"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Februari 2021

Kebebasan Apakah Yang Diperjuangkan Oleh Malaysiakini dan Penyokong-penyokongnya ?

 

Pada 19 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 6:1 mendapati Mkinidotcom Malaysia Berhad (Malaysiakini) bersalah kerana menghina mahkamah (contempt of court) dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000.

Dalam masa lebih kurang lima jam selepas tabung membantu Malaysiakini dilancarkan, sumbangan penyokong-penyokongnya, yang didahului DAP dan Ahli-Ahli Parlimen DAP melebihi jumlah itu.

Pada 19 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 6:1 mendapati Mkinidotcom Malaysia Berhad (Malaysiakini) bersalah kerana menghina mahkamah (contempt of court) dan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500,000.

Dalam masa lebih kurang lima jam selepas tabung membantu Malaysiakini dilancarkan, sumbangan penyokong-penyokongnya, yang didahului DAP dan Ahli-Ahli Parlimen DAP melebihi jumlah itu.

Penghakiman itu telah menarik perhatian seluruh dunia dan disiarkan dalam media antarabangsa termasuklah, Al-Jazeera, BBC, The Guardian, New York Times, Straits Times (Singapore), Bangkok Post, South China Morning Post, malah Agencia EFE yang berbahasa Sepanyol, Reuters dan lain-lain.

Laporan-laporan itu yang disertai dengan komen-komen dan rencana-rencana yang ditulis mengenai penghakiman berkenaan menyifatkan penghakiman itu akan mengekangkan lagi kebebasan akhbar di Malaysia dan merupakan satu bentuk penapisan dan sekatan kebebasan bersuara pembaca.

Lim Kit Siang menyifatkan hukuman tersebut sebagai amat mengejutkan (most shocking). Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, mengatakan hukuman itu bukan bertujuan menghukum tetapi membalas dendam (not punitive but vindictive). Seterusnya beliau berkata:

“Ia menimbulkan pertanyaan tentang kebebasan badan kehakiman dan juga memberi amaran kepada kita agar tidak bersuara.”

DAP mengeluarkan kenyataan yang ditandatangani oleh 50 Ahli Parlimen DAP bertajuk “DAP stands in solidarity with Malaysiakini.” Seterusnya, kenyataan itu berkata:

“Ini adalah hari yang menyedihkan bagi Malaysiakini dan untuk industri media di Malaysia. Kami berpadu dengan rakan media kami di Malaysiakini.”

Kenyataan itu juga merakamkan bahawa setiap Ahli Parlimen DAP menderma sebanyak RM1,000 seorang dan DAP menderma RM10,000 disamping menyeru orang ramai menderma bagi membantu Malaysiakini.

Seorang penulis rencana dalam akhbar bahasa Melayu mempersoalkan sama ada selepas ini media patut berhenti melaporkan kes mahkamah. Terdapat juga pemimpin UMNO yang turut menyatakan penghakiman itu akan mengekang kebebasan akhbar di Malaysia.

Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Ng Kian Nam mengatakan pihaknya khuatir keputusan kes itu menetapkan duluan (precedent) berbahaya yang menekan kebebasan bersuara. “Kami juga meminta perdana menteri untuk melaksanakan reformasi struktur sesegera mungkin, seperti membahagikan peranan peguam negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan sebagai pendakwa raya kes-kes jenayah, dan melantik calon yang lebih sesuai untuk posisi yang relevan.” “Hanya dengan cara ini, kebebasan sistem kehakiman dan kebebasan bersuara warga negara kita benar-benar ditegakkan,” tambahnya.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan pula menyifakan penghakiman itu sebagai satu tamparan kepada landskap media berita yang cepat menakutkan perbincangan isu-isu kepentingan awam dan ia memberi pukulan tepat kepada kempen berterusan kita untuk menentang rasuah berubah di negara ini. Ia akan memberi kesan mengerikan dalam perbincangan mengenai isu-isu kepentingan awam dan ini memberi tamparan hebat kepada kempen berterusan kami untuk memerangi rasuah, antara lain, katanya. Seterusnya beliau berkata bahawa penghakiman itu adalah satu cubaan bukan sahaja untuk menghukum malah untuk menutup terus Malaysiakini.

Sementara itu, CEO Malaysiakini, Premesh Chandran, merujuk kepada banyaknya sokongan kewangan yang diterima berkata bahawa ia menunjukkan apa yang betul dan apa yang salah di negara ini. Bahawa rakyat sanggup bangun dan memberi bantuan untuk membolehkan suara mereka didengar dan menjadikan negara ini lebih baik, dan menyumbang untuk membetulkan yang salah, katanya.

Untuk berlaku adil, perlu disebut bahawa ada pihak yang menyambut baik penghakiman itu dan cuba menjelaskan apakah kesan sebenarnya penghakiman itu. Tun Zaki Azmi, mantan ketua Hakim Negara menekankan bahawa hukuman terhadap Malaysiakini itu bukanlan bertujuan mengekang kebebasan akhbar tetapi adalan untuk menjadikan portal berita bertanggungjawab. Tulisan-tulisan Dr. Kamarul Zaman dan Lukman Sheriff juga berkenaan.

Buzze Azam, saya percaya seorang peguam, telah memperturunkan komen-komen berkenaan, menganalisis penghakimam itu dan menjelaskan sebab-sebab mengapa mahkamah (majoriti) mencapai keputusan itu.

Malah, peguam utama Malaysiakini, Malik Imtiaz patut dipuji kerana memberi penjelasan kesan penghakiman itu secara profesional.

Tidak seorang pun daripada pengkritik-pengkritik penghakiman itu memperturunkan komen-komen lima orang pembaca itu. Saya percaya mereka tidak tahu pun apa komen yang dibuat oleh lima orang pembaca itu atau tidak mempedulikannya. Mereka tidak menyebut pendirian Malaysiakini mengenainya; mereka tidak menyatakan undang-undang mengenainya; mereka tidak menyebut mengenai kegagalan Malaysiakini mengemukakan keterangan untuk menyangkal anggapan undang-undang terhadap Malaysiakini dan mereka tidak menyebut mengenai alasan yang diberi oleh mahkamah mengapa ia dapati Malaysiakini bertanggungjawab di sisi undang-undang ke atas komen-komen itu.

Saya percaya mereka semua tidak membaca penghakiman itu, sebaliknya hanya membaca berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana menyiar lima komen pembaca dan terus mengkritik.

Supaya pembaca rencana ini mengetahui hal yang sebenar, biarlah saya menurunkan semua itu daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan itu sendiri.

Pada 09 06 2020 Ketua Hakim Negara membuat kenyataan akhbar yang disiarkan oleh Malaysiakini: “Ketua Hakim Negara telah mengarahkan semua mahkamah bersidang semula sepenuhnya mulai 1 Julai” bersesuaian dengan fasa pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan. Itu sahaja yang dikatakan oleh Ketua Hakim Negara. Malaysiakini bukan sahaja menyiarkannya sebagai satu berita, yang sepatutnya dilakukan, tetapi ia juga menyediakan ruangan untuk komen. Komen apa yang diharapkan terhadap kenyataan seperti itu?

Lima orang pembaca berkenaan pun memasukkan komen mereka:

1. “Ayah Punya kata:

The High Courts are already acquitting criminals without any trial. The country has gone to the dogs;

(Mahkamah Tinggi telah pun membebaskan penjenayah tanpa perbicaraan. Negara telah lingkup.” Terjemahan saya.

2. “GrayDeer0609:

Kangaroo courts fully operational? Musa Aman 43 charges fully acquitted. Where is law and order in this country? Law of the Jungle? Better to defund the judiciary!”

(Mahkamah Kangaroo beroperasi sepenuhnya. 43 pertuduhan terhadap Musa Aman dibebaskan sepenuhnya. Di mana law and order di negara ini? Lebih baik jangan bagi dana kepada badan kehakiman!) Terjemahan saya.

3. “Legit:

This Judge is a shameless joker. The judges are out of control and the judicial system is completely broken. The crooks are being let out one by one in an expeditious manner and will running wild looting the country back again. This Chief Judge is talking about opening of the courts. Covid 19 slumber kah!”

(Hakim itu adalah pelawak yang tidak tahu malu. Para hakim berada di luar kawalan dan sistem kehakiman hancur sama sekali. Penjahat dilepaskan seorang demi seorang dengan cepat dan akan lari berkeliaran menyamun negara semula. Ketua Hakim ini bercakap mengenai pembukaan mahkamah. Covid 19 tidurkah kah!)) – Terjemahan saya.

4. “Semua Boleh – Bodoh pun Boleh:

Hey Chief Justice Tengku Maimun Tuan Mat – Berapa JUTA sudah sapu – 46 kes corruption – satu kali Hapus!!! Tak Malu dan Tak Takut Allah Ke? Neraka Macam Mana? Tak Takut Jugak? Lagi – Bayar balik sedikit wang sapu – lepas jugak. APA JUSTICE ini??? Penipu Rakyat ke? Sama sama sapu wang Rakyat ke???”

5. “Victim:

The Judiciary in Bolihland is a laughing stock.”

(Badan Kehakiman di Bulihland adalah bahan ketawa.)

Perenggan 4 penghakiman itu mengatakan:

“[4] Responden (Malaysiakini – ditambah) mengakui bahawa komen tersebut memang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Responden juga menyesali penerbitannya, dan ia bukan sesuatu yang boleh dimaafkan oleh Responden. Dengan adanya konsensus seperti itu, kami tidak bermaksud untuk mempertimbangkan lebih jauh mengenai apa yang merupakan penghinaan dalam undang-undang”. (Terjemahan saya.)

Tetapi saya akan menganalisisnya supaya pembaca rencana ini dapat tahu apa relevannya komen-komen itu dengan kenyataan Ketua Hakim Negara itu dan betapa biadabnya komen-komen itu.

Mengenai komen nombor 1, pertama, saya percaya dia merujuk kepada kes-kes yang Pendaka Raya tidak meneruskan pendakwaan seperti kes Musa Aman. Pertama, kuasa tidak hendak meneruskan pendakwaan terletak kepada Pendakwa Raya/Peguam Negara. Apabila Pendakwa Raya memberitahu mahkamah beliau tidak hendak meneruskan pendakwaan terhadap sesuatu kes, maka mahkamah tidak ada pilihan melainkan melepaskannya. Itu undang-undang. Itu jugalah yang berlaku dalam kes Lim Guan Eng, Siti Kasim, Ahli Parlimen dan ADUN DAP/PKR, penyokong-penyokong DAP dan orang-orang yang dituduh kerana menyokong LTTE semasa pemerintahan PH dahulu.

Mengenai nombor 2, perkataan mahkamah kangaroo itu sendiri adalah satu penghinaan. Ia menggambarkan mahkamah yang tidak mengikut undang-undang dan etika keadilan. Berkenaan kes Musa Aman, penjelasan saya mengenai komen nombor satu adalah terpakai.

Komen nombor 3 dan 5 jelas menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Tidak ada apa yang perlu dikatakan lagi.

Komen nombor 4 terus terang satu fitnah terhadap diri Ketua Hakim Negara. Beliau boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis komen itu dan Malaysikini. Tetapi, jika beliau berbuat demikian dan berjaya, besar kemungkinan tuduhan akan dibuat bahawa hakim itu menyebelahi ketuanya dan tidak berlaku adil juga. Mungkin kerana itu beliau tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Mereka patut berterima kasih kepada beliau. Ini satu contoh di mana Ketua Hakim Negara “dinafikan” hak keadilan yang beliau dikehendaki memberi kepada orang lain.

Pengkritik-pengkritik itu tidak langsung menyebut mengenai jenis komen yang menjadi isu kes itu. Sebaliknya, mereka berkata secara umum bahawa penghakiman itu akan mengekang kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara. Adakah ia termasuk kebebasan bersuara untuk mengutuk, memaki hamun dan memfitnah tanpa memahami fungsi sebenar mahkamah dalam sesuatu kes atau tidak mempedulikannya seperti yang dilakukan oleh lima orang pembaca itu? Itukah jenis komen yang Malaysiakini dan penyokong-penyokongnya galakkan, pertahankan dan perjuangkan? Atau adakah pengkritik-pengkritik itu sengaja memutar (twist) penghakiman itu untuk mengutuk badan kehakiman kerana yang dihukum itu adalah penyokong mereka, terutama sekali DAP?

Mereka sepatutnya mengambil perhatian apa yang dikatakan dalam penghakiman itu:

“[66] Namun demikian, kejadian malang ini harus menjadi peringatan kepada masyarakat umum bahawa menyatakan pandangan seseorang terutama sekali dengan membuat serangan yang tidak beralasan dan merendahkan kehakiman tidak boleh dibuat mengikut sesuka hati seseorang. Walaupun kebebasan memberi pendapat dan bersuara dijamin dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan kita, kebebasan itu mestilah dilakukan dalam batasan yang dibenarkan oleh undang-undang. Dan undang-undang tidak bertolak ansur dengan penghinaan terhadap Mahkamah kerana ia melemahkan sistem keadilan.

[67] Masyarakat Malaysia perlu menggunakan budi bicara mereka secara rasional dan bijaksana terutama sekali ketika menyiarkan di internet kerana ia akan kekal turun temurun di dunia maya. Orang awam Malaysia tidak terkenal bersikap kasar, tidak berbudi bahasa, tidak menghormati orang atau atau tidak sopan. Norma sosial ini hendaklah dihargai dan dipelihara sehabis-habisnya. Janganlah media sosial mengubah landskap sosial negara ini. Malaysiakini juga bertanggungjawab memastikan tingkah laku sosial ini terpelihara. Ini akan banyak membantu menjadikan Malaysiakini satu portal yang bertanggungjawab, untuk tujuan wacana umum.

Penghakiman itu tidak menghalang komen terhadap mahkamah, pentadbiran keadilah mahupun penghakiman mahkamah. Tetapi, komen itu hendaklah berasas dan dilakukan dengan cara yang beradab, bersopan dan berbudi bahasa bukan dengan komen-komen yang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous) dan menuduh Ketua Hakim Negara rasuah tanpa asas. Komen-komen yang kemudian disebut itu sahaja yang dilarang.

Malaysiakini sendiri mengakui dalam prosiding di mahkamah itu bahawa komen-komen tersebut memang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Malaysiakini juga menyatakan penyesalannya kerana menerbitkan komen-komen itu, mengakui bahawa ia bukan sesuatu yang boleh dimaafkan olehnya dan memohon maaf kepada mahkamah. Jika mahkamah menghukum denda RM20,000 mungkin ia tidak dijadikan satu isu. Tetapi apabila hukuman itu di luar jangkaan mereka, maka ia dikatakan mengekang kekebasan akhbar dan kebebasan bersuara secara umum. Itu tidak selaras dengan pendiriannya di mahkamah.

Perlu diambil ingatan bahawa pembelaan Malaysiakini hanyalah ia tidak patut dipertanggungjawabkan ke atas komen-komen itu kerana ia tidak tahu mengenainya. Mahkamah telah memberi alasan-alasan mengapa ia dapati pembelaan Malaysikini tidak berjaya menyangkal anggapan undang-undang terhadapnya.

Perenggan [17] dan [21] penghakiman itu berkata:

“[17] Penjelasan yang diberikan oleh Responden-Responden (Malaysiakini dan Steven Gan – ditambah) dapat disimpulkan dengan cara ini. Responden Pertama (Malaysiakini – ditambah) tidak menyedari komen tersembunyi yang disiarkan di laman webnya. Responden Pertama sama sekali tidak menyedari adanya komen tersebut sehingga diberitahu oleh pihak polis. Responden Pertama tidak mempunyai kewajiban undang-undang untuk menyederhanakan komen yang dihantar oleh pihak ketiga.
…..

[21] Ringkasnya, inti dari pembelaan Responden Pertama adalah bahawa ia tidak mempunyai pengetahuan, jelas atau diandaikan. Semasa pendengaran lisan di hadapan kami, peguam bagi kedua-dua Responden juga mengambil pendirian bahawa kes mereka berdiri atau jatuh atas isu pengetahuan. (Terjemahan saya).

Mahkamah itu telah menimbang undang-undang berkenaan yang berkuatkuasa di negara ini pada masa ini dan juga penghakiman-penghakiman dari negara-negara luar termasuk England, Australia, New Zealand, Singapura dan India; menganalisis keterangan-keterangan yang dikemukakan; mengambil kira kegagalan Malaysiakini mengemukakan keterangan sepuluh orang pengarangnya untuk menafikan pengetahuan mereka mengenai kewujudan komen-komen itu dan menyimpulkan keputusannya seperti berikut:

[57] Setelah menimbang semua penghujahan di hadapan kami dan atas semua alasan yang dijelaskan di atas, kami yakin bahawa penjelasan Responden Pertama mengenai kekurangan pengetahuan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pemohon. Responden Pertama juga gagal atas keseimbangan kemungkinan, untuk menyangkal anggapan penerbitan dengan alasan bahawa dia tidak mengetahui tentang komen yang menyinggung itu. Kod kandungan SKMM tidak memberikan perisai pembelaan kepada Responden Pertama.

[58] Oleh itu, kami berpuas hati bahawa kes penghinaan melebihi keraguan munasabah telah dibuktikan terhadap Malaysiakini. Dalam hal ini, kami mengulangi bahawa penjelasan yang diberikan oleh Responden Pertama bahawa ia tidak mengetahui, telah gagal menyangkal anggapan terhadapnya, dan oleh itu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes Pemohon. (Terjemahan saya).

Perlu juga diingati bahawa hakim-hakim membuat keputusan berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang berkuatkuasa pada masa berkenaan, bukan sesuka hati mereka. Jika sesuatu pihak itu kalah kes kerana gagal mengemukakan keterangan-keterangan yang material, janganlah menyalahkan mahkamah, salahkan peguam sendiri. Jika tidak sukakan undang-undang yang berkuatkuasa pada masa ini, mintalah Ahli-Ahli Parlimen yang kuat menyokongnya mengadakan undang-undang seperti yang mereka suka. Jangan salahkan mahkamah. Bukanlah tugas mahkamah membuat undang-undang. Tugasnya ialah memutuskan kes mengikut undang-undang.

Mempersoalkan sama ada selepas ini media patut berhenti melaporkan kes mahkamah sudah lari jauh daripada isu dalam kes ini. Isunya adalah lima komen itu.

Mengatakan hukuman itu adalah untuk membalas dendam menurunkan martabat komen itu ke tahap yang sama dengan lima komen dalam kes ini. Apakah dendam mahkamah terhadap Malaysiakini? Lebih-lebih lagi menududuh “Ia menimbulkan pertanyaan tentang kebebasan badan kehakiman dan juga memberi amaran kepada kita agar tidak bersuara” adalah amat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila ia dibuat oleh seorang Ahli Parlimen. Tudahan itu membayangkan bahawa mahkamah mengikut arahan eksekutif dalam memberi penghakimannya.

Mengenai komen CEO Malaysiakini, Premesh Chandran, komen beliau itu amat meleset. Adakah kerana ramai orang menderma untuk membantu Malaysiakini bererti penghakiman itu salah di sisi undang-undang?

Mengenai cadangan MCA, adakah dengan mengasingkan jawatan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya akan menyebabkan Pendakwa Raya tidak akan memulakan prosiding seperti itu? Adakah kerana ada sebahagian orang ramai, kebanyakannya disebabkan pendirian politik mereka, tidak sukakan satu penghakiman dalam satu kes yang dimulakan oleh seorang Peguam Negara/Pendakwa Raya, maka pegawai itu perlu diganti? Tidakkah mereka faham bahawa seorang Peguam Negara/Pendakwa Raya juga dikehendaki bertindak bebas daripada tekanan politik, sama seperti mahkamah?

Pengkritik-pengkritik mahu media internet tidak dipertanggungjawabkan bagi apa-apa yang ditulis oleh pembaca dalam sesawangnya yang menyediakan ruangan untuk pembacanya berbuat demikian untuk disiarkan ke seluruh dunia. Di mana pun, setiap pencetak bertanggungjawab bagi apa yang disiarnya itu. Mengapa media internet patut dikecualikan untuk manabur fitnah sebebas-bebasnya. Penghakiman itu menjawab soalan ini dengan tepat – lihat perenggan 67 penghakiman tersebut yang dipetik di atas.

Kesimpulan

Kes ini adalah mengenai lima komen yang disiarkan oleh Malaysiakini. Malaysiakini mengakui bahawa komen tersebut memang menyinggung, tidak sesuai, tidak sopan dan menghina (offensive, inappropriate, disrespectful and contemptuous.) Malaysiakini juga menyesali penerbitannya, dan mengaku bahawa ia bukanlah sesuatu yang boleh dimaafkan olehnya. Pembelaannya hanya satu: Malaysiakini tidak patut dipertanggungjawabkan kerana ia tidak tahu kewujudan komen-komen.

