"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.


 


Memaparkan catatan dengan label JDT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JDT. Papar semua catatan

Ahad, 23 Jun 2024

Liga Super 2024:Heberty 'belanja' bola lepas ledak hatrik, Arif Aiman kaw-kaw dirantai pertahanan Tok Gajah

 

Adam mendapat pujian kerana bijak menjaga pertahanan Sri Pahang. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mudah meraih tiga mata apabila mengatasi Sri Pahang 3-0 dalam perlawanan minggu keempat Liga Super apabila di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Sabtu.

Harimau Selatan bermula dengan garang apabila membolosi gawang Sri Pahang seawal minit keempat apabila JDT mengambil kesempatan kekosongan bahagian tengah Sri Pahang menerusi gol dari Heberty.

Selepas gol pertama dari import Brazil berkenaan, Harimau Selatan selagi lagi melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang yang dijaga Zarif Irfan Hashimuddin.

Pertahanan Tok Gajah bagaimanapun beraksi dengan cemerlang dan salah satunya ialah Adam Nor Azlin yang bijak membaca gerakan Arif Aiman Hanapi sehingga menggagalkan pemain muda itu untuk membuat percubaan ke arah gawang yang dijaga Syihan Hazmi.

Babak pertama perlawanan di SSI itu juga dihiasi dengan insiden terjahan sehingga seramai tiga tonggak Tok Gajah dilayangkan tiga kad kuning dari pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.

Ruziev dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Francisco Geraldes pada minit ke-20. Kpah Sherman merempuh Jordi Amat turut dilayangkan kad kuning. Stefano Bruno juga dilayangkan kad kuning selepas terjahan ke arah Juan Muniz pada minit ke-29.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang melakukan pertukaran dengan memasukan Sergio Aguero bagi membantu bahagian serangan dengan dia memainkan peranan sebagai tonggak tengah menyerang Tok Gajah.

Pertukaran pemain pun masih belum dapat membantu pasukan kendalian Fandi Ahmad untuk mendapatkan gol penyamaan dan sebaliknya JDT terlebih dahulu menambah gol kedua mereka.

Gol kedua Harimau Selatan hadir selepas Heberty mencetak jaringan kedua pada minit ke-66 menerusi hantaran bantuan daripada Endrick dos Santos.

Pemain berusia 35 tahun berkenaan menjadi hero pasukan kendalian Hector Bidoglio apabila Heberty melengkapkan kemenangan berkenaan dengan gol ketiganya pada minit ke-86.

Menarik selepas Heberty meledak hatrik, pemain berkenaan dilihat menendang bola ke arah tempat duduk penonton yang seolah-olah memberi bola tersebut sebagai kenangan manis membantu JDT meraih tiga mata ke atas Sri Pahang.

Sementara itu, Arif Aiman yang bermain sehingga 90 minit permainan tidak dapat bergerak dengan bebas apabila giliran Azwan Aripin pula mengunci pemain sayap lincah itu pada babak kedua.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Selatan kekal menghuni tangga pertama liga dan Sri Pahang pula berada pada di tangga ketujuh dengan empat mata selepas tiga perlawanan. — Majoriti

Sabtu, 26 Ogos 2023

Siaran Lansung Live Kedah vs JDT Liga Super (LS21) 26 Ogos 2023

 Perlawanan Kedah FC vs Johor Darul Ta'zim, JDT merupakan perlawanan tumpuan dalam aksi saingan Liga Super 2023 minggu kedua puluh satu (LS21). JDT akan bertandang ke Kedah Darul Aman bagi meraih 3 mata penting dalam saingan Liga Super.

Kedah vs JDT

Perlawanan antara pasukan Kedah FC menentang pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim, JDT dijadualkan berlansung pada 26 Ogos 2023, hari Sabtu jam 9:00 malam bertempat di Stadium Darul Aman, Kedah.

Ini merupakan perlawanan tumpuan yang sengit antara pendahulu liga, JDT bertemu pasukan Kedah yang berada di tempat ketiga liga. Dalam 5 perlawanan terakhir, prestasi Skuad Sang Kenari terus cemerlang mencipta kemenangan demi kemenangan. 

Manakala Skuad Harimau Selatan, JDT terus unggul di persada liga di tangga teratas dengan beza 17 mata dengan pasukan Kedah FC. 

Pada pertemuan pertama JDT vs Kedah LS8, pasukan Kedah dibelasah teruk dengan bolos 6 gol hasil ledakan Fernando Forestieri, Feroz Baharudin, Óscar Arribas, Bérgson, Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velázquez tanpa balasan gol.

