JOHOR BAHRU – Skuad Penyu menangis kegembiraan apabila mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menewaskan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini pada aksi Liga Super malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Terengganu FC merapatkan jurang dengan skuad Harimau Selatan selepas mengutip 21 mata selepas 10 perlawanan, dua mata di belakang JDT di persada liga.
Ini adalah kekalahan pertama JDT dalam aksi Liga Super pada musim ini sekali gus menamatkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah.
Jentera serangan JDT yang diketuai Bergson Da Silva dan Gonzalo Cabrera dilihat tumpul pada separuh masa pertama apabila tidak ada percubaan berbahaya dilancarkan ke arah gawang lawan, semua percubaan itu tepat ke dakapan penjaga gol Suhaimi Husin.
Serangan balas Terengganu mengejutkan pasukan tuan rumah apabila David Da Silva yang sudah melepasi kawalan Farizal Marlias hampir mencipta jaringan namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol pada minit akhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, pasukan Terengganu dan JDT masing-masing mengatur serangan bagi mencari gol pembukaan bagi meletakkan di kedudukan selesa.
Pasukan bimbingan Nafuzi Mahammad Zain akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-56 menerusi jaringan pemain pertahanan, Hakimi Abdullah.
Hakimi mencuri kesempatan hasil kesilapan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin untuk membuang bola dari zon bahaya apabila ‘clearance’ dibuat terkena rakan sepasukan Natxo Insa.
Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman dan Akhyar Rashid yang dibawa masuk dilihat bagi memperkuatkan jentera serangan juga tidak mampu mengubah kedudukan dan perlawanan berakhir JDT tewas buat kali pertama musim ini.-K! ONLINE
0 ulasan:
Catat Ulasan