"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Stres. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Stres. Papar semua catatan

Isnin, 22 November 2021

Lebih ramai alami sindrom tekanan akibat Covid-19, kata pakar

 

Lebih ramai orang mengalami tekanan teruk dan simptom keresahan akibat pandemik.

PETALING JAYA: Ketidaktentuan pandemik Covid-19 menyebabkan lebih ramai orang mengalami tekanan disebabkan kebimbangan mengenai kesihatan diri, penjagaan kesihatan, keselamatan pekerjaan dan bekalan makanan serta kelengkapan rumah yang mencukupi, kata pakar terapi.

“Sesiapa sahaja boleh mengalami sindrom tekanan Covid-19 tetapi mereka yang memang mempunyai masalah keresahan dan kesihatan mental akan berdepan dengan risiko lebih besar,” kata pakar hipnoterapi klinikal Nivedita Ramanujam.

Katanya, fobia dan bimbang dijangkiti juga boleh menjejaskan ketahanan dan penyesuaian diri seseorang dalam era pasca-Covid-19.

Sebuah persidangan antarabangsa minggu lalu turut diberitahu bahawa lebih ramai orang mengalami tekanan teruk dan simptom keresahan akibat pandemik menyebabkan penyesuaian tingkah laku perlu dilakukan dengan kerap sebagai respons kepada risiko yang berubah-ubah serta garis panduan kerajaan.

Persidangan Kesihatan Mental Antarabangsa anjuran London College of Clinical Hypnosis (LCCH) Asia itu membincangkan bagaimana gejala yang lebih teruk ini boleh membawa kepada sindrom tekanan Covid-19.

Pakar hipnoterapi klinikal Nivedita Ramanujam dan Gavin Emerson.

Sindrom ini terutamanya dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental yang lemah dan kesan sosial seperti pembelian panik, menghindari orang secara berlebihan dan mekanisme daya tindak balas yang tidak efektif ketika tempoh pengasingan.

Pada persidangan itu, pakar hipnoterapi klinikal bertauliah, Gavin Emerson berkata, ketahanan diri adalah dinamik dan apabila berdepan kesukaran, ia akan menyebabkan seseorang tidak berupaya untuk mengatasinya.

“Ia bukan mengenai kekuatan mental tetapi cara kita bertindak balas terhadap krisis seperti sindrom tekanan Covid-19,” katanya.

“Sikap belas kasihan terhadap diri, alat hipnoterapi yang terbukti boleh menimbulkan emosi positif untuk menangani sindrom tekanan Covid-19, meningkatkan ketahanan dan penyesuaian diri pasca-Covid-19,” katanya.

Nivedita berkata, hipnoterapi boleh digabungkan dengan jenis psikoterapi lain seperti terapi tingkah laku kognitif untuk melengkapi klien dengan keupayaan untuk mengawal tindak balas emosi dan psikologi masing-masing.

Beberapa strategi pengurusan lain termasuk mengamalkan pengambilan makanan sihat, kerap melakukan senaman dan mendapatkan bantuan profesional menerusi rawatan terapi.-FMT

Selasa, 29 Jun 2021

Covid19: Rakyat tak larat hidup ‘berimunisasi’ PKP

 

Gambar hiasan

Hari ini, rakyat terus ‘berkurung’ ekoran lanjutan tempoh Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 selama dua minggu lagi.

Kes harian Covid-19 ketika ini masih melebihi 5,000 kes walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Situasi itu menyebabkan rakyat terus tertekan, apatah lagi masalah vaksinasi yang belum selesai kerana negara-negara besar membolot vaksin tersebut.

Sebelum ini, dilaporkan sebanyak 109,806 daripada 122,328 panggilan direkodkan berkait rapat dengan isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial akibat Covid-19.

Statistik itu diterima menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 1 Januari hingga 18 Jun lalu.

Bagi pakar kekeluargaan yang juga Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia (PPPM), Prof. Dr. Fatimah Daud, pelanjutan itu menyebabkan orang ramai tidak boleh lagi ‘berimunisasi’ dengan perkataan PKP atau Fasa 1 yang masih gagal mengurangkan kes Covid-19.

Tegasnya, rakyat hanya ingin tahu apakah pendekatan terbaik yang boleh dilakukan kerajaan supaya mereka dapat menjalani kehidupan bebas.

“Jika dahulu, rakyat mengambil serius termasuk ‘berkurung’, namun kini mereka semakin tertekan susulan tiada duit dan kerja.

“Rakyat cuma mahu kerajaan mencari punca sebenar mengapa kes Covid-19 tidak turun. Perkara ini menjadi fokus tidak kira mereka yang masih mempunyai gaji atau sebaliknya kerana enggan mendengar lagi penyambungan PKP,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Fatimah memberitahu, pelanjutan PKP menyebabkan sebilangan kecil rakyat berpendapat bahawa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekadar mengganggu urusan mereka termasuk dalam soal ibadat.

“Sampai ada tahap berpendirian kalau hendak mati, mati juga. Namun, kejayaan melawan Covid-19 ini adalah gandingan antara kerajaan dan rakyat.

“Peperangan menentang virus Covid-19 adalah berbeza dengan peperangan fizikal yang boleh diketahui pengakhirannya,” kata beliau.

Umum mengetahui, perdebatan mengenai isu pembukaan kilang yang dikategorikan per­khidmatan perlu terus berpanjangan apabila tetap berlaku pe­langgaran SOP.

“Malah terdapat kilang yang mengambil kesempatan bero­perasi tanpa kebenaran dan memalsukan surat permohonan mereka,” ujar Fatimah.

Sementara itu, pakar sosiologi dan politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. P. Sivamurugan berpendapat, kekurangan dalam memerangi Covid-19 ketika ini adalah pemfokusan yang lebih tertumpu kepadaRakyat tak larat hidup ‘berimunisasi’ PKP ekonomi dan kesihatan, sedang­kan terdapat satu lagi isu besar iaitu hubu­ngan sosial dalam masyarakat serta keluarga.

Menurutnya, PKP perlu ada pe­ngubahsuaian berikutan rak­yat telah mula rasa kecewa, marah serta boleh dilihat mahu memberontak yang berkemungkinan memberikan kesan lain kepada negara.

“Isunya ada tiga perkara iaitu bagaimana hendak memastikan SOP dipatuhi dengan ketegasan yang jitu tanpa ada double stan­dard, komunikasi maklumat kepada rakyat supaya jelas dan tidak wujud sekali lagi prasyarat yang berbeza.

“Selain itu, kita harus terus mempertahankam petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus untuk melandaikan keluk ini,” katanya.-K! ONLINE

Khamis, 8 April 2021

Stres pembunuh dalam senyap

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Menyebut perihal stres, tidak keterlaluan jika dikatakan ia sering kali menjadi punca utama kepada masalah kemerosotan hidup.

Stres boleh mempengaruhi tahap kesihatan individu dan membawa kepada pelbagai permasalahan dan penyakit yang lebih kompleks membabitkan emosi dan fizikal yang bukan saja memberi kesan ke atas individu bahkan orang sekeliling.

Ini termasuklah risiko penyakit jantung, murung, cenderung mencederakan diri sendiri bahkan boleh membarah sehingga membunuh diri.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Anita Abu Bakar, stres atau tekanan adalah normal dalam kehidupan dan adakalanya ia dapat memotivasikan seseorang baik di tempat kerja mahupun dalam menjalani kehidupan seharian.

"Namun begitu, jika seseorang tidak menangani tekanan dengan sewajarnya dalam jangka masa yang panjang, ia boleh mengganggu pekerjaan, kehidupan, keluarga dan kesihatan.

"Rasa tertekan biasanya disebabkan oleh perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seperti menghadapi perubahan besar, risau pada sesuatu, tidak mempunyai kawalan dalam situasi kehidupan, mempunyai tanggungjawab yang berat, tidak mempunyai pekerjaan, ketidaktentuan dalam kehidupan, tekanan kerja, pembelajaran serta trauma," katanya kepada Bernama.

B40 PALING STRES

Jumlah individu yang mengalami stres semakin hari semakin meningkat, seiring dengan cabaran dan situasi dunia yang kian mencabar hari ini.

Penularan pandemik Covid-19 mengubah 360 darjah corak kehidupan majoriti masyarakat apabila ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan sekali gus menjadi punca kepada peningkatan penyakit jiwa atau mental.

Mengulas lanjut Anita berkata, hilang kerja adalah satu punca tekanan kerana mereka yang terbabit lebih cenderung untuk mempunyai isu kesihatan mental disebabkan keadaan hidup yang tidak menentu membuatkan mereka bimbang dan takut tidak mempunyai wang untuk menyara keluarga dan memenuhi keperluan asas seperti makanan, rumah sewa dan sebagainya.

"Pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi mempengaruhi kesihatan mental ramai individu dan ia juga satu cabaran untuk mereka yang memang bertarung dengan penyakit mental. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di Malaysia adalah 2.3 peratus iaitu seramai setengah juta orang.

"Prevalen tertinggi adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 5.4 peratus diikuti Negeri Sembilan (lima peratus), Perlis (4.3 peratus), Sabah (empat peratus) dan Melaka (3.8 peratus)," katanya.

Anita turut mendedahkan kelompok yang mencatat kemurungan paling tinggi adalah golongan B40 (2.7 peratus), diikuti M40 (1.7 peratus) dan seterusnya kumpulan T20 (0.5 peratus).

"Daripada statistik ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa masalah kewangan boleh mempengaruhi emosi seseorang, memberi tekanan yang besar, mengakibatkan isu kesihatan mental terutamanya kepada golongan B40 yang sememangnya mempunyai tekanan sedia ada.

"Sebelum Covid-19, kelompok B40 menghadapi kesusahan dalam mencari kerja atau mendapatkan kerja dengan gaji yang bagus, sekarang dengan wabak ini, peluang perkejaan semakin kurang dan cabaran mereka bertambah besar," jelasnya.

ADUAN SEMAKIN MENINGKAT

Berdasarkan kajian luar negara, Anita berkata lebih kurang empat dari 10 orang dewasa di Amerika Syarikat melaporkan simptom anxiety atau depressive disorder.

KFF Health Tracking Poll pada Julai tahun lalu mendapati ramai orang dewasa melaporkan kesan negatif tahap kesihatan mereka seperti sukar tidur (36 peratus) atau makan (32 peratus), peningkatan penggunaan alkohol atau penggunaan dadah (12 peratus) dan keadaan kronik yang semakin teruk (12 peratus) disebabkan oleh kebimbangan dan tekanan terhadap Covid-19.

Malaysia turut mencatatkan peningkatan kes bunuh diri atau kes hampir bunuh diri kerana keadaan yang tidak menentu, ketidakpastian hidup dari segi kerja, sumber pendapatan, ekonomi yang terjejas selain banyak sektor terpaksa ditutup menyebabkan ramai orang menderita.

"Selain menghadapi tekanan besar oleh masalah psikologi, emosi, kesihatan dan pendapatan, ramai yang mengalami kesepian, ketidakberdayaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak terkecuali ramai yang menghadapi perubahan besar dalam kehidupan mereka termasuk episod keganasan rumah tangga serta masalah penganiayaan keluarga.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima laporan 88 kes bunuh diri yang mana 78 orang diselamatkan, tujuh cedera dan tiga kematian antara Mac dan Julai 2020. Ketika tempoh awal PKP dilaksanakan, Befrienders Malaysia menerima lebih kurang 4,142 panggilan antara 18 Mac dan 16 Mei dengan lebih daripada satu pertiga panggilan adalah berkaitan dengan isu bunuh diri," jelas Anita sambil menambah data itu secara langsung menunjukkan peningkatan risiko individu untuk mengakhiri kehidupan mereka.

Menyifatkan situasi yang berlaku ini bukanlah perkara baharu, beliau berkata ditambah dengan krisis Covid-19, kelemahan aspek persediaan sistem kesihatan serta kesihatan mental negara perlu diperkasa bagi menampung mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan.

Di samping kerajaan giat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, banyak badan bukan kerajaan (NGO) turut terbabit membantu menyediakan perkhidmatan dan bantuan secara dalam talian ketika tempoh PKP fasa pertama.

"Sejak Mac 2020, kerajaan menubuhkan Talian Sokongan Psikososial bagi membantu memberi sokongan emosi dan kaunseling kepada mereka yang menghadapi stres, bimbang, marah, murung dan sebagainya disebabkan kesan pandemik COVID-19," katanya.