Pasukan JDT sudah terus akan terus memburu kemenangan bagi mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang liga berlansung. 

Dengan kemenangan perlawanan berturut-turut akan menjadikan suntikan semangat buat pasukan Kedah dan bersedia menentang pendahulu liga, JDT.

Kedah vs JDT (LS21)

Waktu siaran : Sabtu, 26 Ogos 2023, jam 9:00 malam
Tempat : Stadium Darul Aman, Kedah
Siaran TV/ Platform penstriman : Astro Arena Bola (CH803), Astro GO dan Sooka
Link streaming : Link 1, Link 2

Siaran Lansung Live Kedah vs JDT Liga Super (LS21) 26 Ogos 2023

Info Tiket perlawanan Kedah FC vs Johor Darul Ta'zim, JDT

Tiket untuk perlawanan Liga Super antara pasukan Kedah FC dan Johor Darul Ta'zim, JDT yang berlansung pada hari Sabtu, 26 Ogos 2023, jam 9:00 malam di Stadium Darul Aman, boleh mendapatkan tiket melalui laman web rasmi tickethotline.com.my.

Harga Tiket

Teres (Terbuka) : RM 15
Pavilion (Berbumbung) : RM25
Grandstand (Astaka) : RM35

Harga Tiket kanak-kanak (12 tahun dan ke bawah)

Zon Teres & Pavilion (Kaunter B & Kaunter F) : RM10
Zon Grandstand (Terhad 200 tiket sahaja) (Kaunter F Sahaja) : RM20
*Semua kanak-kanak akan dikenakan tiket

Siaran Langsung Live Streaming Kedah FC vs JDT Liga Super 26 Ogos 2023 LS21

Penonton di rumah boleh menyaksikan Siaran Lansung antara Kedah vs JDT dari Stadium Darul Aman, Kedah menerusi saluran 803 Astro Arena Bola dan Astro GO.

Tonton secara online menerusi platform Sooka seawal jam 8:30 malam bermula dengan siaran pra rancangan dengan langganan pas perlawanan berharga RM7.90.

Keputusan masa penuh perlawanan Kedah vs JDT Liga Super 2023 (LS21)

Keputusan perlawanan antara Kedah vs JDT dalam saingan LS21 secara langsung/ live score akan dikemaskini sehingga tamat masa penuh perlawanan

Keputusan Penuh
KEDAH FC/ KDA (3) - (3) JOHOR DARUL TA'ZIM FC/ JDT

Jumaat, 20 Mei 2022

Isu ‘Tokong’ punca Syafiq pulang awal ke pangkuan JDT?

 


Dunia bola sepak negara dikejutkan hari ini selepas Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan melalui satu kenyataan bahawa pemain mereka yang dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syafiq Ahmad kembali ke pangkuan mereka semula.

Isu ‘Tokong’ punca Syafiq pulang awal ke pangkuan JDT?

Namun disebalik kembalinya Syafiq ke JDT, ada berita kurang enak didengari. Ini kerana, tempoh pinjaman Syafiq ke KDA FC adalah selama satu musim namun ianya tidak terjadi apabila JDT memanggil semula Syafiq hanya selepas setengah musim bersama KDA FC.

Melalui satu ciapan twitter dari seorang pemerhati bola sepak, Juan Budiman, berkemungkinan besar Syafiq kembali disebabkan satu kenyataan seorang individu berpengaruh di Kedah yang melabel mengesyaki ada ‘tokong’ di Liga Malaysia.

Individu tersebut memberikan contoh perlawanan yang melibatkan JDT dan Negeri Sembilan FC minggu lepas yang menyaksikan pengadil memberikan tambahan 10 minit sehingga pasukan JDT berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan tersebut.

Juan Budiman juga seperti mengiyakan punca utama kembalinya Syafiq Ahmad ke JDT. Beliau menyebut, “Kerana tokong, badan binasa.

aManakala seorang lagi wartawan sukan, T. Avineshwaran turut memuat naik satu ciapan twitter yang telah mempamerkan statistik Syafiq di Kedah dan memberi bayangan bahawa hanya kerana satu kenyataan, segalanya berakhir buat Syafiq di Kedah.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Idris juga memberikan komen “Haha” dalam ruangan komen instagram Johor Southern Tigers yang mengumumkan kembalinya Syafiq Ahmad ke JDT.

-kedahkini.com

Rabu, 18 Mei 2022

Liga Super:Penalti Bergson penyelamat maruah JDT dari dimalukan Sri Pahang

 PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) bertikam lidah dengan penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa (kiri) ketika JDT mendapat tendangan penalti. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva (kanan) bertikam lidah dengan penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa (kiri) ketika JDT mendapat tendangan penalti. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Iskandar Puteri: Bergson Da Silva menjadi penyelamat maruah Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas jaringan menerusi sepakan penalti memastikan mereka seri 2-2 dengan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Keputusan seri itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas liga dengan 16 mata dan diikuti rapat Sabah FC serta Negeri Sembilan FC yang ketinggalan satu mata.

Pada aksi tunggal sebelum liga berehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 apabila Malaysia menjadi tuan rumah bagi Kumpulan E, bulan depan, barisan pemain JDT tampak menguasai permainan sebaik wisel permulaan ditiup.

Seawal minit ketiga, tuan rumah melakukan percubaan berbahaya menerusi sepakan deras Nazmi Faiz Mansor dari jarak 25 meter sebelum penjaga gol Sri Pahng, Mamadou Samassa sempat menepis bola keluar.

Pada minit ke-17, Bergson yang menerima umpanan Fernando Forestieri menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat kencang ke penjuru kiri gawang dan menewaskan Samassa.

Bagaimanapun, Sri Pahang menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-37 apabila Mahmoud Saleem Za'tara mengumpan bola kepada pemain gantian, Mohd Saiful Jamaluddin yang merembat leret menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Ketika aksi berbaki empat minit sebelum babak pertama berakhir, tindakan Shahrul Saad mengasari Mahmoud Saleem di dalam kotak penalti membawa padah apabila pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Manuel Hildalgo mudah menewaskan Farizal untuk meletak pelawat mendahului 2-1.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Benjamin Mora yang ketinggalan menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan.

Kesilapan pemain Sri Pahang FC yang menjatuhkan Bergson di dalam kotak penalti pada minit ke-86 membawa padah selepas Ahmad Zuhaidi menghadiahkan sepakan penalti dan pemain import dari Brazil itu menyempurnakan sepakan untuk menyamakan jaringan 2-2.

-myMetro

Selasa, 19 April 2022

ACL: JDT tumbangkan juara dua kali, Ulsan Hyundai

 ACL: JDT tumbangkan juara dua kali, Ulsan Hyundai

ULSAN HYUNDAI 1 JOHOR DARUL TA'ZIM 2
Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta kejutan dalam perlawanan kedua Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila menumbangkan juara dua kali dan naib juara Liga Korea Selatan (K-League), Ulsan Hyundai, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Gol daripada Fernando Forestieri dan Bergson da Silva dalam babak berbeza memberikan Harimau Selatan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Guangzhou FC, 5-0 Jumaat lalu.
Pasukan bimbingan Benjamin Mora itu berada di depan seawal minit keempat apabila Forestieri melepaskan rembatan jarak jauh gemilang susulan menerima hantaran Corbin Ong.
Menariknya, tiada sebarang petanda untuk wakil negara itu bermain secara bertahan, sebaliknya terus menguasai permainan dan berhasil melakukan beberapa percubaan, antaranya menerusi rembatan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor dan lambungan tinggi Bergson.
Ulsan memperkemaskan aksi dalam babak kedua dan berupaya menyamakan kedudukan selepas Um Wong-sang melepaskan sepakan leret untuk menewaskan penjaga gol JDT, Haziq Nadzli, pada minit ke-52.
Bagaimanapun, JDT membuktikan betapa mereka sudah bersedia untuk bersaing di pentas tertinggi Asia apabila penyerang utama, Bergson -- yang menerima lorongan Safawi Rasid selepas Matthew Davies merampas bola daripada pemain lawan -- melepaskan rembatan kaki kiri lencong yang menerjah jaring lawan pada minit ke-80 untuk memastikan kemenangan pasukannya.
Dengan kemenangan itu, JDT kekal menerajui Kumpulan I dengan enam mata, dua mata mendahului gergasi Jepun, Kawasaki Frontale, manakala Ulsan pula berada di tangga ketiga dengan satu mata.
*Kredit foto: Johor Southern Tigers
Sumber:stadiumastro.com

Sabtu, 16 April 2022

Bolasepak:Kim Pan-gon ‘Tak Kelip Mata’ Lihat JDT Ratah Guangzhou FC


Jurulatih pasukan Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah pastinya kagum dengan aksi yang ditampilkan oleh juara bertahan Liga Super, JDT dalam aksi pertama peringkat kumpulan dalam saingan ACL semalam.

Pasukan Harimau Selatan yang turun dengan penuh motivasi seakan tidak memberi peluang dan ruang buat lawan dari China itu apabila membelasah mereka dengan keputusan 5-0.

Walau bagaimanapun, penampilan para pemain tempatan yang beraksi dengan cukup baik dalam perlawanan itu sudah pastinya berjaya menambat hati jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.

Beliau yang kini sedang giat meneruskan usaha untuk melihat aksi kesemua pasukan dalam liga beraksi bagi mengenal pasti para pemain yang boleh dibawanya bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia, Jun ini.

Kehadirannya ke Stadium Sultan Ibrahim ternyata tidak sia-sia apabila Benjamin Mora memberi peluang kepada para pemain tempatan untuk beraksi menentang lawan yang menurunkan pasukan muda mereka.

Gawang gol JDT semalam dikawal rapi oleh penjaga gol muda, Haziq Nadzli selain barisan pertahanan turut diisi oleh Mattiew Davies dan juga Shahrul Saad yang kembali dalam kesebelasan utama pasukan.

Di bahagian tengah pula, peranan yang dimainkan Afiq Fazail selain Arif Aiman dan juga Corbin Ong yang cemerlang di bahagian sayap menjadi kunci kepada kemenjadian pasukan.

Kemasukan pemain seperti Ramadhan Saifullah dan juga Nazmi Faiz juga mengubah dimensi serangan pasukan apabila gandingan itu membantu pasukan untuk memperoleh gol kelima.

Kualiti dan kematangan yang dipamerkan oleh barisan pemain tempatan JDT membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri untuk terus membantu pasukan mara dengan lebih jauh.

Sementara itu, Pan-gon terus menganalisis para pemain dalam usaha untuk mencari ramuan terbaik buat Harimau Malaya.

Jumaat, 25 Februari 2022

Bolasepak:TMJ bersara jika JDT tewas kepada KL City lagi

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Kuala Lumpur: Perang psikologi perlawanan Piala Sumbangsih antara pendahulu Liga Super 2021, Johor Darul Takzim (JDT) dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC malam esok memasuki babak seterusnya apabila pemilik skuad Harimau Selatan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu bersara jika pasukannya tewas kepada skuad The City Boys.

Hal ini bermakna, jika langkah JDT sumbang pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor seterusnya tewas kepada KL City FC menyebabkan skuad Harimau Selatan bakal kehilangan 'bos besar' mereka.

 Jikalau kalah esok, saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terbabit lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara," kata Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik JDT itu sekali gus membuktikan mereka seolah-olah begitu yakin mampu menewaskan KL City FC malam esok.

Terdahulu, Tunku Ismail menerusi satu temubual bersama stesen televisyen swasta sebelum ini juga pernah memberi jaminan bahawa peristiwa pahit pasukan itu kalah 0-2 di tangan KL City pada final Piala Malaysia musim lalu tidak akan berulang lagi.

"Masa lawan Kuala Lumpur, kita kalah di (final) Piala Malaysia 2-0 bukan kerana Kuala Lumpur lebih baik daripada kami, saya boleh jamin. Kalau esok itu juga awak suruh lawan Kuala Lumpur, benda itu tidak akan berlaku dan benda itu tidak akan berlaku lagi.

"Tapi kita buat kesilapan individu, mungkin hilang fokus atau sebagainya dan kita kalah. Memang hari itu orang kata tak ada nasib, empat lima peluang di depan gol masa babak pertama tak masuk, kena tiang dan sebagainya.

"Jadi tiada nasib. Tapi saya tahu yang benda itu tidak akan berlaku lagi dan saya boleh jamin. Ia kerana saya yakin dengan pemain yang ada dalam pasukan ini, bukan nak cakap besar," katanya.

-myMetro

Selasa, 29 Jun 2021

ACL: JDT tumbang angkara tiga penalti

Arif Aiman Hanapi (depan) diasak dua pemain Pohang pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Bangkok. - Foto ihsan JOHOR Southern Tigers
Arif Aiman Hanapi (depan) diasak dua pemain Pohang pada aksi Liga Juara-Juara Asia di Bangkok. - Foto ihsan JOHOR Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal dalam misi memburu kemenangan kedua selepas dibelasah 1-4 oleh Pohang Steelers FC pada aksi pusingan pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand, sebentar tadi.

Kekalahan itu meletak skuad Harimau Selatan turun ke tangga ketiga dengan kekal tiga mata dan kelab dari Korea Selatan itu melonjak ke tangga kedua selepas mengumpul enam mata, manakala Nagoya Grampus kekal selaku pendahulu kumpulan selepas membelasah Ratchaburi FC 4-0 pada aksi pertama.

