FIQAH PUASA
Bahagian 8
Yang Membatalkan Puasa
3. Sengaja Muntah
Sengaja muntah artinya seorang itu berusaha supaya dia muntah seperti dengan cara sengaja batuk acap kali atau sengaja batuk sekuat hati atau menjolok-jolok mulutnya supaya muntah olih sebab suatu hal.
Manakala arti termuntah atau tidak sengaja muntah ialah keluarnya muntah bukan dengan sebab diusahakannya seperti muntah kerana pening kepala atau naik kenderaan atau sakit atau sebab-sebab yang lain.
Sandaran pada masalah ini ialah hadith yang diriwayatkan olih Abu Hurairah r.a. katanya :
قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ مَنْ ذَرَعَهُ اَلْقَيْءُ فَلَا قَضَاءَ عَلَيْهِ, وَمَنْ اسْتَقَاءَ فَعَلَيْهِ اَلْقَضَاءُ رَوَاهُ اَلْخَمْسَةُ
Artinya : “Telah bersabda Rasulullah saw : Barangsiapa yang termuntah maka tidak ada qadha atasnya dan barangsiapa yang sengaja muntah maka atasnya qadha.” (Hadith Ahmad dan Abu Daud dan Tirmizi dan Ad-Darimi)
Maka siapa yang termuntah bukan dengan kesengajaannya dan usahanya maka puasanya tidak batal dan siapa yang sengaja muntah maka puasanya batal.
Tetapi jika dia baru masuk Islam dan belum sempat belajar tentang hukum puasa atau dia terlupa sedang berpuasa lalu disengajakan muntah atau dia dipaksa maka tidak batal puasanya.
Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansari :
فَلَا يَبْطُلُ بِذَلِكَ نَاسِيًا وَلَا مُكْرَهًا وَلَا جَاهِلًا مَعْذُورًا بِأَنْ قَرُبَ عَهْدُهُ بِالْإِسْلَامِ
Artinya : “Maka tidak batal puasa sengaja muntah itu olih seorang yang terlupa atau orang yang dipaksa atau orang yang tidak tahu hukumnya sebab baru masuk agama Islam.” (Kitab Fathul Wahhab)
Apabila tidak batal puasa seseorang sebab termuntah maka tiadalah atasnya kewajipan qadha.
Dalam sebuah hadith Rasulullah saw menjelaskan :
مَنْ ذَرَعَهُ الْقَيْءُ فَلْيُتِمَّ عَلَى صَوْمِهِ ، وَلاَ قَضَاءَ عَلَيْهِ وَمَنْ قَاءَ مُتَعَمِّدًا فَلْيَقْضِ
Artinya : “Siapa yang termuntah maka teruskan puasanya dan tiada qadha atasnya dan siapa yang muntah dalam keadaan sengaja maka hendaklah dia qadha (yakni ganti puasanya).” (Hadith riwayat Ad-Daruqutni)
Dan apabila puasanya batal maka wajiblah atasnya melakukan qadha.
Yang dihukumkan batal puasa dengan sengaja muntah itu ialah apabila keluar muntahnya dari dalam perut ke mulutnya.
Adapun seorang yang berusaha supaya muntah tetapi tidak keluar muntahnya maka tidaklah dihukumkan batal puasanya.
Begitu juga batal puasa jika seorang berusaha mengeluarkan suatu yang terlekat dalam perutnya misalnya makanan yang menyebabkan perutnya sakit lalu dia berusaha supaya muntah lalu dia muntah maka batal puasanya.
Tetapi jika dia sengaja keluarkan suatu bukan dengan jalan muntah seperti dikeluarkan dari duburnya atau telinganya maka tidak membatalkan puasa kerana membatalkan itu hanya tertentu dengan muntah sahaja.
Menyebut olih Syeikh Sa’id Al-Hadhrami As-Syafie :
ولو أصبح صائم وفي أذنه أو دبره نحو عود .. لم يفطر بإخراجه، لاختصاص الاستقاءة بالخارج من الفم.
ومن الاستقاءة ما لو دخلت ذبابة جوفه قهراً فأخرجها، فيفطر إن علم وتعمد.
Artinya : “Dan kalau pada pagi hari seorang yang berpuasa ada umpama ulat di dalam telinganya atau duburnya maka tidak membatalkan puasa apabila dia keluarkannya. Dan termasuk sengaja muntah itu ialah apabila termasuk lalat ke dalam perutnya kemudian dia keluarkannya maka membatalkan puasa jika dia tahu dan sengaja.” (Kitab Busyral Karim)
Seorang yang sengaja muntah tetapi muntahnya hanya sampai ke kerongkong sahaja tidak sampai ke mulut maka puasanya tidak batal.
Dan tidak disyaratkan sengaja muntah yang membatalkan puasa itu mesti menelan kembali muntah yang keluar tetapi sudah dikira batal sebaik sahaja keluar muntah dari dalam perutnya.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar Al-Haithami :
فيفطر من استدعى القيء عامدا عالما مختارا وإن لم يعد منه شيء إلى جوفه لأنه مفطر لعينه لا لعود شيء
Artinya : “Maka membatalkan puasa siapa yang sengaja muntah lagi pula tahu dan tidak dipaksa dan dengan ikhtiar sekalipun tidak kembali suatu pun dari muntah itu ke dalam perutnya. Kerana ia membatalkan dengan semata-mata muntah itu bukan dengan sebab kembali suatu ke dalam perut.” (Kitab Minhajul Qawwim Syarah Muqaddimah Al-Hadhramiyah)
Berkata Syeikh Jamal :
وَالِاسْتِقَاءَةُ مُفْطِرَةٌ وَإِنْ عَلِمَ أَنَّهُ لَمْ يَرْجِعْ شَيْءٌ إلَى جَوْفِهِ فَهِيَ مُفْطِرَةٌ لِعَيْنِهَا لَا لِعَوْدِ شَيْءٍ مِنْ الْقَيْءِ،
Artinya : “Dan bermula sengaja menuntut muntah itu membatalkan puasa walaupun dia tahu bahawa tiada suatu pun dari muntahnya itu kembali semula ke dalam perutnya. Maka sengaja muntah itu sendiri ialah penyebab bagi batal puasa bukannya yang membatalkan itu ialah kembali muntah ke dalam perut.” (Kitab Hasyiah Jamal)
Hukum sengaja muntah ialah haram dan berdosa kerana dikira sengaja membatalkan puasa.
Tetapi jika seorang itu sengaja muntah kerana melepaskan sesuatu yang tersekat pada kerongkongnya atau kerana tertelan suatu yang merbahaya maka tidaklah berdosa kesengajaannya muntah itu dan puasanya tetap batal.
Seorang yang termuntah dengan bukan sengaja kemudian tertelan kembali sebahagian muntahnya bukan dengan sengaja maka tidak batal puasanya kerana masuk dalam hukum tersalah atau terlupa.
wallahua’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan