FIQAH PUASA
Bahagian 13
SUNAT-SUNAT PUASA
JAMU ORANG PUASA BERBUKA
Disunatkan bagi orang yang berpuasa menjamu orang lain yang berpuasa yakni membelanjakan hartanya supaya dijadikan sebagai makanan atau minuman kepada orang yang berpuasa itu berbuka samada diberikan yang berpuasa itu akan makanan atau diberikannya wang supaya dia membeli makanan buat berbuka atau menjemput orang berpuasa datang berbuka di rumahnya atau seumpamanya.
Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid r.a. berkata : Rasulullah saw telah bersabda :
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا أَوْ جَهَّزَ غَازِيًا فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ
Artinya : “Barangsiapa menjamu orang berpuasa berbuka atau menyediakan bekalan orang pergi berperang maka dapat baginya seumpama pahalanya.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Dan pada riwayat Imam At-Tirmizi adalah Rasulullah saw bersabda :
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مَنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْءٌ
Artinya : “Barangsiapa menjamu orang berpuasa berbuka nescaya adalah baginya pahalanya dimana tidak kurang sedikit pun daripada pahala yang berpuasa itu.”
Dan pada riwayat Ibnu Khuzaimah Rasulullah saw bersabda :
مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا أَوْ جَهَّزَ حَاجًّا أَوْ خَلَفَهُ فِي أَهْلِهِ أَوْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أُجُورِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Artinya : “Siapa yang menyiapkan bekalan bagi orang berperang atau orang haji atau meninggalkan bekalan pada keluarganya atau menjamu orang berpuasa berbuka nescaya adalah baginya seumpama pahala mereka itu tanpa kurang sedikit pun dari pahala mereka.”
LEBIHKAN BERSEDEKAH KEPADA KAUM KELUARGA DAN ORANG MISKIN
Dan disunatkan menggandakan pemberian kepada anak isteri serta kaum keluarga dan banyak bersedekah kepada faqir miskin di bulan Ramadhan samada bagi orang yang berpuasa atau tidak.
Berkata Imam Al-Mawardi :
وَيُسْتَحَبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُوَسِّعَ عَلَى عِيَالِهِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ وَأَنْ يُحْسِنَ إلَى أرحامه وجيرانه لاسيما فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْهُ
Artinya : “Dan disunatkan bagi seorang itu meluaskan pemberian atas anak isterinya pada bulan Ramadhan dan berbuat baik kepada sanak saudaranya dan jirannya istimewa pula pada sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadhan.” (Kitab Al-Majmu’)
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau berkata :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ
Artinya : “Adalah Rasulullah saw orang yang pemurah dan adalah baginda paling pemurah ketika bulan Ramadhan.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dan pada riwayat Imam Muslim :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Artinya : “Adalah Rasulullah saw lebih pemurah dengan berbuat kebajikan daripada angin yang berhembus.”
Kerana itu dikatakan bulan Ramadhan adalah bulan menggandakan amalan termasuk sedekah ini.
Dan bermula maksud seperti angin berhembus itu ialah cepat dan segeranya Rasulullah saw melakukan sedekah.
Dan hendaklah kita ketahui bahawa apa yang kita sedekah itu sebenarnya kita simpan di sisi Allah Taala.
Firman Allah Taala :
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
Artinya : “Barang yang ada di sisi kamu itu akan hilang dan barang yang ada di sisi Allah itulah sahaja yang kekal.” (An-Nahlu : 96)
Berkata Imam Ar-Rafie :
(ومنها) الجود والافضال فهو مندوب إليه في جميع الاوقات وفى شهر رمضان آكد استحبابا اقتداء برسول الله صلي الله عليه وسلم فانه كان " اجود الناس بالخير وكان أجود ما يكون في رمضان " والمعني في تخصيص رمضان بزيادة الجود واكثار الصدقات تفريغ الصائمين والقائمين للعبادة بدفع حاجاتهم
Artinya : “Dan setengah dari yang disunatkan itu ialah bersikap dermawan. Yang yang afdhal ialah disunatkan bersikap dermawan itu pada setiap waktu dan pada bulan Ramadhan pula lebih kuat disunatkan kerana mengikut akan Rasulullah saw maka sungguhnya baginda adalah manusia paling dermawan dengan berbuat kebaikkan dan lebih dermawan baginda pada bulan Ramadhan. Dan makna hadith itu ialah mengkhususkan Ramadan dengan gandakan dermawan dan perbanyakkan sedekah dan menyelesaikan hajat orang yang berpuasa dan yang hendak mendirikan ibadah. “(Kitab Fathul Al-‘Aziz Syarah Al-Kabir)
Dan termasuk berbuat baik dengan anak isteri dan kaum keluarga serta orang lainnya ialah termasuk berbuat baik dengan perkataan dan perbuatan.
Tersebut pada sebuah hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw bersabda :
مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللهِ نُودِيَ فِي الْجَنَّةِ: يَا عَبْدَ اللهِ، هَذَا خَيْرٌ، فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ، دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ
Artinya : “Barangsiapa membelanjakan dua ekor kuda atau seekor pada jalan Allah nescaya akan diseru di dalam syurga : Wahai hamba Allah. Ini adalah satu kebaikkan. Maka siapa yang adalah dia dari ahli solat akan dipanggil dari pintu solat dan siapa yang adalah dia itu ahli jihad akan dipanggil dari pintu jihad dan siapa yang ahli sedekah akan dipanggil dari pintu sedekah dan siapa yang ahli puasa akan dipanggil dari pintu Rayyan.” (Hadith riwayat Muslim)
Tersebut pada Kitab Busyral Karim :
(ويستحب في رمضان التوسعة على العيال والإحسان) بالقول والفعل والمال (إلى الأرحام والجيران، وإكثار الصدقة) ولو بجميع ماله إن كان يصبر على الإضاقة
Artinya : “Dan disunatkan pada bulan Ramadhan meluaskan pemberian atas anak isteri dan berbuat baik dengan perkataan dan perbuatan dan harta kepada kaum keluarga dan jiran dan juga membanyakkan sedekah sekalipun semua hartanya jika dia sabar dengan kesempitan.”
Daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata telah ditanya olih seorang :
يا رسول الله فأي الصدقة أفضل؟ قال: صدقة في رمضان
Artinya : “Wahai Rasulullah! Maka sedekah yang manakah paling afdhal” Sabdanya : Sedekah pada bulan Ramadhan.” (Hadith riwayat Tirmizi)
Dan termasuk sedekah kepada anak isteri dan kaum keluarga ialah menyantuni mereka dengan sebaik-baik kelakuan.
BANYAK MEMBACA AL-QURAN
Disunatkan ke atas orang yang berpuasa memperbanyakkan membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadhan melebihi dari bulan-bulan yang lain.
Ini adalah kerana memuliakan Al-Quran itu sendiri yang diturunkan pada bulan Ramadhan dan mengikut akan perbuatan Rasulullah saw.
Firman Allah Taala :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
Artinya : “Bulan Ramadhan ialah bulan yang telah diturunkan padanya akan Al-Quran.” (Al-Baqarah : 185)
Kerana itu diriwayatkan para salafussolih dari zaman sahabat dan yang kemudian dari mereka itu menumpukan kepada Al-Quran dan sangat banyak membaca Quran di dalam bulan Ramadhan sehingga berkali-kali dan berulang-ulang khatamnya.
Amalan membaca Quran dan bertadarrus di bulan Ramadhan ini adalah kerana mengikuti amalan Nabi saw yang diriwayatkan dalam kitab-kitab hadith dimana baginda didatangi olih Jibril a.s. dan mengajar akan Nabi saw akan Quran dan baginda membacanya sehingga khatam dan pada setengah riwayat pada penghujungnya baginda khatam sebanyak dua kali.
Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan dengan katanya :
وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ
Artinya : “Adalah Jibril a.s. membaca ke atas Nabi saw pada setiap malam daripada Ramadhan dan keduanya bertadarrus akan Al-Quran.” (Hadith riwayat Bukhari)
Diriwayatkan bahawa Imam Malik r.a. apabila telah masuk bulan Ramadhan menyimpan ia akan sekelian kitab-kitab ilmu dan kitab-kitab hadith dan fiqh dan lainnya dan tiada ia tumpukan melainkan dengan membaca Quran.
Dan diriwayatkan adalah Imam Az-Zuhri apabila tiba bulan Ramadhan berkata beliau : Dua perkara sahaja yang penting sekarang yaitu baca Quran dan menjamu orang-orang makan dan tiada sibuk ia dengan selain keduanya.
Dan diriwayatkan adalah Aisyah r.a. mendulukan akan Zakwan r.a. supaya sembahyang dan membaca akan Al-Quran bersama mereka sebagai imam.
Dan telah menceritakan olih Imam Az-Zahabi adalah Imam As-Syafie khatam akan Quran pada bulan Ramadhan 60 kali khatam. Dan sebahagian manusia yang tertanya-tanya : Bagiamana ia berlaku? Kami berkata : Benar. Tiada ada mereka itu menyibukkan diri dengan suatu selain Al-Quran. Dan tiada mereka pergi berjual beli dan tiada mereka berhibur dan bermain-main dan mereka sangat menjaga lidah mereka dari berkata yang haram dan mereka tidak duduk pada majlis yang sia-sia dan hanya satu kepentingan yang mereka tumpukan yaitu Al-Quran.
Dan setengah dari kalangan salafussolih itu menghabiskan masanya dengan khatam bacaan Al-Quran sekali kemudian sekali. Setiap kali khatam membacanya akan dimula dengan bacaan yang baru.
Diriwayatkan adalah Qatadah khatam ia membaca Quran setiap tujuh hari dan apabila masuk bulan Ramadhan maka khatam ia setiap tiga hari sekali dan apabila masuk sepuluh hari yang akhir maka khatam ia sehari sekali.
Menyebut olih Imam Nawawi :
فمن الذين كانوا يختمون ختمة في الليل واليوم عثمان بن عفان رضي الله عنه وتميم الداري وسعيد بن جبير ومجاهد والشافعي وآخرون
ومن الذين كانوا يختمون ثلاث ختمات سليم بن عمر رضي الله عنه قاضي مصر في خلافة معاوية رضي الله عنه
Artinya : “Maka setengah dari orang-orang yang adalah mereka itu mengkhatamkan Quran sekali khatam pada sehari semalam ialah Uthman bin ‘Affan r.a. dan Tamim Ad-Dari r.s. dan Sa’id bin Jubair dan Mujahid dan Imam Syafie dan lainnya.
Dan setengah dari orang-orang yang khatam akan Al-Quran tiga kali khatam sehari ialah Sulaim bin Umar r.a. Qadhi negeri Mesir pada pemerintahan Mu’awiyah r.a.” (Kitab At-Tibyan)
walahua’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan