Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech esok (Rabu), untuk edaran ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin..Beliau yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata, vaksin berkenaan yang dikeluarkan di Belgium dijadualkan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah pagi dari Singapura.“Vaksin yang bakal tiba ini akan dihantar ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini, hari ini.Khairy berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak esok (Rabu, 24 Feb), manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, pada Khamis (25 Feb).Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di KLIA, Sepang; Johor dan Pulau Pinang pada Ahad lalu.Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok, dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.Khairy sebelum ini dilaporkan berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan lebih awal daripada jadual asal pada 26 Februari ~ MalaysiaNow
SINGAPURA: Lebih 113,000 individu di Singapura menerima dos pertama vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech manakala lebih 50 individu menerima dos kedua mereka, sekali gus menyempurnakan regimen penuh vaksinasi, setakat 27 Januari lalu.
Antara lebih 113,000 individu yang menerima vaksin itu, 432 kesan sampingan dilaporkan termasuk tiga kes anafilaksis iaitu permulaan reaksi alergi yang teruk.
"Anafilaksis adalah kesan sampingan diketahui namun jarang berlaku terhadap vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech," kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH), Prof Madya Kenneth Mak dalam kenyataan semalam.
Seperti vaksin lain, Mak berkata, akan terdapat sebilangan kecil individu yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi.
"Kami mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan pravaksinasi dan pemerhatian pasca-vaksinasi bagi memastikan program vaksinasi kami dapat dilaksanakan dengan selamat.
"Kesemua tiga kes anafilaksis menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan baik," katanya.
Menurut kenyataan itu, individu terbabit berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an, mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sakit tekak dan pening.
"Ketiga-tiga individu terbabit mempunyai sejarah alergi termasuk rinitis alergi dan alergi makanan seperti kerangan namun tidak mempunyai sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin itu," katanya.
Sementara itu, kebanyakan yang lain melaporkan gejala biasa seperti bengkak serta kesakitan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, rasa mual dan reaksi alergi iaitu gatal, ruam bengkak mata atau bibir.
Meskipun menjangkakan terdapat keperluan seperti ini, MOH berkata, pihaknya akan memperkenalkan satu program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi vaksinasi COVID-19 (VIFAP).
Katanya, ia adalah bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas sekiranya berlaku kesan sampingan yang dinilai mempunyai kaitan dengan vaksin COVID-19 yang diberikan di Singapura. - BERNAMA






