KURANG PAKAR, PSIKIATRI

Menyentuh mengenai jumlah pakar mental di negara ini, beliau berkata berdasarkan Malaysian Medics International (MMI), Malaysia memerlukan seramai 3,000 psikiatri, namun hanya 410 psikiatri berdaftar sehingga Julai 2018.

"Sebahagian psikiatri bekerja di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) manakala sebahagian lagi di Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pertahanan serta universiti swasta dan klinik," katanya.

Menurut MMI juga, Malaysia hanya mempunyai 1.27 psikiatri bagi setiap 100,000 penduduk sedangkan nisbah standard yang disyorkan adalah seorang psikiatri bagi setiap 10,000 orang.

"Walaupun kita telah mengambil pelbagai tindakan untuk menangani isu ini namun isu kekurangan pakar adalah satu cabaran besar untuk memastikan semua golongan dapat dibantu dari segi kesihatan mental mahupun emosi," katanya.

Sementara itu berkongsi pandangan, mantan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Prof Dr Nor Zuraida Zainal berkata sehingga tahun lalu terdapat 450 psikiatri di negara ini dan jumlah itu amat sedikit jika dibandingkan dengan kes-kes stres yang semakin mencatatkan peningkatan.

Katanya, tinjauan KKM pada 2015 mendapati sebanyak 29 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental dan ini sangat membimbangkan kerana satu daripada tiga orang dewasa mengalami tekanan hidup.

Beliau berkata, stres dari sudut psikiatri memberi definisi ketidakseimbangan dalaman dan luaran seseorang yang mengganggu fisiologi dan psikologi.

Pelbagai faktor boleh menyumbang kepada berlakunya stres antaranya aspek biologi seperti gangguan hormon, bahan kimia dalam otak serta penyakit-penyakit fizikal dan genetik.

"Dari segi psikososial, stres adalah berpunca daripada masalah keluarga, rumah tangga, perhubungan, kewangan, pekerjaan, pelajaran, PKP, pembelajaran dalam talian dan sebagainya.

"Selain itu faktor penyumbang stres yang membuatkan seseorang tertekan hingga sanggup melakukan sesuatu di luar dugaan seperti bunuh diri adalah disebabkan personaliti seseorang (kekuatan dalaman), sejarah masa lampau dibesarkan dalam suasana keluarga yang 'toksik' atau bermasalah, kurang kasih sayang, kurang sesuatu maklumat dan pelbagai lagi," katanya.

STRES PUNCA SAKIT JANTUNG

Walaupun stres bukanlah pembunuh utama manusia, namun perlu diingat ia adalah antara penyumbang utama kepada masalah jantung yang sehingga kini kekal di tangga teratas sebagai penyebab kematian di Malaysia.

"Stres bukan sejenis penyakit. Ia adalah masalah kesihatan mental. Apabila keadaan seseorang bertambah teruk ia boleh melarat menjadi penyakit mental seperti gangguan kemurungan, rasa cemas, gelisah, bipolar, skizofrenia dan lain-lain.

"Kita perlu mencegah stres dengan mengurus kehidupan dengan baik dan seimbang dari segi fizikal, psikologi, sosial, spiritual dan agama. Teliti semula apa tujuan hidup dan jangkaan ke atas diri kita dan persekitaran.

"Uruskan masa sebaiknya termasuk masa untuk diri sendiri seperti bersenam, bercuti, bersosial, menguruskan kerja atau pelajaran," tambahnya sambil menasihatkan pemakanan seimbang, menjaga berat badan dan tidak merokok antara yang perlu diamalkan sebagai pengurusan stres yang baik.

Antara tanda-tanda seseorang sedang mengalami stres adalah rasa tertekan, tidur yang terganggu, mudah marah, cemas, letih, kurang fokus, rasa mudah kecewa, mendapat serangan gastrik, kerap selsema dan batuk.

"Sekiranya tanda-tanda itu ada pada diri atau rakan-rakan segeralah dapatkan bantuan sokongan profesional dengan berjumpa kaunselor, pakar psikologi atau psikiatri," katanya.

-myMetro