SOLAT TARAWIH
Bahagian Ketiga
BACA SURAH AL-IKHLAS LEPAS SALAM SOLAT TARAWIH
SOALAN :
Adakah harus apa yang dilakukan olih umat Islam pada setengah tempat ketika mereka selesai dari salam solat tarawih sebanyak empat rakaat mereka akan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali kemudian baru mereka bangun kepada rakaat yang seterusnya kerana ada orang yang berkata tidak dapat pahala kerana tidak ada dalilnya?
JAWAPAN :
Telah datang perintah dari syariat supaya dibaca akan Al-Quran itu atas pihak umum yakni tidak ada dikaitkan dengan waktu tertentu atau tempat tertentu melainkan pada waktu yang datang nas melarangnya seperti ketika sedang berhadas besar atau dilarang pada tempat tertentu seperti di dalam tandas dan seumpamanya.
Siapa yang membaca Quran pada waktu pagi atau tengahari atau petang atau malam atau subuh maka dia akan mendapat semua ganjaran yang telah disebut dalam nas-nas yang telah masyhur.
Begitu juga siapa yang membaca Quran di rumah atau di masjid atau di pasar atau di pejabat atau di pantai atau di padang atau di atas bukit atau di bawah lembah atau lainnya maka dapat baginya segala ganjaran yang dijanjikan ke atas pembaca Quran.
Maka termasuklah orang-orang yang membaca surah Al-Ikhlas di celah-celah rakaat solat tarawih bahkan Nabi saw sendiri telah menjanjikan ganjaran yang sangat besar bagi orang yang membaca surah Al-Ihklas ini.
Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. beliau berkata : Nabi saw telah bersabda kepada para sahabatnya :
أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ القُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ؟» فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا: أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَقَالَ: «اللَّهُ الوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ القُرْآنِ
Artinya : “Adakah melemahkan kamu sekelian kalau membaca satu pertiga dari Quran pada satu malam? Maka jadi keberatan yang demikian itu atas mereka dan berkata mereka : Manakah antara kami yang mampu demikian itu wahai Rasulullah? Lalu Nabi bersabda : Surah Qul Huwallahu Ahad itu satu pertiga dari Al-Quran.” Hadith riwayat Imam Bukhari.
Dan pada riwayat Imam Ahmad :
يَقْرَأُ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ فَهِيَ ثُلُثُ الْقُرْآنِ
Artinya : “Membaca akan Qul Huwallahu Ahad itu maka ialah satu pertiga Quran.”
Dan pada hadith Abu Darda’ :
«﴿قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ﴾ يَعْدِلُ ثُلُثَ الْقُرْآنِ
Artinya : “Qul Huwallahu Ahad menyamai satu pertiga Quran.” (Riwayat Imam Muslim)
Kesimpulannya amalan membaca tiga kali surah Al-Ikhlas ketika tiap kali selepas salam dari solat tarawih itu adalah amalan yang sangat baik dan dapat bagi mereka pahala seperti membaca sekali khatam Al-Quran.
Bahkan orang-orang yang membaca akan surah Al-Ikhlas tersebut adalah orang-orang dikasih olih Allah kerana sabit dalam hadith Aisyah r.a riwayat Imam Bukhari dan Muslim tentang seorang lelaki dari sebuah kampung yang suka membaca surah Al-Ikhlas setiap masa lalu Nabi saw berpesan : أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللهَ يُحِبُّهُ artinya : Beritahu kamu sekelian akan lelaki itu sungguhnya Allah sangat kasih kepadanya.”
Dan orang yang mengatakan tidak dapat pahala itu adalah orang yang jahil kerana tidak mengetahui segala hadith yang telah menyebutkan kelebihan membaca surah Al-Ikhlas dan dia berdosa kerana mengeluarkan hukum dalam keadaan jahil.
Berkata Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah :
فقراءة ﴿قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ﴾ ثلاثًا في ترويحة صلاة التراويح أمرٌ مشروعٌ لا ابتداع فيه، ومن ادَّعى أن ذلك بدعة فهو إلى البدعة أقرب
Artinya : “Maka bacaan Qulhu Wallahu Ahad tiga kali pada ketika rehat dari rakaat-rakaat solat tarawih itu ialah perkara yang disyariatkan tidak ada bidaah padanya. Dan siapa yang mendakwa bahawa yang demikian itu adalah bidaah maka dialah yang sebenarnya lebih dekat kepada ahli bidaah.” (Darul Ifta Mesir)
WANTA HADIR TARAWIH DI MASJID
SOALAN :
Di tempat kita ramai kaum perempuan yang keluar pergi ke masjid pada malam-malam bulan Ramadhan kerana menunaikan solat tarawih. Apakah hukumnya di sisi syarak?
JAWAPAN :
Telah sepakat fuqahak bahawa solat tarawih di bulan Ramadhan itu disunatkan ke atas kaum lelaki dan kaum perempuan.
Olih itu harus bagi kaum perempuan itu memilih samada hendak ditunaikannya di rumah atau di masjid kerana sabit pada beberapa hadith membenarkan kaum perempuan pergi ke masjid.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. Rasulullah saw bersabda :
لا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمْ الْمَسَاجِدَ إِذَا اسْتَأْذَنَّكُمْ إِلَيْهَا
Artinya : “Jangan kamu sekelian halang akan perempuan-perempuan kamu ke masjid apabila telah meminta izin akan kamu kepadanya.” (Hadith riwayat Muslim)
Dan pada riwayat Abu Daud :
لا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمْ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ
Artinya : “Jangan kamu menghalang perempuan-perempuan kamu akan segala masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka.”
Jika mereka memilih untuk menunaikan solat tarawih itu di rumah maka ialah yang afdhal kerana hadith-hadith yang telah datang menyebut tempat paling afdhal bagi seorang perempuan bersolat ialah di rumahnya.
Dan jika dia memilih untuk pergi menunaikan solat tarawih di masjid maka hukumnya adalah harus dengan syarat tidak timbul sebarang fitnah dengan perginya perempuan itu bersolat di masjid.
Berkata Mufti Mesir Dr Nasir Farid Washil :
وصلاة المرأة في بيتها أفضل من صلاتها في المسجد عند خوف الفتنة واندلاع الفسق والفجور، أما إذا أمنت الفتنة ولم يخشَ على المرأة من الفجور جاز لها أن تصلي الفرائض جماعة بالمسجد، شريطة أن تكون ملتزمة بالحشمة والوقار، وأن تكون بملابسها الشرعية الإسلامية التي لا تثير الشبهات
وعلى ذلك: إذا كانت صلاة النساء للتراويح في المسجد أسفل المنزل لا يكلف المرأة مشقة الانتقال إلى المسجد وإنما كان المسجد في أسفل منزلها، ولم يخشَ منها أو عليها الفتنة جاز لها الصلاة في المسجد، أما إذا لم تتحقق هذه الشروط فصلاتها في بيتها أفضل من الصلاة في المسجد.
Artinya : “Dan solat perempuan di dalam rumah itu afdhal dari solatnya di dalam masjid ketika khuatirkan fitnah dan kerosakan dari kefasiqan dan kejahatan. Adapun apabila aman dari fitnah dan tidak dikhuatiri atas perempuan itu dari kejahatan nescaya harus baginya bersolat segala fardu berjemaah di masjid dengan syarat dia mestilah menjaga kehurmatan dan kemuliaan dan bahawa pakaiannya mematuhi syarak yang tidak mendatangkan apa-apa perkara yang syubhat.
Dan atas yang demikian itu apabila adalah solat kaum perempuan akan tarawih di masjid yang dekat tempat tinggalnya yang tidak ada kepayahan dia berjalan kepada masjid hanyalah masjid itu dekat tempat tinggalnya dan tidak pula dibimbangi dari perempuan itu atau atas perempuan itu sebarang fitnah nescaya harus baginya solat di masjid. Adapun jika tidak sempurna segala syarat-syarat ini maka solat perempuan itu itu di rumahnya lebih afdhal daripada di masjid.” (Darul Ifta Mesir)
Pendeknya perempuan yang hendak keluar dari rumah ke masjid kerana menunaikan solat tarawih itu hendaknya mengikut akan syarat-syarat berikut :
1. Keluarnya dengan izin suaminya jika dia sudah berkahwin.
2. Keluar dalam keadaan memakai pakaian yang sempurna menutup aurat.
3. Tidak memakai wangian yang menarik perhatian orang lain.
4. Tidak berduaan dengan bukan mahram dalam perjalan pergi balik ke masjid.
Apabila dia mematuhi syarat-syarat tersebut maka harus dia keluar pergi ke masjid untuk solat tarawih atau melakukan ibadah-ibadah yang lain yang dilakukan pada bulan Ramadhan.
wallahua’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan