipun sama-sama negeri orang Islam.

Jika ada orang yang berkata dengan harus umat Islam di Malaysia mengikut tarikh puasa dan tarikh  berhari raya di negeri Mekah tanpa melihat anak bulan maka perkataannya itu adalah batil dan menyalahi perintah syarak lagi haram diikut akan perkataan seumpama itu kerana telah ijmak ulamak bahwa setiap negeri yang berasingan hendaklah melihat sendiri akan anak bulan samada terbit atau tidak bagi menentukan tarikh puasa dan tarikh hari raya.

Telah diriwayatkan daripada Kuraib r.a. :

أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ رضي الله عنهم بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ في آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ فَقُلْتُ أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لَا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ - صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Artinya : “Ummu Al-Fadhl binti Al-Harith telah mengutusnya (Kuraib) kepada Muawiyah r.a. yang berada di negeri Syam lalu aku pun menunaikan akan hajatnya dan ketika aku berada di negeri Syam aku telah masuk dalam bulan Ramadhan dan aku telah melihat anak bulan pada malam jumaat kemudian aku kembali ke Madinah pada akhir bulan Ramadhan. Lalu Ibnu Abbas r.a. telah meminta aku datang dan bercakap tentang anak bulan. Kata Ibnu Abbas : Bilakah kamu nampak anak bulan Ramadhan? Jawab aku : Kami melihat anak bulan pada malam jumaat. Kata Ibnu Abbas : Kamu pun melihatnya? Jawabku : Ya dan sekelian manusia pun nampak dan sekelian mereka berpuasa dan Muawiyah pun berpuasa. Berkata Ibnu Abbas : Akan tetapi kami melihat anak bulan pada malam sabtu maka kami sentiasa berpuasa sampailah sempurna tiga puluh hari atau kami nampak (anak bulan sebelum tiga puluh). Maka aku berkata : Tidak cukupkah (umat Islam di Madinah) dengan melihat anak bulan olih Muawiyah dan dengan berpuasanya Muawiyah (di Syam)? Berkata Ibnu Abbas : Tidak kerana seperti inilah kami diperintahkan olih Rasulullah saw.” (Hadith riwayat Muslim)

Maksud hadith ini sahabat yang bernama Kuraib r.a. menyangka bahawa nampaknya anak bulan Ramadhan di negeri Syam sudah mencukupi untuk umat Islam di Madinah mula berpuasa tetapi Ibnu Abbas r.a. menjelaskan kepada Kuraib bahawa Nabi saw telah memerintahkan bahawa setiap negeri hendaklah masing-masing melihat anak bulan dan tidak harus mengikut akan negeri yang lain.

wallahua’lam

ustaz azhar idrus

Bersambung Rukun-rukun puasa...

0 ulasan:

Catat Ulasan