TANGGAL 11 April lalu genap 45 tahun usia pelakon terkenal Rita Rudaini. Biarpun tanpa sambutan hari jadi yang meriah, apa yang lebih bermakna bagi dirinya adalah kehadiran dua anak, Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa Arjuna, 10 yang sentiasa menemani.
Segala penat lelah Rita bagai terbayar apabila setiap kali celik mata, dapat melihat dua anaknya itu membesar depan mata menggunakan tulang empat keratnya.
Anak-anak pula seperti sudah mengerti tanggungjawab ibunya yang perlu bekerja dan mencari nafkah demi kehidupan mereka anak-beranak.
Jadi, bukan kemewahan yang buatkan mereka bahagia, tapi kasih sayang daripada ibu tercinta.
Sebagai kejutan di hari lahirnya, Rita mendapat hadiah istimewa daripada kedua-dua anaknya sehingga membuatkan dia mengalirkan air mata.
Pada usia anak yang masih terlalu muda, mereka sebenarnya sudah mengerti inilah cinta sejati mereka.
Biarpun hanya sekadar ucapan hari jadi yang ditulis atas kad kertas yang dibuat sendiri, itu sudah mampu membuatkan Rita berasa diri sangat dihargai daripada dua lelaki yang bersungguh mencintai dirinya itu.
"Boleh dikatakan setiap tahun anak-anak akan buat ucapan hari jadi. Tapi kali ini saya berasakan sangat istimewa. Mungkin sebab mereka sudah besar, jadi mereka kreatif untuk buat sesuatu sebagai kejutan.
"Tidak menjangka apabila pulang dari penggambaran, mereka terus berikan hadiah. Rayyan berikan kad dan Arjuna pula buat cincin kertas. Walaupun nampak ringkas, tapi ia cukup bermakna buat saya. Mereka yang masih kecil sudah faham erti kasih sayang.
"Saya menangis baca kad pemberian Rayyan. Saya macam tak percaya dia tulis kata-kata itu. Kata-katanya sangat ikhlas dan menyentuh hati saya. Dalam hati saya, inilah 'malaikat kecil' yang Allah hantar untuk menjaga saya sehingga hari tua nanti," katanya.
Menurut Rita, sepanjang bergelar ibu tunggal, dia tidak pernah berasakan dirinya lemah atau kurang daripada wanita lain yang mempunyai suami.
Malah, Rita menyifatkan itu adalah takdir Allah buat dirinya untuk menjadi ibu dan bapa kepada dua anaknya.
"Setiap manusia itu ada kisah hidup dan aturan yang sudah ditetapkan Allah. Jadi, mungkin ini bahagian saya. Tidak pernah sedikit pun saya menyesali apa yang terjadi, malah membuatkan saya menjadi lebih kuat.
"Saya percaya setiap apa diberikan Allah itu akan ada hikmah di sebaliknya. Malah, saya gembira dengan kehidupan sekarang di samping dua anak yang sangat memahami. Apa yang berlaku dahulu biarlah menjadi lipatan sejarah hidup saya.
"Paling penting kini adalah saya nak membesarkan mereka dengan menyediakan segala kelengkapan untuk masa hadapan mereka terutama pendidikan. Saya bekerja keras sekarang pun untuk mereka juga," katanya.
Bina perniagaan
Selain sibuk dengan kerjaya lakonan, dalam diam Rita juga sedang membina nama dalam bidang perniagaan apabila minyak wangi dan produk penjagaan kulit menerusi jenama Crush by Rita Rudaini semakin mendapat tempat.
Malah, Rita juga menjadi selebriti tempatan pertama bersama beberapa yang lain apabila produk keluaran dijual di pasaraya AEON Mid Valley.
"Alhamdulillah, saya terbabit dalam bidang perniagaan sudah lama. Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini baru saya memberi fokus sepenuhnya. Alhamdulillah, usaha ini kian menampakkan hasil. Malah, sambutan juga sangat menggalakkan.
"Lebih mengujakan saya apabila dua produk ini dijual di pasaraya AEON. Walaupun belum di seluruh negara, tapi ia satu pencapaian sebagai peniaga Melayu untuk bersaing dengan jenama antarabangsa lain. Insya Allah, selepas ini akan dijual di banyak lokasi pula.
"Dalam masa sama, saya juga merancang untuk mengeluarkan beberapa lagi rangkaian produk lain. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan,"katanya.
B ersempena Ramadan dan hari raya yang bakal menjelang tiba, Rita turut melancarkan koleksi pakaian Ritrud X Hazel iaitu baju kurung dan kurta lelaki.
"Sambutan tahun lepas sangat baik, itu yang keluarkan lagi tahun ini. Saya tak buat banyak pun, tapi jika ada permintaan saya keluarkan lagi. Untuk pembelian boleh terus ke Instagram saya. Semua info ada di sana," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rita terbabit dalam penggambaran filem Rumah Maduku Berhantu arahan Profesor Datuk Dr A Razak Mohaideen.
Filem itu turut menampilkan pelawak, Zizan Razak, Nadia Brian, Azlee Senario, Saiful Apek dan ramai lagi.-myMetro
0 ulasan:
Catat Ulasan