Mahkamah telah menimbang undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini dan juga penghakiman-penghakiman di negara-negara lain; keterangan yang dikemukakan oleh Malaysiakini untuk membela diri; kegagalan sepuluh orang pengarangnya menafikan pengetahuan mereka mengenainya; hakikat bahawa Malaysiakini menyediakan ruangan untuk pembaca-pembaca membuat komen-komen yang menyalahi undang-undang, menghina institusi kehakiman, menuduh Ketua Hakim Negara menerima rasuah dan menyiarkannya ke seluruh dunia dan mendapati Malaysiakini gagal menyangkal andaian bahawa ia tahu kewujudan komen-komen itu dan, oleh itu, ia bertanggungjawab di sisi undang-undang terhadap komen-komen itu dan mendapatinya bersalah.

Penghakiman itu adalah mengenai komen-komen itu. Mahkamah tidak berkata pembaca tidak boleh membuat komen mengenai badan kehakiman, pentadbiran badan kehakiman mahupun penghakiman mahkamah, asalkan ia dibuat dalam batasan yang dibenarkan oleh undang-undang dan dengan cara yang bersopan.

Apabila hukuman dijatuhkan, Ketua Pengarangnya dan penyokong Malaysiakini memutar (spin) penghakiman itu dan mengatakan penghakiman itu mengekang kebebasan akhbar, kebebasan menyuarakan pendapat mengenai isu-isu awam, kebebasan berbincang isu-isu negara dan perjuangan mereka menentang rasuah. Perbuatan ini amat tidak adil dan tidak bertanggungjawab. Ia juga lari daripada pendirian Malaysiakini di mahkamah mengenai komen-komen itu. Nampaknya, sekarang Malaysiakini dan penyokong-penyokong bukan sahaja mempertahankan komen-komen biadab itu malah memperjuangkannya atas nama kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara!

27 02 2021

tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me


Sumber:zainurrashid.com

Rabu, 30 Disember 2020

Pengkhianatan demi pengkhianatan oleh UAE terhadap perjuangan ummah.

Terkini, UAE sedang berkerjasama dengan Israel untuk menghapuskan UNRWA, sebuah organisasi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pelarian Palestin.

Ini adalah di antara kesan normalisasi Israel yang sehingga kini telah dilaksanakan oleh Mesir, Jordan, UAE, Bahrain, Sudan dan Morocco.

Beberapa laporan berita menjangkakan bahawa proses ini akan diikuti oleh Oman, Kuwait dan Arab Saudi.

Semoga Allah selamatkan Malaysia dan Indonesia dari fitnah ini.

[ t.me/zainurrashid ]

https://www.middleeasteye.net/news/israel-and-uae-working-together-eliminate-unrwa-report

Selasa, 29 Disember 2020

Siasatan kartel makan masa? Harap bukan kambus ‘lubang’

40 tahun ditipu, rakyat mahu tindakan tegas diambil segera

BANGI, 14 Jamadilawal 1442H, Selasa– Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mempersoalkan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mendakwa siasatan terhadap kartel daging logo halal palsu bakal mengambil masa yang lama.

Prof Zainur berkata, setelah 40 tahun ditipu, sudah tentu orang ramai berharap agar tindakan tegas diambil seberapa segera.

“Siasatan ‘kartel daging’ akan ambil masa yang panjang. Kenapa? Saya berharap kelewatan ini bukan disebabkan kerana banyak lubang yang perlu dikambus atau banyak nama yang perlu diselamatkan.

" Ini adalah suara rakyat!,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui bahawa siasatan terhadap syarikat tempatan yang berkaitan dengan aktiviti kartel daging akan memakan masa yang lama.

Katanya, siasatan itu rumit kerana memerlukan penglibatan banyak agensi, seperti Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pada masa sama, Nanta Linggi berkata, kementerian tidak boleh terburu-buru dalam aspek siasatan.

Siasatan itu, katanya, mesti dilakukan dengan teliti untuk memastikan bahawa pesalah dibawa ke muka pengadilan.

Semalam, dilaporkan bahawa kerajaan memberi komitmen akan menangani isu pengimportan daging yang diragui secepat mungkin termasuk menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasatnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perbincangan mengenai perkara itu sudah dimulakan.

Isu daging seludup menjadi hangat apabila media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

-ismaweb

Selasa, 10 November 2020

Projek 50 tahun Zionis (Negara P. yang hilang)


1- Palestin sebelum ini adalah sebuah negara yang berdaulat dan merupakan tanah wakaf milik umat sejagat. Di Palestin letaknya jantung hati umat Islam iaitu Masjid al Aqsa, yang merupakan kiblat pertama umat dan masjid yang ke-3 suci di sisi Allah.

2- Benjamin Be'ev Theodor Herzl merupakan seorang wartawan dan aktivis politik berbangsa Yahudi kelahiran Austria-Hungary (1860). Beliau merupakan pimpinan zionis antarabangsa yang dianggap sebagai 'the father of the state of Israel'. 

3-Theodore Hertz berjaya mengumpulkan seramai 266 orang pimpinan zionis antarabangsa (termasuk 10 orang beragama kristian) ke kongres organisasi zionis sedunia di Basel Switzerland pada 29-30 Jun 1897.

4- Majoriti adalah daripada Eropah Timur, seperempat daripada Russia dan bakinya daripada negara-negara yang lain termasuk Jerusalem. 17 orang dari kalangan mereka adalah wanita.

5- Di antara resolusi utama kongres ulung WZO ini adalah untuk mendirikan negara untuk orang-orang Yahudi di Palestin dalam tempoh 50 tahun (target 1947)

6- Theodor Herzl bertemu Sultan Abdul Hamid, Daulah Uthmaniyah Turki untuk mendapatkan keizinan agar Yahudi dibenarkan berhijrah ke Palestin dengan pelbagai tawaran seperti membayar hutang kerajaan, tawaran duit yang sangat banyak dan mendirikan universiti untuk kerajaan Uthmaniyah. Namun tawaran ini ditolak oleh Sultan Abdul Hamid.

7- Theodor Herzl mencuba pelbagai cara untuk orang Yahudi ke Palestin tetapi usahanya gagal. Beliau meninggal dunia pada 3 Julai 1904 di Austria.

8- Seorang anak muda Yahudi di Poland, David Ben Gurion yang baru berusia 17 tahun pada 1904, menyahut perjuangan Herzl ini dengan kata-kata, 'Matahari telah pun terbenam tetapi cahayanya akan kembali menyinar. Benih kebangkitan yang disemai Herzl pasti tidak akan padam'.

9- Ben Gurion gigih bekerja mendoktrinkan semangat zionisme dan projek pembinaan negara Israel di kalangan anak-anak muda dan masyarakat Yahudi di seluruh dunia. Beliau sendiri berhijrah ke Palestin dan bekerja di ladang di samping menubuhkan beberapa kesatuan Yahudi di Palestin seperti persatuan buruh, persatuan peladang, menubuh kumpulan gangster, jaringan politik antarabangsa (UN), merasuah pemimpin Arab dan Palestin, membeli dan merampas tanah-tanah rakyat Palestin dan pelbagai cara lain dengan tujuan untuk menguasai Palestin.

10- Pada 27 Nov 1947 (50 tahun sejak Basel Switzerland), UN mengisytiharkan "Partition Plan' yang membahagikan negara Palestin kepada rakyat Palestin dan satu bahagian yang lain kepada pendatang Yahudi. 33 negara bersetuju, 13 membantah, manakala 10 yang lain berkecuali.

11- Dengan pelbagai muslihat politik dan ketenteraan penjajah zionis dengan pemimpin Arab, mereka akhirnya berjaya menubuhkan negara (haram) Israel. 

Tepat pada 14 Mei 1948, David Ben Gurion mengumumkan penubuhan negara Israel dan terus mendapat pengiktirafan daripada Presiden AS, President Harry S. Truman pada hari yang sama.

Bermula dari tarikh 15 Mei 1948, peta Palestin mula hilang daripada peta dunia sehingga ke hari ini.

Ingat !

Projek zionis antarabangsa tidak berakhir dengan penubuhan negara (haram) Israel sahaja tetapi juga untuk menguasai dunia antarabangsa melalui agen-agen dan proksi mereka yang berada di mana-mana.

Apakah yang boleh anda pelajari daripada sejarah ini ?

Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin

Bersambung :


[ t.me/zainurrashid ]

Sabtu, 24 Oktober 2020

“Saya berubah selepas 6 bulan bersekolah tingkatan 1 di MRSM Kuantan”-Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin

 

Profesor Dr Zainur di MRSM Kuantan

Oleh: Akmal Azlan

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2020 – Kehidupan seseorang boleh berubah menjadi baik sekiranya kita mempunyai kesedaran dan keinginan untuk meraih kebahagiaan yang sebenarnya.

Begitu lah ungkapan kata-kata seorang bekas pelajar MRSM Kuantan yang kini bergelar Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin. Beliau meluahkan perasaan menerusi laman akaun page facebook dengan menceritakan kisah didikan ibu bapa terhadap dirinya yang dikatakan nakal semasa kecik namun kehidupan beliau mula berubah apabila mula memasuki MRSM Kuantan pada Ketika itu.  

Antara paparan perkongsian di laman akaun page facebooknya adalah:

“Saya dibesarkan dengan didikan yang baik oleh arwah emak dan abah. Saya dididik untuk solat berjamaah di masjid setiap hari terutamanya subuh, maghrib dan isya’ setiap hari sejak darjah 2 lagi. Saya belajar al Quran pun daripada arwah emak, manakala hafazan surah utama daripada arwah abah.”

“Saya aktif dengan aktiviti ko-kurikum dan sukan serta jadi ‘jaguh kampung’. Pernah jadi naib johan larian 400 meter daerah Segamat.”

“Bab nakal, saya memang no. 1 dalam keluarga dan diketahui oleh jiran dan guru-guru di sekolah di Felda Tenang.”

“Arwah emak adalah orang yang sangat penyabar dan banyak kali jugalah menangis mengendalikan kenakalan saya dulu, terutamanya apabila mengamuk (Allah sahaja yang tahu).”

“Saya berubah selepas 6 bulan bersekolah tingkatan 1 di MRSM Kuantan pada tahun 1979. Saya insaf dan menangisi ‘jahatnya’ saya kepada arwah emak.”

“Suatu pagi semasa percutian sekolah (form 1), saya membasuh baju-baju di kampung untuk meringankan beban emak. Emak menjenguk masuk bilik air melihat apa yang berlaku, saya sendiri sebak apabila melihat emak menangis melihat perubahan pada diri diri.”

“Saya terus berubah…Saya pernah menjadi salah seorang daripada 3 pelajar terbaik negeri Pahang dan juga diamanahkan sebagai Presiden Badan Wakil Pelajar, MRSM Kuantan.”

Prof. Dr Zainur turut berpesan kepada ibu bapa di luar sana agar sentiasa mendoakan kebaikan buat anak-anak untuk menjadi orang yang berjaya.

“Jangan berputus asa wahai para ibu. Usap rambut anak-anakmu, cium mereka dengan kasih saying. Bisikan kasih sayang dan harapan sebelum mereka tidur dan ketika berpisah dengan mereka”

“Selepas solat, doakan kebaikan agar mereka mewarisi kebaikan mu…Doa khas buat mereka dalam sujud terakhir tahajud mu.”

“Maafkan daku emak dan abah. Semoga emak dan abah berbahagia di syurgaNya. Penghargaan buat para guru dan pendidik yang dihormati sekalian…”

Profesor Dr Zainur memasuki MRSM Kuantan pada tahun 1979 sehingga tamat pengajian pada tahun 1983.  Anak kelahiran Felda, Tenang Johor ini melanjutkan pengajian tinggi peringkat Ijazah Perubatan di Royal College of Surgeons Ireland (1986-1992)  dan meneruskan lagi Ijazah Kepakaran Obstetrik Ginekologi di Royal College Of Obstetrician dan Gynaecologist London tahun 2000.

Beliau kini merupakan seorang Professor of Obstetrics and Gynaecologist di International University dan merupakan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Bukan itu itu sahaja, bahkan beliau juga bergiat akfit dalam aktiviti sosial seperti mengetuai misi kemanusiaan dan perubatan ke Afganistan, Palestin, Syria, Aceh, Lubnan serta ke pedalaman Sarawak dan Sabah. 

Prof. Dr Zainur telah dinobatkan oleh MARA sebagai IKON MRSM 2015 atas sumbangan dan kejayaannya yang telah menjadi kebanggaan buat negara dan bangsa. 

Perkongsian ini turut mendapat perhatian pengikut laman akaunnya yang memberikan respon baik serta mendapat inspirasi daripada kisah kehidupan Prof. Dr Zainur yang akhirnya menjadi orang ternama dan berjaya.

Prof. Dr Zainur menjadi Presiden Badan Wakil Pelajar MRSM (1982-1983)

Sumber : https://www.facebook.com/155707591143880/posts/3591340537580551/


Credit:ewarta.mara.gov.my