"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Penyakit Berjangkit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penyakit Berjangkit. Papar semua catatan

Rabu, 5 Januari 2022

Terkini: IHU, varian terbaharu COVID-19

 Orang ramai beratur untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di New York. - Foto AFP

Orang ramai beratur untuk melakukan ujian saringan COVID-19 di New York. - Foto AFP

PARIS: Saintis di Perancis mengenal pasti varian baharu COVID-19 yang dikatakan mempunyai 46 mutasi, ketika dunia sedang bergelut melawan varian, Omicron.

Portal Independent melaporkan, varian baharu itu dinamakan IHU, iaitu B.1.640.2 setakat ini menjangkiti 12 orang di tenggara Perancis.

Kes pertama dikaitkan dengan seseorang yang mempunyai sejarah perjalanan ke Cameroon, Afrika Barat, kata penyelidik dalam kertas yang diterbitkan di medRxiv.

Bagaimanapun, pakar segera mengumumkan hanya kerana varian baharu ditemukan, itu tidak bermakna IHU akan terbukti menular seperti strain lain, termasuk Omicron.

Dalam analisis, penulis laporan itu menemui 46 mutasi yang tidak dikesan di negara lain, atau melabelkan varian yang sedang disiasat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Genom diperoleh dengan penjujukan generasi akan datang.

Penulis laporan mendakwa orang yang dikenal pasti dengan varian IHU sudah divaksin sepenuhnya.

Individu terbabit diuji positif untuk COVID-19 selepas pulang dari perjalanan tiga hari, di Cameroon.

Penulis kertas penyelidikan itu berkata "pengesanan seterusnya... tiga mutasi dalam gen spike (pepaku) untuk menyaring varian... tidak sepadan dengan corak varian Delta yang terbabit dalam hampir semua jangkitan SARS-CoV-2 pada masa itu," katanya.

Dengan alasan kemunculan varian baharu itu menekankan kepentingan 'pengawasan genomik', pengarang berkata, pemerhatian mereka sekali lagi menunjukkan 'tidak dapat diramalkan kemunculan varian baharu SARS-CoV-2'.

Dalam rangkaian Twitter yang panjang, ahli epidemiologi dan rakan di Persekutuan Saintis Amerika, Eric Feigl-Ding berkata, varian baharu itu sedang dipantau untuk menilai sejauh mana ia boleh berjangkit atau berbahaya.

"Terdapat banyak varian baharu ditemui sepanjang masa, tetapi ia tidak semestinya menjadi lebih berbahaya.

"Apa yang menjadikan varian lebih terkenal dan berbahaya ialah keupayaannya untuk membiak kerana bilangan mutasi yang dimilikinya berhubung dengan virus asal," katanya. - AGENSI

Jumaat, 12 November 2021

Covid 19: Kadar guna katil wad ICU di Terengganu membimbangkan

 DR Kasemani (dua kanan) memeriksa mesin alat bantuan pernafasan pesakit Covid-19 pada Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

DR Kasemani (dua kanan) memeriksa mesin alat bantuan pernafasan pesakit Covid-19 pada Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Kuala Terengganu: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 tahap lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Terengganu meningkat sejak dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sehingga kini, 28 katil atau 84 peratus daripada 33 katil ICU digunakan bagi merawat pesakit.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan kes susulan kebenaran rentas negeri dan peralihan Terengganu daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Di Terengganu, kita ada 25 katil ICU (sebelum ini), tetapi beberapa wad ditukarkan menjadi wad ICU dan menjadikan katil berjumlah 33 katil kerana situasi pandemik Covid-19.

"Ketika ini, 28 katil ICU digunakan dan sebab itu, kita risau dan buat persediaan awal sekiranya berlaku peningkatan luar jangka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, penyerahan wad ICU berkapasiti 10 katil itu sememangnya membantu pihaknya menampung kemasukan pesakit di Terengganu.

Beliau berkata, wad berkenaan akan mula digunakan minggu depan dan penyerahan itu menjadikan terdapat 43 katil ICU di seluruh Terengganu.

Menurutnya, pihaknya percaya 43 katil itu mencukupi kerana sepanjang dua tahun berdepan Covid-19, kita mampu menanganinya dengan baik.

-myMetro

Isnin, 3 Mei 2021

Covid19:Kenapa penerbangan dari India masih dibenarkan mendarat di KLIA? - Hassan Karim

 


POSTED BY AMIR WRLR


Kerajaan Malaysia memutuskan mulai 28 April lalu untuk menyekat semua penerbangan keluar atau masuk dari India berikutan lonjakan kes Covid 19 sehingga 200,000 kes sehari di negara itu.

Namun sebaliknya, rekod penerbangan di KLIA sehingga semalam menunjukkan masih terdapat pesawat dari India yang masih dibenarkan mendarat.

Hal itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai ketegasan kerajaan mengawal merebaknya varian baharu virus Covid 19 yang kini melumpuhkan sistem kesihatan di India.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, tindakan membenarkan pesawat dari India mendarat jelas berisiko tinggi dan mengingkari keputusan yang dibuat kerajaan sendiri.

"Kerajaan telah buat keputusan penerbangan dari India tidak dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Jadi, saya ingin penjelasan dari Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yacob adakah benar laporan media yang menyatakan sejak semalam, Sabtu, 1 Mei 2021 sekurang-kurangnya tujuh penerbangan dari India telah mendarat di KLIA?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Jadual penerbangan dari India ke Malaysia

Hassan turut membariskan beberapa maklumat penerbangan yang dilaporkan media. Misalnya, pada 2 Mei 2021, tiga pesawat dari India dilaporkan telah mendarat.

Urutan penerbangan, MH6241 dari Chennai mendarat 4.45 petang; MH190 dari New Delhi mendarat 6.50 petang dan MH6245 dari Mumbai mendarat 8.35 malam.

Bagi Hassan, sekiranya kerajaan tidak serius menguatkuasakan larangan penerbangan maka tidak mustahil virus baharu Covid yang lebih ganas akan menyebar dari India ke Malaysia.

"Penjelasan dari Menteri Ismail Sabri Yacob adalah penting untuk meredakan kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan penularan varian baharu Covid-19 dari India ke negara ini," katanya lagi.

Pada 26 April lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri dalam kenyataannya berkata, mana-mana pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit dilarang memasuki Malaysia.

Turut dikenakan sekatan ialah pekerja asing dari India yang mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih sah laku, pelajar warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa.

Prosedur sama terpakai untuk bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia.

Sebelum ini, akibat penerbangan masuk dari India yang tidak disekat, Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari negara itu dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataannya memaklumkan mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara, KLIA.


Selasa, 16 Februari 2021

Betul ke vaksin Covid-19 boleh sebabkan kesan sampingan kekal?

 

Vaksin Covid-19 yang telah diluluskan tidak mempunyai kesan sampingan melainkan hanya kesan sampingan yang bersifat ringan. (Gambar Bernama)

Baru-baru ini, tular satu lagi mesej hangat berkenaan suntikan vaksin COVID-19. Mesej tersebut menyatakan bahawa, vaksin COVID-19 boleh menyebabkan 3,000 kesan sampingan kekal kepada penerima vaksin.

Adakah benar terdapat kesan sampingan yang bersifat kekal?

Adakah suntikan vaksin Covid benar-benar selamat

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat telah menegaskan bahawa negara itu mempunyai satu sistem keselamatan vaksin yang boleh dipercayai dalam meluluskan setiap vaksin COVID-19.

CDC juga menyatakan, oleh sebab itu, Pentadbiran Makanan & Ubat (FDA) berkemampuan untuk meluluskan penggunaan kecemasan bagi vaksin Covid-19 ini.

Ketika vaksin COVID-19 menjalani ujian klinikal yang melibatkan ribuan sukarelawan, setiap sukarelawan ini dipantau tahap kesihatannya oleh para penyelidik sepanjang tempoh ujian percubaan itu.

Jika salah seorang daripada sukarelawan ini jatuh sakit atau menemui maut sepanjang tempoh ujian percubaan, pakar kesihatan akan menyiasat sama ada kesakitan dan juga kematian tersebut berkaitan dengan vaksin Covid-19 atau tidak.

Ini yang terjadi sewaktu percubaan vaksin COVID-19 keluaran Oxford-Astrazeneca di mana terdapat satu kematian direkodkan pada ketika itu.

Ujian klinikal mereka dihentikan buat sementara waktu untuk menyiasat punca kematian sukarelawan itu.

Namun, setelah diselidiki, ternyata kematian sukarelawan itu tidak berkaitan atau berpunca daripada suntikan vaksin.

Selain itu, untuk memastikan kajian dan ujian klinikal vaksin COVID-19 ini benar-benar selamat, terdapat satu badan pemantau bebas bagi memantau ujian klinikal vaksin yang dijalankan.

Mereka yang berada dalam badan pemantau ini adalah mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan kajian tersebut untuk memastikan pemantauan benar-benar telus.

Ramai yang kata suntikan vaksin Covid selamat, tetapi mengapa ada kesan sampingan?

Setiap ubat atau rawatan yang kita ambil, pastinya mempunyai beberapa kesan sampingan. Begitu juga dengan vaksin, ia juga mempunyai beberapa kesan sampingan.

Namun, walaupun wujud kesan sampingan hasil daripada suntikan vaksin ini, tidak bermakna bahawa ia tidak selamat.

Vaksin COVID-19 tetap selamat untuk diambil walaupun mempunyai beberapa kesan sampingan yang dilaporkan.

Ini kerana, vaksin disahkan selamat untuk digunakan sekiranya kesan sampingannya itu tidak menyebabkan sebarang kejadian buruk yang serius.

Vaksin yang tidak selamat pula adalah vaksin yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang individu tersebut.

Antaranya adalah seperti menyebabkan ketidaksuburan atau boleh menyebabkan jangkitan baharu.

Namun, vaksin COVID-19 yang telah diluluskan tidak mempunyai kesan sampingan seperti itu melainkan hanya kesan sampingan yang bersifat ringan.

Kesan sampingan suntikan vaksin Covid bersifat ringan, hanya sementara waktu

Setakat ini, pihak FDA telah meluluskan dua vaksin yang dikeluarkan oleh Pfizer-BioNTech serta Moderna untuk penggunaan kecemasan.

Secara umumnya, mereka yang telah disuntik dengan kedua-dua vaksin ini akan menunjukkan beberapa kesan sampingan iaitu:

Kesan pada lengan yang disuntik:

  • Kesakitan pada tempat yang disuntik
  • Mengalami pembengkakan
  • Kulit menjadi kemerah-merahan

Kesan pada seluruh badan:

  • Tubuh berasa sejuk
  • Mengalami keletihan
  • Sakit kepala

Kesan sampingan yang dialami ini adalah seperti tanda-tanda seseorang mendapat jangkitan selesema. Namun, ia akan menghilang dalam tempoh beberapa hari selepas disuntik.

CDC menyatakan bahawa, kesan sampingan ini akan wujud dalam tempoh 7 hari selepas disuntik dan ia hanyalah kesan sampingan yang bersifat ringan dan sederhana.

Malah, kesan sampingan ini akan berlaku dengan lebih jelas selepas suntikan kedua dos vaksin tersebut.

Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa, kesan sampingan yang berlaku ini hanyalah bersifat sementara waktu sahaja dan bukannya kekal seperti yang didakwa.

Jika kesan sampingan ini bersifat kekal, ia pastinya tidak diluluskan penggunaannya oleh pihak FDA.

Kesan sampingan tanda sistem imun sedang bertindak balas

Sebenarnya, kesan sampingan yang dialami ini adalah tanda bahawa tubuh badan anda sedang bertindak balas selepas menerima suntikan vaksin.

Ia menunjukkan bahawa sistem imun atau sistem pertahanan tubuh anda berfungsi dengan baik dan seperti yang diharapkan.

TERUS JAGA JARAK DAN PAKAI PELITUP MUKA

Selepas anda disuntik vaksin, tidak bermakna tubuh badan anda terus kebal daripada jangkitan COVID-19.

Ini kerana, tubuh badan masih memerlukan sedikit masa untuk membina pertahanannya selepas disuntik vaksin.

Pertahanan menyeluruh hanya akan dapat diwujudkan dalam tempoh satu atau dua minggu selepas anda menerima dos kedua vaksin.

Oleh itu, anda masih perlu memakai pelitup muka dan juga menjaga jarak anda untuk mengelakkan jangkitan semasa berada di luar.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

-FMT

Selasa, 26 Januari 2021

Gara-gara Percaya Sirap Herba, Menteri Kesihatan Positif Covid-19

 


Tentu ramai yang masih ingat satu petua untuk menghalang jangkitan Covid-19 yang dikongsikan oleh Menteri Kesihatan negara kita Dr. Adham Baba tahun lepas..

Ketika wawancara di saluran televisyen RTM TV1 March tahun lepas, Dr. Adham Baba menasihatkan orang ramai supaya minum air suam sebagai petua bagi menghalang jangkitan Covid-19.

Katanya "Virus ini tak suka panas. Jangan (air) panas sangat lah, Virus ini akan dinyahkan, disingkir, dan di perut. Kalau masuk perut ada asid, dia kalah.

"Yang penting kita mesti singkirkan virus ini dari kerongkong sebelum dia boleh masuk ke paru-paru. Virus ini dia suka paru-paru bawah," katanya sambil minum air dan yakin ada rakyat Malaysia akan mempercayai petua yang telah ditolak oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu..

Bagaimanapun.. malang buat beliau, saranannya itu menjadi sasaran kecaman rakyat Malaysia..

Malah Kementerian Kesihatan sendiri turut menolak saranan menterinya kepada rakyat itu supaya menggunakan air suam untuk menyingkirkan virus penyebab Covid-19 ke dalam perut.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian hanya menggunakan kaedah berasaskan bukti sains untuk pengurusan dan rawatan pesakit.

Ramai juga para Doktor yang menyangkal petua dari Menteri Kesihatan itu.. antaranya ialah Pakar Sakit Puan, Dr. Imelda..

Tulisnya dengan panjang lebar dalam satu hantaran dilaman Facebook miliknya..

Kenapa minum air banyak kali setiap 15 minit TIDAK mencegah kemasukan virus dalam badan dan tidak membunuh atau merawat virus COVID19?

Mari kita belajar bagaimanakah virus ini masuk ke dalam badan.

Virus ini masuk ke dalam badan melalui hidung, mulut dan mata. Bukan melalui tangan. Tangan anda hanyalah pembawa virus ini ke hidung, mulut dan mata anda melalui sentuhan.

Di dalam hidung, mulut dan mata ialah sel-sel mucous membranes di mana virus ini boleh melekap melalui protin yang ada di permukaan virus. Ia menggunakan receptor yang ada di permukaan sel mucous membr

anes kita untuk memasuk ke dalam sel mucous membranes manusia. Bila dah masuk ke dalam satu sel, virus ini tak perlu berjalan pun ke dalam saluran pernafasan manusia atau atau ke dalam perut. Virus ini akan terus mengarahkan satu sel badan manusia yang dimasukinya untuk membuat banyak-banyak virus.

Kemudian virus lain masuk lagi dalam sel manusia yang lain dan mengarahkan sel manusia membuat lebih virus. Inilah cara pembiakan virus. Inilah cara virus merebak di dalam badan manusia. Ia masuk dalam sel manusia yang tertentu dan mengarahkan sel membuat virus ini.

Virus ini juga ada di dalam sistem penghadaman manusia dan salah satu gejala yang dilaporkan dari Wuhan ialah juga diarrhoea atau cirit-birit. TIADA BUKTI jika telan virus ini dari kerongkong ke dalam perut boleh membunuh virus ini, sebab pada hakikatnya ia berada di DALAM sel kerongkong kita dan hidup di DALAM sel.

Bila pengidap virus batuk: sembuhan virus ke udara boleh terkena kepada orang lain yang berjarak dekat dengan pengidap virus. Di sini lah Bagaimana SOCIAL DISTANCING atau JARAK SOSIAL sekurang-kurangnya 1 meter boleh melindungi anda dan mencegah jangkitan.

Jika pengidap virus hembus hingus, atau batuk ke atas tangan, virus yang berada di atas tangannya boleh dibasuh buang dengan air dan sabun. Inilah cara berkesan untuk menghentikan penularan jangkitan virus melalui sentuhan. JAGA KEBERSIHAN TANGAN SELALU.

Basuh tangan sebelum pegang benda lain.

Jika pengidap virus tak basuh tangan dan pegang-pegang benda di sekelilingnya, virus itu boleh hidup di atas permukaan barang selama lebih kurang 72 jam (menurut kajian virus). Sebab inilah anda mesti basuh tangan selalu walaupun anda tiada contact dengan pengidap virus untuk membuang virus yang anda sentuh di atas tangan sebelum anda sentuh hidung, mulut atau mata anda.

Jika pengidap virus ini batuk ke atas tangannya atau sentuh mulut/hidung/matanya dan kemudian salam tangan anda, anda boleh terima virus ini di tangan anda. Cara terbaik mencegah penularan virus ini ialah JANGAN BERSALAMAN.

Sebab inilah Kementerian Kesihatan Malaysia memberi anda semua nasihat 
1) Jaga kebersihan tangan 
2) Basuh tangan selalu dengan air dan sabun. Hanya jika TIADA air dan sabun, boleh guna sanitiser dengan kandungan 60-70% alkohol ke atas. 
3) Jarak sosial sekurang-kurangnya 1 meter. 
4) Tak payah bersalam-salaman. 
5) Tutup mulut bila bersin, batuk dan kemudian basuh tangan. Sebaik-baiknya gunakan mask jika anda ada gejala ini. 
6) Nasihat terbaru ialah DUDUK DI DALAM RUMAH dan elakkan apa-apa perhimpunan.

Laman KKM tak beri nasihat minum air suam setiap 15 minit. Laman KKM tak beri nasihat berjemur di bawah kepanasan matahari. Laman KKM tak beri nasihat makan pisang, bawang putih, ikan singgang, sarang burung, minum air panas, letak bawang merah di sekeliling anda atau telan megados vitamin C untuk mencegah atau merawat virus.


Itu apa yang dah jadi dalam negara kita.. Menteri Kesihatan kita suruh minum air suam untuk cegahjangkitan Covid-19..

Menteri Kesihatan Sri Lanka pulak percaya  minum sirap herba boleh menghentikan penyebaran virus. 

Hasilnya dia dijangkiti Virus Covid-19..

Colombo: Lantang mengkritik kononnya mengamalkan minum sirap herba dibuat bomoh mampu menyembuhkan Covid-19, akhirnya memakan diri apabila Menteri Kesihatan Sri Lanka Pavithra Wanniarachchi apabila disahkan positif virus itu. 

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan pada Sabtu mengesahkan, Pavithra menjadi pegawai tertinggi, setakat ini, yang dijangkiti virus itu. 

Beliau dan kontak rapatnya diminta menjalani kuarantin. BBC melaporkan, wanita itu adalah menteri keempat yang disahkan positif Covid-19, sebelum ini seorang menteri yang juga mengambil ramuan itu disahkan positif pada awal minggu ini. 

Menteri Kesihatan itu secara terbuka meminta orang ramai mengamalkan minum sirap herba sebagai cara menghentikan penyebaran virus. 

Bomoh yang mencipta sirap herba itu berisi madu dan buah pala mengatakan resipi itu diberikan kepadanya dalam mimpi. 

Doktor di negara itu menolak dakwaan sirap herba itu berfungsi, tetapi agensi berita AFP melaporkan ribuan orang pergi ke sebuah kampung untuk mendapatkannya. 

Media tempatan melaporkan, doktor menyatakan tidak ada asas saintifik menyokong pengambilan sirap itu sebagai ubat untuk koronavirus. 

Disember lalu, ribuan orang berbaris panjang di bandar Kegalle, timur laut ibu kota Colombo, untuk mendapatkan sirap itu selepas Pavithra dan beberapa pegawai kerajaan lain secara terbuka meminumnya. 

Setakat ini, Sri Lanka melaporkan 52,964 kes dengan 278 kematian setakat ini akibat Covid-19.

Laporan penuh sila baca di SINI 

Semoga Menteri Kesihatan Malaysia tidak menerima nasib yang sama seperti Menteri Kesihatan Sri Lanka tu... Aminnn..

-Anak Sungai Derhaka

Selasa, 19 Januari 2021

PKP di seluruh negara, kecuali Sarawak, bermula 22 Januari ini

 


Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperluas ke seluruh negara, kecuali Sarawak, bermula 22 Januari.

Perintah itu akan diperluas ke seluruh Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan mulai 12.01 tengah malam 22 Januari hingga 4 Februari.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Ismail Sabri sebentar tadi.

Keputusan itu dibuat setelah purata kes terus meningkat di negeri-negeri itu.

PKP kali kedua telah pun bermula di Penang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 Januari lepas.

Kerajaan pusat meletakkan Sarawak bawah PKP Pemulihan (PKPP) tetapi kerajaan negeri memilih memperketatkan sendiri peraturan di Bumi Kenyalang.

Hanya Sibu, Selangau dan Kanowit di Sarawak dikenakan perintah PKP penuh setakat ini.

Kelantan dikenakan PKP kali kedua merula 16 Januari. Perlis sebelum ini dikenakan PKPP.

Khamis, 7 Januari 2021

Covid19:Semakin genting - 3,027 kes baru, 8 kematian hari ini

 


Penularan wabak Covid-19 semakin genting di negara ini dengan 3,027 kes baru dilaporkan setakat ini. Semalam, Malaysia merekodkan 2,593 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berada pada 25,742 kes manakala jumlah keseluruhan kes pada 128,465.

Semalam, dia memberi peringatan mengenai keadaan wabak Covid-19, dengan mencadangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih "disasarkan" untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Katanya, sistem penjagaan kesihatan kini bergelut dengan pertambahan jumlah pesakit dan sedang berada pada "tahap genting" (breaking point).

Perangkaan hari ini, menunjukkan Johor mengatasi negeri-negeri lain dengan 1,103 kes manakala Selangor pula mempunyai 706 kes.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Sabah (493), Kuala Lumpur (316), Pulau Pinang (111), Kelantan (66), Perak (59), Kedah (30), Pahang (25), Putrajaya (17), Sarawak (14), Melaka (11), Terengganu (10) dan Labuan (3).

Hanya Perlis yang tidak mempunyai sebarang kes.

Sementara itu, daripada keseluruhan 3,027 kes baru hari ini, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 2,145 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 102,723 atau 79.96 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 142 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 63 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Daripada jumlah itu tujuh mangsa adalah warga negara.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 521 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-mindarakyat

Jumaat, 25 Disember 2020

COVID-19: Kes positif global hampir 80 juta, kematian 1.73 juta

 


JUMLAH kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini menghampiri 80 juta.

Sebanyak 79,273,423 kes direkodkan setakat pagi ini waktu Malaysia, susulan ratusan ribu kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

Terkini, Malaysia menjadi negara terbaharu dengan kes positif COVID-19 melepasi angka 100,000 selepas mencatatkan 1,581 kes baharu semalam.

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling teruk terjejas dengan 18,625,451 kes.

Ini diikuti India dengan 10,123,778 kes dan Brazil dengan 7,423,945 juta kes.

Negara yang melepasi angka 2 juta kes adalah Rusia, Perancis, United Kingdom, Turki dan Itali.

Manakala Sepanyol, Jerman, Argentina, Colombia dan Mexico antara negara yang merekodkan lebih sejuta kes positif.

Afrika Selatan, Belanda, Indonesia, Czechia dan Belgium pula antara negara yang merekodkan angka lebih 500,000 kes.

30 negara lain merekodkan angka positif lebih 100,000 kes.

Sementara itu, angka kematian akibat COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.73 juta.

AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 328,760 kes diikuti Brazil, India dan Mexico yang merekodkan angka kematian lebih 100,000.

Negara dengan jumlah korban akibat COVID-19 melebihi 50,000 kes termasuk Itali, United Kingdom, Perancis, Iran dan Rusia.

Manakala negara yang merekodkan antara 30,000 dan 50,000 kes kematian adalah Sepanyol, Argentina, Colombia dan Peru.

Jerman, Poland, Afrika Selatan dan Indonesia pula mencatatkan lebih 20,000 angka korban.

13 negara lain merekodkan antara 10,000 dan 20,000 kes kematian.

- Astro Awani

Jumaat, 30 Oktober 2020

AS rekod 9 juta kes koronavirus


US

CHICAGO – Amerika Syarikat, yang melaporkan kes koronavirus pertama kali di Washington 282 hari yang lalu, sudah melepasi 9 juta jangkitan kes pada hari Khamis, termasuk lebih daripada setengah juta pada minggu lalu.

Kes jangkitan Covid-19 semakin tidak terkawal menjelang Hari Pilihan Raya pada 3 November.

Lebih daripada 20 negeri melaporkan banyak kes sejak seminggu  lalu berbanding sebelum ini.

Wabak yang semakin meningkat menyebabkan sekatan baharu terhadap perniagaan dilaksanakan di Chicago.

“Tidak ada cara untuk kami menghadapi krisis yang semakin mendesak dan anda, ahli keluarga, rakan anda, jiran anda berdepan dengan risiko,” kata Gabenor Wisconsin, Tony Evers.

Hospital di Wisconsin mengalami tekanan, dengan jumlah kes melonjak dan lebih daripada 200 kematian koronavirus telah diumumkan dalam seminggu yang lalu.

Dengan pilihan raya yang semakin hampir, purata kes jangkitan kini lebih 75,000 sehari.

Jumlah kematian pula meningkat hingga sekitar 780 kes setiap hari.Lebih banyak jangkitan dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) berbanding di negara lain, walaupun beberapa negara mempunyai kadar jangkitan per kapita yang lebih tinggi.

”Lonjakan ini lebih besar daripada gelombang atau lonjakan yang belum kita lihat sebelum ini,” kata Amanda Simanek, seorang ahli epidemiologi di sekolah kesihatan awam University of Wisconsin-Milwaukee, yang sangat bimbang dengan peningkatan kes semasa cuaca sejuk.

Cuaca sejuk akan memaksa lebih banyak orang berada di dalam rumah, yang mana dikhuatiri akan menyebabkan virus merebak dengan mudah.

Di beberapa kawasan di Idaho dan Kansas, setakat ini masih ada beberapa katil hospital.

Di Dakota Utara, yang mana lebih daripada 5% populasi kini telah diuji positif, jumlah kes terus meningkat, dengan rekod lebih daripada 1,200 jangkitan baharu pada hari Khamis. – MalaysiaGazette