"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label Perdana Menteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perdana Menteri. Papar semua catatan

Jumaat, 10 Oktober 2025

Intipati Pembentangan Belanjawan2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat

 


Intipati Pembentangan #Belanjawan2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini:

📌KDNK Malaysia 2026 diunjur dalam julat membanggakan antara empat dan 4.5 peratus, berbanding empat hingga 4.8 peratus pada 2025 – PM

📌Kerajaan umum Belanjawan 2026 berjumlah RM419.2 bilion (RM421 bilion dalam Belanjawan 2025), terdiri daripada perbelanjaan mengurus RM338.2 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM81 bilion – PM 

📌Jumlah kutipan hasil dianggarkan lebih tinggi kepada RM343.1 bilion pada 2026 berbanding RM334.1 bilion pada 2025 – PM 

📌Belanjawan kali ini menandakan lembaran pertama RMK13, tidak sekadar berfungsi sebagai perencanaan kewangan tahunan, tetapi kompas sejarah untuk era mendatang. - PM

📌Defisit fiskal keseluruhan diunjur mengecil kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada 2026 berbanding 3.8 peratus pada 2025 – PM

📌Belanjawan 2026 mengangkat tema 'Belanjawan Rakyat', menetapkan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI

📌Inflasi keseluruhan diunjur antara 1.3 peratus dan dua peratus pada 2026, mencerminkan persekitaran pertumbuhan harga yang stabil dan terkawal - PM

📌Belanjawan 2026: Di bawah MADANI, badan-badan penguatkuasa berjaya peroleh hasil rampasan, kutipan penalti hampir RM 15.5 billion. - PM

📌Kadar pengangguran dijangka kekal pada 3.0 peratus pada 2026, jumlah guna tenaga meningkat 2.3 peratus kepada 17.2 juta orang – PM

📌Sektor pembuatan diunjur kekal stabil pada 3.0 peratus pada 2026 berbanding 3.8 peratus pada 2025, disokong oleh industri berorientasikan eksport dan domestik – PM 

📌Sektor perkhidmatan diunjur berkembang 5.2 peratus pada 2026 berbanding 5.1 peratus pada 2025, dengan semua subsektor menyumbang kepada pertumbuhan tersebut – PM 

📌Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion ringgit tahun lalu - PM 

📌Sektor perlombongan dan kuari dijangka berkurangan kepada 1.0 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025 – PM 

📌Sektor pertanian diunjur berkembang 2.2 peratus pada 2026 berbanding 1.2 peratus pada 2025 – PM 

📌Belanjawan 2026 peruntuk lebih RM700 juta, sedia latihan, perolehan aset, tingkat keupayaan SPRM, PDRM, KPDN, JKDM, MyCC - PM

📌Belanjawan 2026: JKDM akan perkenal setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat, bendung pemalsuan, tangani ketirisan di pintu masuk negara - PM

 📌Kerajaan bercadang pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Jan, 2026 - PM 

📌Subsidi dan bantuan sosial yang merangkumi 14.5 peratus daripada OE diunjurkan berkurangan sebanyak 14.1 peratus kepada RM49 bilion pada 2026 – PM 

📌Kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion pada 2025 berbanding unjuran RM334.1 billion tahun ini - PM

📌Sektor pembinaan diunjurkan kekal stabil pada 6.1 peratus pada 2026 berbanding 10.1 peratus pada 2025 – PM 

📌Belanjawan 2026: Inisiatif MyDigital ID akan diperluas ke sektor kewangan, telekomunikasi, e-dagang, kesihatan - PM

📌DE untuk 2025 dianggarkan berkurangan sebanyak 4.8 peratus kepada RM80 bilion, terutamanya disebabkan keperluan perbelanjaan yang lebih rendah kepada sektor ekonomi – PM

📌Keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion ringgit setahun – PM

📌Jumlah OE pada 2025 dianggarkan sebanyak RM332.1 bilion berbanding peruntukan asal RM335 bilion – PM

📌Kerajaan akan meminda Akta Perlindungan Pengguna untuk memasukkan elemen Lemon Law bagi melindungi hak pengguna yang sering tertindas – PM

📌Belanjawan 2026: RM76.6 juta disediakan, tingkat mutu prasarana UTC - PM

📌 Ikhtiar e-Invois dilaksanakan secara menyeluruh mulai 2026, serta sistem taksir sendiri duti setem bagi memupuk pematuhan cukai - PM 

📌Belanjawan 2026: Akta Perlindungan Pengguna akan dipinda, memasukkan elemen 'Lemon Law' bagi melindungi hak pengguna - PM

📌JKDM akan perkenal setem cukai digital dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi membendung pemalsuan, serta menangani ketirisan di pintu masuk negara melalui Centralised Screening Complex CCTV

📌Belanjawan 2026: RM1 bilion disediakan bagi memperhebat Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat - PM

📌Belanjawan 2026: Keseluruhan penyasaran subsidi menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun. - PM

📌Khazanah, KWAP melabur RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor dalam usaha meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional - PM

📌Kerajaan menyediakan RM180 juta Dana Pembangunan Industri NIMP bagi membiayai program pembangunan industri di bawah sektor berimpak tinggi - PM

📌Belanjawan 2026: Tahun Melawat Malaysia 2026 sasar tarik 47 juta pelawat, jana pendapatan pelancongan RM329 billion.

📌Belanjawan 2026: Lebih RM700 juta disediakan untuk merancak sektor pelancongan

📌Agenda Reformasi berjaya menyelaras lebih 1,000 projek, paling utama dapat menjimatkan kos pematuhan sehingga RM1.1 bilion dan antara sebab Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia

📌Mengikut NSS, BPMB menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi oleh syarikat tempatan yang menyokong ekosistem E&E - PM

📌Belanjawan 2026: Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor, geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark akan dibangunkan

📌GLIC melalui ikhtiar GEAR-uP meningkatkan pelaburan dalam negara kepada RM30 bilion daripada RM25 bilion tahun ini - PM

📌Belanjawan 2026: Ubah suai, pembaharuan premis perniagaan oleh pengusaha projek pelancongan diberi potongan cukai sehingga RM500,000

📌Belanjawan 2026: Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 akan diberikan bagi perbelanjaan bayaran fi kemasukan pusat pelancongan tempatan, program kebudayaan

📌 iTEKAD dengan dana padanan RM35 juta akan diperluas - PM

📌Malaysia akan terus menerajui bidang AI serta menyubur aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta - PM

📌Belanjawan 2026: Pengecualian 100 peratus duti eksais, cukai jualan diteruskan bagi pembelian kereta Proton dan Perodua oleh pemandu teksi, kereta sewa persendirian

📌Kerajaan akan perkenal Status ASEAN Business Entity (ABE) yang diselaraskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia - PM

📌Kerajaan bercadang perkenal potongan cukai tambahan 50 peratus diberikan kepada PMKS bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber - PM

📌Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal untuk Zon Kewangan Khas Forest City tempa kejayaan besar susulan enam Pejabat Keluarga diluluskan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) hampir RM400 juta dalam tempoh kurang setahun - PM

📌Belanjawan 2026: Sovereign AI Cloud akan dibina MCMC dengan pelaburan RM2 bilion

📌RM53 juta Geran Pecutan Digital Malaysia disediakan bagi mempercepat pertumbuhan, penerimagunaan teknologi seperti blockchain, AI dan perkomputeran kuantum - PM

📌Kerajaan bersetuju menyalurkan dana permulaan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan - PM

📌Belanjawan 2026: RM15 juta disediakan untuk penganjuran Malaysia Techlympics, Minggu Sains Negara, Rehlah Sains, Science on Wheels 

📌Kerajaan setuju salur dana permulaan RM10 juta melalui penubuhan Dana Nasional Syarikat Terbitan -- PM

📌30 lagi Pejabat Keluarga telah nyatakan minat, Malaysia di landasan tepat untuk capai RM2 bilion AUM pada penghujung 2026 - PM

📌SJPP sedia menjamin sehingga 70 peratus pembiayaan syarikat pertengahan berorientasi eksport dengan nilai jaminan sehingga RM5 bilion - PM

📌Belanjawan 2026: Penandaan logo Buatan Malaysia, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia akan terus diperkasa dengan peruntukan RM20 juta.

📌Belanjawan 2026: RM50 bilion kemudahan pinjaman dan jaminan Kerajaan tersedia untuk manfaat usahawan tempatan tahun hadapan

📌Mulai suku pertama 2026, Kerangka Insentif Baharu Berasaskan Keberhasilan, akan dilaksanakan sepenuhnya bagi sektor perkilangan, diikuti sektor perkhidmatan pada suku kedua - PM

📌Geran Pembangunan Pasaran MATRADE menyediakan RM60 juta bagi memudah cara PMKS mengeksport produk ciptaan Malaysia ke pasaran sedia ada dan pasaran baharu termasuk Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah - PM

📌EXIM Bank menyediakan pinjaman mudah untuk membantu syarikat yang terkesan akibat ketegangan tarif perdagangan global dengan dana RM500 juta - PM

📌Jumlah kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan yang tersedia untuk manfaat usahawan tempatan bernilai RM50 bilion pada tahun hadapan berbanding RM40 bilion - PM

📌Institusi kewangan pembangunan (DFI) menyediakan pembiayaan dan geran hampir RM1 bilion untuk menyokong automasi proses dan pendigitalan operasi perniagaan - PM

📌Belanjawan 2026: RM2.62 bilion akan disediakan untuk pelbagai subsidi, bantuan kepada pesawah tahun hadapan

📌Lebih RM2.5 bilion pinjaman mikro disediakan di bawah BSN dan TEKUN - PM

📌Kerajaan mencadangkan nilai ambang gaji bagi kontrak penggajian yang dikecualikan daripada pengenaan duti setem dinaikkan daripada RM300 kepada RM3,000 sebulan mulai 1 Jan, 2026 - PM

📌RM40 juta disediakan bagi mempercepat proses peningkatan skala syarikat bumiputera berpotensi tinggi - PM

📌Belanjawan 2026: MINDEF akan terima peruntukan RM21.7 billion, KDN RM21.2 bilion

📌Ekuinas akan membangunkan syarikat pelaburannya sehingga dapat disenaraikan dan diambil alih oleh PNB susulan penyatuan Ekuinas dan PHB di bawah YPB - PM

📌Kerajaan menyediakan RM20 juta bagi menyokong syarikat mula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama MPOB dan syarikat utama sawit - PM 

📌Belanjawan 2026: RM6 bilion diperuntuk bagi selenggara, beli aset pertahanan termasuk dua MRSS dan 10 kenderaan baharu MALBATT

📌KWAP menyediakan RM20 juta untuk program pembiayaan mikro bagi pesara, memperkasakn keusahawanan di peringkat komuniti - PM

📌Kerajaan peruntuk hampir RM120 juta bagi membela nasib pekebun kecil - PM

📌RM2.4 bilion khusus untuk kontraktor G1-G4 bumiputera - PM

📌Kerajaan sediakan RM50 juta untuk membangunkan dan menyelenggara jalan-jalan ladang di seluruh negara - PM 

📌Sempena Deepavali, bayaran STR Fasa 4 2025 bernilai RM2 bilion yang dijadualkan November ini, diawalkan, disalur mulai 18 Okt - PM

📌RM10 bilion dikhususkan untuk menyokong usahawan bumiputera daripada RM30 bilion jaminan kerajaan di bawah SJPP - PM

📌Belanjawan 2026: SARA RM100 kepada 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas akan diberi sekali lagi pertengahan Februari tahun hadapan. - PM

📌NETR terus memacu pemain industri menerusi sokongan Dana Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM150 juta - PM

📌Belanjawan 2026: RM600 juta akan disediakan, perbanyak program Payung RAHMAH di semua kawasan DUN tahun hadapan

📌GLIC, GLC sedang menggerakkan pelaburan bernilai RM16.5 bilion untuk 2026 - PM

📌Program Jaguh Serantau SME Bank sediakan pinjaman RM200 juta kepada PKS bumiputera untuk menembusi pasaran eksport - PM

📌Program Penskalaan Usahawan Bumiputera MARA menyediakan RM100 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat mula niaga dalam sektor strategik bernilai tinggi - PM

📌Cukai Karbon diperkenalkan mulai tahun hadapan dengan tumpuan awal kepada sektor besi, keluli dan tenaga - PM

📌PM Datuk Seri Anwar umum RM105 juta untuk VentureTECH tingkat pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor teknologi tinggi

📌Belanjawan 2026: Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 akan digubal, diluncur semasa 'New Frontiers on Care Conference' peringkat ASEAN, November ini.

📌CIDB menyediakan RM10 juta bagi meningkatkan daya saing usahawan bumiputera khususnya kontraktor muda industri pembinaan -- PM

📌Kerajaan meneruskan pemberian rebat bagi pembelian kelengkapan jenis cekap tenaga kepada pengguna dan peniaga dengan peruntukan RM20 juta - PM

📌Belanjawan 2026: RM46.5 bilion diperuntuk kepada Kementerian Kesihatan, meningkat berbanding RM45.3 bilion tahun ini.

📌Belanjawan 2026: Semua hospital, klinik Kerajaan akan diselenggara, baik pulih melibatkan peruntukan RM1.2 bilion.

📌Belanjawan 2026: Seramai 4,500 doktor kontrak diluluskan, akan ditawarkan jawatan tetap tahun hadapan.

📌Kerajaan bercadang melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan perusahaan sosial sehingga 2028 - PM

📌RM230 juta disediakan kepada AIM untuk terus menawarkan pembiayaan, menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion - PM

📌Belanjawan 2026: Rokok naik 2 sen per batang, duti eksais ke atas produk rokok lain turut dinaikkan berkuat kuasa 1 Nov ini.

📌Belanjawan 2026: Mulai 2026, kerajaan memberikan Pendidikan Percuma PTPTN, libatkan 5,800 pelajar IPTA dari keluarga miskin, dengan peruntukan RM120 juta

📌Belanjawan 2026: Kerajaan setuju mengecualikan bayaran balik PTPTN kepada semua penerima Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di IPTA dari keluarga pendapatan rendah, menengah.

📌Kerajaan cadang kenakan duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing - PM

📌Kerajaan lanjut tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin dan diperluas kepada produk "nicotine mist" dan "nicotine lozenges" sehingga 31 Dis, 2027 - PM

📌Kerajaan setuju kadar duti eksais bagi produk minuman keras dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai 1 Nov, 2025 - PM

📌Kerajaan cadang pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000, dilanjutkan selama dua tahun sehingga 31 Dis, 2027 - PM

📌Belanjawan 2026: Had kelayakan maksimum pembiayaan LPPSA akan dinaikkan sehingga RM1 juta ringgit, selaras pelarasan gaji, peningkatan harga pasaran hartanah

📌Kerajaan cadang perbelanjaan pengubahsuaian dan menukar bangunan komersial kepada tempat kediaman diberi potongan cukai khas 10 peratus daripada perbelanjaan yang layak, dengan potongan cukai terhad sehingga RM10 juta - PM

📌Belanjawan 2026: Semua anggota Jemaah Menteri akan terus membuat pemotongan 20 peratus gaji.

📌Penjawat awam gred 56 dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan RM500, pesara, veteran berpencen dan tidak berpencen RM250,disalurkan awal Mac 2026. - PM

Selasa, 14 Februari 2023

Hutang negara turut disumbang ketirisan era BN, PN, kata Anwar

 Perdana menteri berkata ada kebenaran menyatakan bahawa kerajaan BN dulu ada ketirisan dan kes terlibat seperti 1MDB, tetapi dalam PN juga berlaku kerosakan.

Anwar Ibrahim menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) di Dewan Rakyat, yang bertanya sama ada penyumbang utama hutang negara adalah berkaitan pelbagai skandal kewangan berlaku zaman BN.

KUALA LUMPUR: Perdana menteri berkata peningkatan hutang negara sehingga mencecah hampir RM1.2 trilion turut disumbang akibat ketirisan pada zaman Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) pimpinan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin.

“Ada kebenaran menyatakan bahawa kerajaan BN dulu ada ketirisan dan kes terlibat seperti 1MDB, tetapi dalam PN juga berlaku kerosakan dan banyak juga seperti perbelanjaan jana wibawa, isu tebatan banjir.

“Beberapa ketirisan lain dalam siasatan, ada yang tanya kenapa belum siasat…itu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa, dan ada tindakan undang-undang, itu urusan peguam negara.

“Kalau sabar, dalam masa terdekat ada berita baik untuk rakyat,” kata Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada penyumbang utama hutang negara adalah berkaitan pelbagai skandal kewangan berlaku zaman BN.

Radzi turut bertanya apakah tindakan perdana menteri yang juga memegang jawatan menteri kewangan seperti era pentadbiran perdana menteri ke-6 akan mengulangi skandal sama.

Mengulas lanjut, Anwar mempertahankan tindakannya memegang jawatan menteri kewangan dan ia bukan suatu masalah.

Katanya, perkara itu akan menjadi masalah jika seseorang pemimpin menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri.

“Soalnya sama ada kedudukan perdana menteri dan menteri kewangan itu menjadi masalah, dalam sejarah kita sama ada digabungkan atau tidak, itu bukan masalah, yang masalahnya adalah guna kedudukan rompak harta rakyat dan ini terpakai di banyak kalangan yang bersih sama ada belah sini, sana, jangan bimbang.

“Tetapi yang terpalit dengan rasuah, itu yang harus merasa tertekan dan bimbang, tetapi saya bertekad apa pun telahan dibuat saya akan tekad. Kerajaan perpaduan, saya akan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang dari segi rasuah yang berleluasa,” katanya.-FMT

Isnin, 28 November 2022

Imbas: Skandal Forex BNM 1990, Anwar akui negara rugi RM30b - Anwar bukan Menteri Kewangan yang baik

 

Ramai anak muda digambarkan kononnya Anwar adalah Menteri Kewangan terbaik. Terbaik? baik pun belum tentu lagi. Dia telah menyebabkan BNM rugi 30 billion. Itu belum masuk isu rugi atas 92 juta. Kita belum lagi bahas dengan BMF lagi... Orang luar terutama akan angkat dia di mata dunia kerana dengan Anwar orang asing boleh menguasai ekonomi di negara kita...
Baca di bawah surat pengakuan Anwar sendiri...

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan negara kerugian antara RM15 bilion hingga RM30 bilion dalam skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi PKR malam tadi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang juga bekas Menteri Kewangan, mendakwa beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian bank pusat itu pada 20 April lalu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Berkenaan Kerjasama saya dengan Pasukan Petugas Khas Forex.

Saya memilih untuk bekerjasama dengan Pasukan Petugas Khas Forex selaku mantan Menteri Kewangan 1991-1998. Saya berpuas hati dengan ruang yang diberikan oleh Pengerusi Tan Sri Sidek (Hassan) dan jawatankuasa.

Dalam kesempatan singkat pada 20hb April lalu, saya telah jelaskan antara lain bahawa:

1. Sebaik menyandang jawatan Menteri Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Tan Sri Zain Azraai Zainal Abidin) ada menyentuh urusan dagangan mata wang oleh Bank Negara Malaysia. Menurutnya, sejak 1989, Perbendaharaan Amerika (Fed); Bank Pusat England dan IMF telah memaklumkan bahawa penglibatan BNM dalam urusan tersebut dianggap membimbangkan.

Berikutnya, dalam taklimat Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Jaafar Hussein, beliau menafikan keterlibatan BNM sambil menekankan bahawa penglibatan BNM adalah sah sekadar mempertahankan kedudukan ringgit dalam pasaran.

2. Masalah mula dikesan laporan yang membimbangkan dari media antarabangsa dan pasaran Zurich, sekitar akhir 1991 dan awal 1992, dan perkara tersebut dikemukakan semula kepada Gabenor BNM. Tan Sri Jaafar memberikan keterangan yang sama dan memaklumi bahawa Pengarah Urusan tersebut di BNM adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Namun, manakala deraf awal audit BNM 1991 dibentangkan, Perbendaharaan melahirkan kebimbangan. Gabenor BNM akui jumlah terlibat adalah lebih besar dari yang dijangka. Memandangkan saya dan Kementerian Kewangan tidak dimaklumkan mengenai hal tersebut, Gabenor sendiri yang menjelaskan kepada media dengan menyebut "kerugian atas kertas". Berikutnya saya terpaksa menangani permasalahan tersebut di Parlimen, terutama persoalan-persoalan yang dibangkit Ketua Pembangkang ketika itu, YB Lim Kit Siang. Kerajaan memberikan penjelasan BNM sambil menjelaskan keutuhan ekonomi. Namun, saya menegaskan arahan agar BNM menghentikan dagangan Forex tersebut.

3. Dari perkembangan tahun berikutnya, 1993, ternyata urusan tersebut diteruskan; dan jumlah kerugian ketika itu, dianggar sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion. Gabenor BNM membuat pengakuan kepada saya bahawa Tan Sri Nor Mohamed Yakcop tidak memberi laporan tepat kepadanya dan beliau telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai petugas yang bertanggungjawab. Tan Sri Jaafar sendiri mengambil tanggungjawab sepenuhnya, walaupun saya akui kewibawaannya dan percaya bahawa beliau tidak diberikan keterangan lengkap oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

4. Tan Sri Ahmad Don yang mengambil alih tugas Gabenor BNM pada tahun 1994 telah bertindak menghentikan dagangan tersebut, dan mula membayar kerugian sekitar RM500 juta setiap tahun. Pengurusan BNM bertambah mantap, diperkemas dengan laporan dasar yang lebih teratur kepada Menteri Kewangan.Jumlah kerugian akhirnya dianggar sekitar 15 hingga 30 bilion ringgit tertakluk kepada cara BNM mengaudit dan mencatat potongan 'contingency fund', 'reserve fund', 'insurance fund'; kos membendung inflasi dan mempertahan ringgit.

5. Setelah saya dipenjarakan pada September 1998, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri. Dan lebih serius lagi apabila beliau dilantik Menteri Kewangan Kedua pada 2008; walaupun ketika diberhentikan pada tahun 1998, Kementerian Kewangan telah mengemukakan syarat bahawa beliau tidak boleh lagi terlibat dalam mana-mana institusi kewangan negara.

6. Dalam pertemuan dengan Pasukan Petugas Khas Forex ini, berulangkali saya tegaskan keperluan dibekalkan dengan laporan dan dokumen untuk memastikan perjalanan lebih telus dan teratur. Perkara ini belum dilaksanakan. Saya juga perhatikan masalah wujud manakala keputusan Pengerusi membenarkan peguam saya, R Sivarasa, hadir untuk saya rujuk, tetapi keputusan ini diketepikan oleh seorang pegawai di Kementerian Kewangan.

Anwar Ibrahim
26 April 2017

-Ibnu Hasyim

Lawatan Khas:Sultan Brunei pandu kereta bawa Anwar ke Seri Perdana

 Bernama

 -
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia, hari ini. (Gambar Bernama)

SUBANG: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatan khas baginda ke Malaysia, hari ini.

Sebelum kedua-dua pemimpin itu memulakan perjalanan pada 11.45 pagi, Anwar yang duduk bersebelahan Sultan Hassanal Bolkiah, sempat melambaikan tangan ke arah pengamal media.

Turut berkenan menaiki kereta jenis BMW tersebut adalah anakanda Sultan Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.

Perjalanan kedua-dua pemimpin itu ke Putrajaya dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini yang jaraknya kira-kira 41 kilometer, diiringi pasukan keselamatan bermotosikal dan berkereta.

Terdahulu, Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi Brunei yang selamat mendarat di pangkalan TUDM pada 11.40 pagi.

Sejurus tiba, baginda diberikan tabik hormat oleh perbarisan daripada Tentera Darat Malaysia yang diketuai Mejar Mohd Faudzi Che Hashim. Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Keberangkatan baginda ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan sulung dengan Anwar yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 Nov lalu.

Perdana menteri juga akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah serta Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari ini.

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama rakyat.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan itu untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam Asean dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion (USD1.94 bilion).

Ahad, 17 April 2022

Ismail Sabri PM boneka Umno, rakyat jangan lagi sokong

 


Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa memorandum kerjasama (MoU) Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan tidak akan diteruskan selepas tamat 31 Julai ini menunjukkan usaha yang dirintis oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini diambil alih oleh elit Umno.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, sebaik sahaja idea dan usaha PM Ismail untuk berbaik baik dengan pembangkang diambil alih oleh Umno dengan tawaran beliau akan dicalonkan sebagai PM pada Pilihan Raya Umum ke 15 maka Ismail tidak lagi memiliki kuasa penuh dalam pemerintahannya.

“Ini adalah “horse-trading” di dalam rumahtangga Umno di mana Kluster Mahkamah masih memegang hulu parang dan Perdana Menteri yang merupakan hanya Naib Presiden Umno menjadi seorang pemimpin dalam tebusan.

“Tolak ansur dan tawar menawar antara PM Ismail Sabri dengan Presiden Umno bermakna Parlimen akan dibubarkan tidak lama lagi selepas MoU tamat pada 31 Julai 2022.

“Selepas itu Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk menasihatkan Baginda agar membubarkan Parlimen dan PRU diadakan dalam tempoh 60 hari,” katanya.

Hassan menolak PM yang dikawal oleh elit parti dan setiap tindakannya lebih cenderung untuk memastikan apa sahaja yang diusahakan Umno menjadi kenyataan, meskipun akan merugikan rakyat terbanyak.

Kata Hassan, sebelum ini PM adalah watak yang kuat dan tidak ditentukan tindak tanduknya oleh parti.

“Selama ini PM seorang yang berwibawa dan berkuasa dalam menentukan hal ehwal negara. Perdana Menteri ketua Eksekutif dan Ketua Jemaah Menteri atau Kabinet. Perdana Menteri adalah Ketua Majlis Mesyuarat bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“PM adalah orang yang menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk perlantikan hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan serta segala jawatan penting dan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR, Ketua PDRM dan Ketua Angkatan tentera Malaysia juga duta-duta ke negara asing.

“Perdana Menteri juga orang yang diberi hak dan kuasa oleh undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan bilakah tarikh pilihan raya dan Parlimen patut dibubarkan. Kuasa itu miliknya sendiri di bawah Perlembagaan dan Perdana Menteri tidak perlu tunduk dan berkompromi dengan sesiapa termasuk parti politik yang diwakilinya.

“Tetapi kini Malaysia memiliki seorang PM yang boleh ditolak oleh Umno ke sana dan ke sini,” ujarnya.

Justeru, menurut Hassan, rakyat harus sedar hakikat PM ‘terikat tangannya’ dan tidak wajar memberikan sokongan melulu kepada PM seperti itu yang dikuasai elit sesebuah parti.

Katanya, hal itu amat merbahaya apabila sebahagian elit Umno itu merupakan kluster mahkamah yang dibuktikan telah melarikan berpuluh juta atau malah berbilion wang rakyat.

“Malaysia perlukan seorang PM yang kuat, berwibawa dan berintegriti. Malaysia perlukan PM yang memimpin, bukannya seorang yang dipimpin oleh Kluster Mahkamah Umno seperti sekarang ini.

“Pemimpin yang lemah dan boleh dicucuk hidung bukanlah seorang PM yang diimpikan oleh rakyat. PM yang menjadi tawanan tebusan pemimpin-pemimpin Kluster Mahkamah dari partinya sendiri wajar ditolak rakyat dalam PRU-15 akan datang,” kata Hassan lagi.

-wrlr

Sabtu, 8 Januari 2022

‘Yang terpukul ialah Umno’, Khaled luah dilema dihadapi parti

 

Umno berada dalam kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana Perdana Menteri dari Umno tetapi parti itu tidak menguasai kerajaan, menurut Mohamed Khaled Nordin.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat tidak mempunyai banyak pilihan dari kalangan Ahli Parlimen sedia ada untuk membuat rombakan menggantikan Jemaah Menterinya yang gagal, kata Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden Umno itu berkata, siapa yang hendak dibuang Ismail dan siapa yang akan menggantikan kekosongan itu bergantung kepada sokongan parti masing-masing, jika silap percaturan Perdana Menteri bakal hilang sokongan.

“Umno berada dalam kedudukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Perdana Menteri dari Umno tetapi Umno tidak menguasai kerajaan.

“Umum pun tahu, beliau mewarisi Jemaah Menteri dari Kerajaan PN (Perikatan Nasional) yang tumbang itu. Hampir semua penyumbang kerajaan PN yang gagal itu terus berada dalam kerajaan Ismail Sabri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Khaled berkata, menyalahkan Perdana Menteri kerana kelemahan ketara kerajaan sekarang adalah suatu yang mudah, namun beliau mengingatkan jika orang lain berada dalam kedudukan Ismail, mereka juga akan sukar melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

Tambah Khaled, Perdana Menteri tahu keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinannya kini semakin menurun dengan drastik, namun kedudukan Ismail sangat bergantung kepada parti-parti kecil dalam kerajaan sekarang yang sangat menyukarkan beliau.

“Yang terpukul ialah Umno kerana setiap kelemahan kerajaan, Umno yang akan menerima bukan sekadar tempias, tetapi ‘the hurricane of people’s anger’.

“Namun Umno juga tidak boleh membiarkan Perdana Menteri keseorangan. Beliau adalah wakil Umno dan beliau sepatutnya menjadi suara Umno. Kalau beliau gagal, Umno yang dituduh gagal. PM pasti mengerti ini,” katanya.

Katanya, Umno sedang bekerja keras untuk mencari strategi keluar daripada kemelut itu, namun buat masa ini tambah beliau, dilemma Umno akan berterusan.-FMT

Selasa, 30 November 2021

Menara Merdeka 118 pemangkin ekonomi - PM

 

Menara Merdeka 118

KUALA LUMPUR: Pembinaan Merdeka 118, iaitu menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa, akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia dengan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Merdeka 118 dengan ketinggian 678.9 meter membawa semangat Keluarga Malaysia kerana memberi peluang masyarakat setempat membangunkan perniagaan.

"Selain itu, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (tengah) sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn melakukan gimik penyempurnaan puncak Menara Merdeka 118 pada Majlis Penyempurnaan Pemasangan Perasmian Puncak Menara Merdeka 118 di Jalan Changkat Stadium. NSTP/ASWADI ALIAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (tengah) sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn melakukan gimik penyempurnaan puncak Menara Merdeka 118 pada Majlis Penyempurnaan Pemasangan Perasmian Puncak Menara Merdeka 118 di Jalan Changkat Stadium. NSTP/ASWADI ALIAS.


"Pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat, terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi," katanya selepas merasmikan penyempurnaan puncak menara Merdeka 118, di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (tengah) sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn melakukan gimik penyempurnaan puncak Menara Merdeka 118 pada Majlis Penyempurnaan Pemasangan Perasmian Puncak Menara Merdeka 118 di Jalan Changkat Stadium. NSTP/ASWADI ALIAS.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (tengah) sambil diperhatikan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn melakukan gimik penyempurnaan puncak Menara Merdeka 118 pada Majlis Penyempurnaan Pemasangan Perasmian Puncak Menara Merdeka 118 di Jalan Changkat Stadium. NSTP/ASWADI ALIAS.

Pembinaan Menara Merdeka 118 setinggi 118 tingkat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sudah mencapai 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun depan.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, permohonan Geran Merdeka 118 dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, dan Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.-BH Online

Ahad, 28 November 2021

Bahasa Melayu duduki tangga ke-10 popular di dunia

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar UTM pada Ahad. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana Bahasa Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.

"Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.

Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berhadapan dengan ancaman kepupusan,” kata beliau ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, Malaysia seharusnya bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku kepada Bahasa Melayu memandangkan semuanya hasil kesepaduan rumpun Nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam selaku pendukung utama.

"Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur Bahasa Melayu di dunia ini, yang sekarang ini sudah pun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ Bahasa Melayu,” kata beliau.

Perdana Menteri bagaimanapun menegur trend masa kini yang menyaksikan program swasta, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan yang tidak menggunakan Bahasa Melayu.

"Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris.

Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan Bahasa Melayu.

Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini.

Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” kata beliau.

Kata beliau, kerajaan mahu mengulangi sejarah kegemilangan Bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

"Kerajaan komited untuk memastikan dasar-dasar yang digubal menyokong usaha pemartabatan Bahasa Melayu.

Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap Bahasa Melayu,” kata Ismail Sabri.

PABM 2021 melibatkan penyertaan 78 peserta dari 36 negara, antaranya Bangladesh, Jepun, Uzbekistan, Mesir, Brunei, Mali dan Pakistan. - Bernama

Selasa, 20 Julai 2021

Adakah Sekarang Masa Yang Sesuai Untuk Menukar Perdana Menteri?

BEKAS Menteri Kewangan II, DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO apabila bercakap, dikatakan biasanya berasaskan kepada fakta.

Dalam satu wawancara Jumaat lalu, beliau meluahkan apa yang terbuku bila menegaskan Malaysia amat memerlukan karakter pemimpin yang bukan sahaja mampu, bahkan perlu berani mengambil pendekatan berbeza bagi menyelesaikan krisis politik, kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara.

 Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, beliau menegaskan, hanya pemimpin berwibawa dan dihormati menjadi satu-satunya jalan keluar Malaysia daripada krisis yang membadai negara hari ini.

Berikut adalah petikan dari temu bual antara Wartawan Mingguan Malaysia dengan Bekas Menteri Kewangan II yang telah berlangsung selama sejam.

MINGGUAN MALAYSIA: Pada pandangan Datuk Seri, apa yang tidak kena dengan negara kita ketika ini?

JOHARI ABDUL GHANI: Kalau kita tengok hari ini, negara kita berdepan dengan tiga masalah kritikal. Satu, kita berdepan dengan krisis politik apabila ahli-ahli Parlimen yang menyokong kerajaan dan tidak menyokong kerajaan saling bertelagah antara satu sama lain. Kerana seorang mengatakan dia ada majoriti dan yang seorang lagi tak ada majoriti.

Jadi, ini menyebabkan orang melihat senario politik tidak stabil. Bila keadaan tidak stabil dari segi politik sesebuah negara, ia akan menyebabkan macam-macam benda kita susah nak buat.

Saya nak ingatkan orang-orang Melayu supaya tidak bergasak sesama sendiri sehingga yang menang jadi arang, kalah jadi abu, menang sorak kampung tergadai.

Nombor dua, dari segi krisis kesihatan iaitu pandemik Covid-19. Bukan sahaja kita, malah seluruh dunia juga berdepan. Tinggal lagi beza di antara sebahagian negara yang berjaya mengatasi krisis ini dengan yang tidak berjaya adalah bergantung kepada kepimpinan negara tersebut.

Kalau kita boleh mentadbir negara ini dengan penuh kewibawaan dan kita dapat menyatupadukan pemimpin-pemimpin di setiap peringkat untuk mengatasi Covid-19 ini, dan juga (mendapatkan) pandangan sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, saya rasa krisis kesihatan ini boleh ditadbir dengan sempurna.

Akhir sekali, ialah kesan daripada ketidakstabilan politik dan krisis kesihatan ini, akan melahirkan krisis ekonomi.

Krisis ekonomi ini sangat serius. Kalau kita tidak kendalikan dengan betul, dia seolah-olah macam sebuah kereta yang berjalan, tiba-tiba kita berhenti, lepas itu kita tak berjalan, kita undur ke belakang. Jadi bila kita nak menggerakkan balik ekonomi ini, ia akan menjadi satu masalah yang besar.

Jadi tiga krisis politik, kesihatan dan ekonomi berlaku dalam masa yang sama. Ini memerlukan pendekatan yang amat berbeza untuk mengatasi ketiga-tiga krisis ini.

Temubual penuh silalah baca di SINI

Jadi persoalannya di sini dalam menangani isu COVID-19 yang buat pertama kalinya melanda Dunia ini yang jelas tidak pernah dihadapi oleh mana-mana Kerajaan di dalam Dunia ini sebelum ini adakah menukar Perdana Menteri satu tindakan yang wajar?

Sejauh mana kita yakin dengan menukar Perdana Menteri isu COVID-19 ini dapat diselesaikan tanpa mendorong kepada masaalah yang lebih besar?

Kenapa tidak Ahli-ahli Parlimen sedia ada meletakkan agenda politik ke tepi buat seketika dan menggembleng tenaga untuk menangani isu ini?

Baclah pendapat Geostrategis dan Penganalisis Politik ini.


PETALING JAYA: Menukar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan orang lain bukan jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan kemelut politik negara stabil.

Ini kerana, masih tiada calon Perdana Menteri dalam kalangan parti komponen termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pas yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, ini jauh sekali untuk seseorang mendapat sekurang-kurangnya dua per tiga undi ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk dilantik ke dalam jawatan itu.

Malah, Pakatan Harapan (PH) pun tidak seutuh yang disangka untuk membentuk kerajaan baharu sekalipun memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Cara yang boleh diambil untuk menstabilkan situasi politik negara sekarang adalah mengekalkan status quo kerajaan sedia ada dan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri dan sokongan diberi kepada semua pihak termasuk pembangkang.

“Kedua, seseorang boleh dilantik untuk mengurus negara tetapi dengan syarat tidak berkait dengan unsur politik. Memang peranan Perdana Menteri itu penting dalam memberi arah tuju negara, tetapi, kalau Perdana Menteri sendiri terumbang-ambing, maka semua pihak akan terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tentang penyelesaian krisis politik untuk mewujudkan kerajaan stabil dengan mengekalkan pentadbiran sekarang dan cuma menukar Perdana Menteri.

Senada dengan beliau, penganalisis politik dan keselamatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin yang berkata, menukar Perdana Menteri tidak sesuai ketika pandemik Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

Antara lain, tiada seorang pemimpin negara yang pernah berdepan krisis kesihatan berskala besar seperti Covid-19 dan pertukaran kepimpinan hanya mendorong kepada masalah lebih besar dan mengundang kemarahan rakyat.

“Jadi, ketika ini, semua pihak perlu mencapai konsensus bersama berpaksikan matlamat ingin keluar daripada pandemik dan tiada bentuk pertukaran besar dalam negara,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib pula berkata, kelemahan disebabkan seseorang individu tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan kerajaan.

“Contohnya, kalau ada kelemahan dalam pengurusan vaksin Covid-19 dan jika ada solusi untuk mempercepat dan lebih tersasar, maka boleh menyelaras semua strategi tanpa perlu menukar Perdana Menteri.

“Begitu juga dalam politik negara, carilah kaedah lain yang boleh menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik tanpa menukar kedudukan sesiapa,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bilcher Bala berkata, Malaysia seharusnya mengambil pendekatan sama dengan Slovakia dan Itali yang menyaksikan Perdana Menterinya melepaskan jawatan akibat kemelut politik yang melanda negara itu.

Katanya, pertukaran kepimpinan tidak lagi harus berpandukan kepada kesesuaian keadaan atau sebaliknya kerana negara sudah tidak mempunyai cukup masa ketika kerajaan sudah terbukti tidak mampu menguruskan pandemik Covid-19.

“Adakah kita mahu menunggu keadaan terlalu parah dalam tempoh dua tahun lagi baru menukar kepimpinan?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Credit:Anak Sungai Derhaka

Rabu, 14 Julai 2021

Jemaah Menteri kekal sokong PM, tumpu usaha tangani Covid-19

Pejabat pentadbiran kerajaan Malaysia di Putrajaya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan sokongan sebulat suara daripada semua ahli-ahli Jemaah Menteri untuk terus kekal memimpin pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menumpukan usaha ke arah menangani penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan ahli-ahli Jemaah Menteri hari ini, ia menegaskan setiap keputusan yang dibuat oleh kerajaan dilakukan secara kolektif dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Ahl-ahli Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada 14 Julai telah membuat keputusan sebulat suara untuk kekal memberi sokongan penuh kepada kepimpinan YAN Tan Sri Muhyiddin yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Ahli-ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak,” kata kenyataan itu.

Tegas kenyataan itu lagi, keutamaan kerajaan adalah ke arah usaha membawa negara keluar dari penularan pandemik Covid-19.

“Keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Pada Rabu minggu lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai Mesyuarat Majlis Tertingginya mengumumkan keputusanmenuntut supaya Muhyiddin berundur secara terhormat dan memutuskan UMNO menarik sokongan daripada kerajaan PN.

Zahid juga menuntut supaya PM baharu dilantik bagi menggantikan Muhyiddin bagaimanapun tidak menamakan individu yang layak untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Zahid berkata hanya PM sahaja berundur dan Menteri Kabinet sedia ada akan kekal.

Bagaimanapun, gesaan Zahid tersebut tidak menerima sambutan daripada Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang dilihat tidak sehaluan dengan beliau, ia memandangkan wujud curiga anak murid kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang cuba membawa parti ke arah kerjasama bersama PKR dan DAP.

Setakat ini, tidak ada seorang Menteri atau Timbalan Menteri yang mengikut telunjuk Zahid yang seakan cuba menjatuhkan kerajaan PN.

-Agenda Daily