FIQAH PUASA
Bahagian 12
SUNAT-SUNAT PUASA
SUNAT KETIKA BERBUKA
BERDOA
Disunatkan berdoa ketika sedang ber[uasa dan ketika berbuka puasa dengan doa yang datang di dalam hadith-hadith atau doa yang bukan daripada doa Nabi saw dan para sahabat r.a. daripada doa-doa yang baik.
Maka sayugia atas orang yang berpuasa jangan sekali-kali meninggalkan berdoa ketika berpuasa lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa kerana ketika ini adalah ketika yang sangat diperkenankan olih Allah bagi barangsiapa yang berdoa.
Telah diriwayatkan dari Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Aas r.a. katanya Nabi saw bersabda :
لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ دَعْوَةٌ لَا تُرَدُّ
Artinya : “Bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka ada doa yang tidak akan ditolak.” (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Maksudnya Allah pasti akan memperkenankan permintaanya samada cepat atau lambat dan samada dapat apa yang dia minta atau diberikan yang lebih baik dari apa yang dimintanya.
Dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah adalah r.a. Nabi saw bersabda :
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالْمَظْلُومُ
Artinya : “Tiga golongan yang tidak akan ditolak doa mereka yaitu orang yang puasa sehingga dia berbuka dan pemerintah yang adil dan orang yang dizalimi.” (Hadith riwayat Tirmizi)
DOA DARIPADA HADITH DAN ATSAR
Antara doa yang datang dalam hadith dibaca olih orang yang berpuasa ketika berbuka ialah :
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Ya Allah bagi Mu aku telah berpuasa dan atas rezeki-Mu aku telah berbuka.
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Telah hilang dahaga dan telah basah olih kerongkong dan telah tetap olih ganjaran insyaAllah.”
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
Ya Allah sungguhnya aku bermohon kepada-Mu dengan keluasan rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu bahawa Engkau ampunilah bagiku.
Dan setengah fuqahak berkata yang afdhal ia membaca doa ini selepas berbuka manakala setengah yang lain berkata dengan sebelumnya.
Dalil-Dalil :
Telah diriwayatkan daripada Mu’az bin Zuhrah sungguhnya telah sampai kepadanya :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Artinya :
“Bahawasanya Nabi saw adalah ia apabila berbuka puasa baginda berdoa : اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi dan At-Tabarani)
Dan telah diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. berkata :
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا أَفْطَرَ: ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Artinya :
“Dan adalah Rasulullah saw berkata apabila berbuka : الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.” (Hadith riwayat Abu Daud)
Dan diriwayatkan daripada Ibnu Abi Mulaikah berkata :
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو يَقُولُ إِذَا أَفْطَرَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ، أَنْ تَغْفِرَ لِي
Artinya :
“Aku telah mendengar akan Abdullah bin ‘Amr r.a. berkata apabila dia berbuka puasa : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ، أَنْ تَغْفِرَ لِي.” (Riwayat Ibnu Majah)
SEGERAKAN BERBUKA
Dan disunatkan berbuka dengan segera dan jika sengaja melambatkan berbuka tanpa uzur maka hukumnya adalah makruh kerana menyalahi perintah Nabi saw.
Tidak makruh melambatkan berbuka kerana ada suatu uzur seperti seorang yang tidak sempat mendapatkan makanan atau minuman untuk berbuka atau seorang yang sedang dalam perjalanan atau seumpamanya.
Telah diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’ad r.a. sungguhnya Rasulullah saw bersabda :
لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Artinya : “Sentiasalah manusia dalam kebaikkan selama mereka itu menyegerakan berbuka puasa.” (Riwayat Imam Malik)
Berkata fuqahak adalah lebih cepat seorang itu bebruka maka lebih afdhal.
Dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :
قَالَ اللهُ عز وجل: أحَبُّ عِبَادِي إلَيَّ أعْجَلُهُمْ فِطْرًا
Artinya : “Firman Allah dalam hadith qudsi : Sekasih-kasih hamba-Ku kepada-Ku ialah yang paling segera mereka itu berbuka.” (Hadith riwayat Tirmizi)
Yang dimaksudkan dengan segera berbuka itu ialah apabila telah yakin masuk waktu maghrib.
BERBUKA DENGAN KURMA
Dan disunatkan berbuka dengan buah kurma kerana mengikut amalan dan perintah Rasulullah saw dan jika tiada kurma maka sunat berbuka dengan air.
Dan disunatkan bahawa bilangan kurma yang dibuat berbuka itu bilangan yang ganjil dan yang afdhal ialah tiga biji.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari :
وَأَنَّ السُّنَّةَ تَثْلِيثُ مَا يُفْطِرُ عَلَيْهِ، وَهُوَ قَضِيَّةُ نَصِّ الشَّافِعِيِّ فِي حَرْمَلَةَ وَجَمَاعَةٍ مِنْ الْأَصْحَابِ
Artinya : “Dan bahawasanya yang sunnah ialah menigakan bilangan kurma yang dibuat berbuka atasnya. Dan ialah yang difaham dari nas Imam As-Syafie dalam Kitab Harmalah dan satu jemaah daripada ashab.” (Kitab Al-Ghararul Bahiyyah)
Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili :
تعجيل الفطرعند تيقن الغروب وقبل الصلاة، ويندب أن يكون على رطب، فتمر، فحلو، فماء، وأن يكون وتراً ثلاثة فأكثر
Artinya : “Sunat segerakan berbuka ketika yakin telah maghrib dan sebelum solat dan disunatkan bahawa berbuka dengan kurma kemudian makanan yang manis kemudian air dan bahawa adalah kurma itu dengan satu biji atau lebih atas bilangan ganjil.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)
Telah diriwayatkan daripada Salman bin ‘Amir r.a. Rasulullah saw bersabda :
إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ، فَلْيُفْطرْ عَلَى تَمْرٍ؛ فَإنَّهُ بَرَكةٌ، فَإنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا، فالمَاءُ؛ فَإنَّهُ طَهُورٌ
Artinya : “Apabila seorng kamu berbuka puasa maka berbukalah dengan buah kurma maka sungguhnya buah kurma itu berkat. Kemudian jika dia tidak mendapati akan kurma maka berbukalah dengan air kerana bahawasanya air itu menyucikan.” (Hadith riwayat Tirmizi)
Dan pada hadith Anas bin Malik r.a. Rasulullah saw bersabda :
فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَعَلَى تَمَرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Artinya : “Maka jika tiada kurma yang basah maka berbukalah dengan kurma yang kering. Kemudian jika tidak ada kurma maka hiruplah beberapa teguk daripada air.” (Hadith riwayat Ahmad)
Dan sebaik-baik air yang dibuat berbuka ialah air zamzam maka jikalau seorang itu menghimpunkan berbuka dengan kurma dan air zamzam maka ia adalah elok kerana keberkatan keduanya.
Berkata Al-Muhib At-Tabari :
وَمَنْ كَانَ بِمَكَّةَ سُنَّ لَهُ أَنْ يُفْطِرَ عَلَى مَاءٍ زَمْزَمَ لِبَرَكَتِه وَلَوْ جَمَعَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ التَّمْرِ فَحَسَنٌ
Artinya : “Dan siapa yang berada di negeri Mekah disunatkan baginya bahawa berbuka dengan air zamzam kerana keberkatannya. Dan kalau dia mengumpulkan keduanya air zamzam dan kurma maka ia adalah elok.” (Kitab Al-Majmu’)
Dan apa yang diamalkan olih masyarakat di tempat kita dengan memulai makan nasi dan lauk pauk dengan makan sebiji kurma dahulu adalah dikira telah mengikut sunnah.
Berkata Syeikh Ali Al-Qari :
أَيْ عَلَى تَمْرَةٍ اكْتِفَاءً بِأَصْلِ السُّنَّةِ، وَإِلَّا فَأَدْنَى كَمَالِهَا ثَلَاثٌ
Artinya : “Makan sebiji kurma sudah memadai bagi asal mengikut sunnah dan yang afdhalnya ialah tiga biji.” (Kitab Mirqatul Mafatih)
BERBUKA SEBELUM SOLAT
Dan yang afdhal ialah berbuka puasa terlebih dahulu dari sembahyang yakni sembahyang fardu maghrib.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata :
كَانَ رسولُ الله - صلى الله عليه وسلم - يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّي عَلَى رُطَبَاتٍ
Artinya : “Adalah Rasulullah saw berbuka puasa dengan beberapa buah kurma sebelum bersembahyang.” (Hadith riwayat Abu Daud)
Dan adapun yang di amalkan olih sebahagian masyarakat di negara kita yaitu berbuka dengan kurma dan air kemudian bersembahyang kemudian makan akan makanan yang berat seperti nasi maka yaitu elok.
wallahua’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan