PETALING JAYA: Kerajaan tidak sepatutnya membiarkan rakyat terus terhimpit kerana pemulihan ekonomi yang perlahan hingga menyukarkan rakyat apabila berlakunya kenaikan harga barang.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata
kerajaan perlu berhenti dengan tindakan reaktif sebaliknya tadbir urus yang proaktif sangat diperlukan untuk mengawal harga barangan asas.
“Ini supaya rakyat tidak terus terbeban dalam saat getir seperti sekarang. Punca kenaikan harga selalunya adalah disebabkan peningkatan permintaan melebihi penawaran.
“Adakah ini bermakna bekalan makanan negara tidak mencukupi? Dan jika mencukupi, setakat berapa lama lagi kecukupan itu akan bertahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, rakyat Malaysia terus melalui saat yang sukar demi kelangsungan hidup dan kerajaan sehingga saat ini gagal memberikan solusi tuntas dan segera.
Mohamad berkata, inisiatif pemantauan dan penguatkuasaan harga makanan juga nampaknya tidak cukup efektif untuk mengatasi isu pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga serta aktiviti monopoli.
“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang baru diumum pula hanya melibatkan 12 barangan kritikal.
“Kenapa perlu menunggu ketibaan hari perayaan untuk berbuat demikian?” soalnya.
Katanya, untuk itu kerajaan mesti segera menyemak semula inisiatif Program Food Bank Malaysia yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah B40 dan mereka yang memerlukan.
“Strategi terbaharu dan insentif berpatutan perlu digunakan untuk mendapatkan komitmen daripada lebih banyak penyumbang termasuk pengilang, syarikat korporat dan pasaraya,” katanya.-FMT
0 ulasan:
Catat Ulasan