Kesilapan Leandro Velazquez, Mauricio Dos Santos dan Matthew Davies yang menghadiahkan sepakan penalti pada babak pertama dan babak kedua walaupun di awal perlawanan Velazquez mencipta jaringan buat JDT untuk mendahului 1-0 nyata meranapkan impian Harimau Selatan memburu kemenangan.

Beraksi di padang yang basah tampak tidak beri masalah buat Pohang Steelers menghadirkan cemas di kubu JDT pada minit ke-11 berpunca daripada kesilapan Velazquez yang mengumpan bola ke belakang dan sempat di sambar Borys Tashti yang menyusup masuk ke dalam kotak dan merembat bola leret namun sempat diselamatkan penjaga gol, Farizal Marlias.

 Walaupun sering diasak namun skuad Harimau Selatan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-16 selepas Velazquez bijak merampas bola daripada Lee Soo-bin sebelum merembat bola leret yang terbias di kaki Gwon Wan-gyu menyaksikan penjaga gol, Kang Hyeon-mu tergamam melihat bola menerjah jaring.

Namun jaringan itu tidak tidak bertahan lama selepas kesilapan Velazquez yang didakwa menjatuhkan Goh Young-jun pada minit ke-26 dan pengadil dari Australia, Shaun Evans tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Tashti yang ditugaskan mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Farizal apabila merembat kencang tepat ke penjuru kiri gol bagi menyamakan jaringan 1-1.

Malang buat JDT apabila Evans sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti selepas Mauricio Dos Santo melakukan terjahan keras terhadap Mario Kvesic di dalam kotak penalti pada minit ke-34.

Walaupun pada awalnya sepakan Kang Sang-woo berjaya ditepis Farizal namun Evans mengarahkan sepakan semula selepas mengesan penjaga gol JDT itu terlebih dahulu bergerak dan sepakan kedua Sang-woo pada minit ke-35 berjaya meletak Pohang Steelers mendahului 2-1.

Bersambung babak kedua, peluang terbaik JDT untuk menyamakan jaringan pada minit ke-55 tidak kesampaian selepas bola sepakan lintang Ariff Aiman Hanapi gagal ditanduk kemas Natxo Insa tatkala bola melepasi palang gol.

Anak didik Gi-dong menambah derita JDT pada minit ke-81 selepas bola umpanan pemain gantian, Lee Seung-mo berjaya mengelirukan benteng skuad Harimau Selatan yang membolehkan Kwon Ki-pyo mudah menewaskan Farizal.

Pohang Steelers dihadiahkan sepakan penalti ketiga dalam perlawanan itu selepas Matthew Davies mengasari Alex Grant pada minit akhir perlawanan dan Lim Sang-hyub tidak berdepan masalah untuk memastikan kemenangan bergaya 4-1 memihak kelab dari Korea Selatan itu.

-BH Online

Isnin, 7 Jun 2021

Import Selangor,Ifedayo."Dia hisap ganja ke?"- Tunku Ismail

 TUNKU Ismail mengandaikan Ifedayo yang juga pemenang kasut emas musim lalu itu ‘berkhayal’ tanpa melihat kepada fakta semasa. FOTO OWEE AH CHUN

TUNKU Ismail mengandaikan Ifedayo yang juga pemenang kasut emas musim lalu itu ‘berkhayal’ tanpa melihat kepada fakta semasa. FOTO OWEE AH CHUN

Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menolak dakwaan penyerang import Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang pernah menyatakan skuad Merah Kuning satu-satunya pasukan paling gemilang di negara ini.

Ujar Tunku Ismail, berdasarkan deretan kejayaan yang dilakar skuad Harimau Selatan terutamanya dalam era bola sepak moden kini, tidak mungkin Red Giants dianggap terbaik.

Malah, beliau mengandaikan Ifedayo yang juga pemenang kasut emas musim lalu itu 'berkhayal' tanpa melihat kepada fakta semasa.

"Lebah tidak membuang masa memberi keterangan kepada lalat iaitu madu lebih lazat daripada najis.

"Mungkin dalam segi sejarah, Selangor lebih besar daripada JDT tetapi berdasarkan kedudukan semasa, JDT adalah pasukan terbesar dalam negara ini.

"Saya bagi contoh, berapa pusat latihan yang Selangor ada? JDT ada empat. Berapa stadium Selangor ada? JDT ada empat.

"Sekarang pernah atau tidak Selangor pada zaman kegemilangannya, menang Liga Super lebih daripada dua kali? JDT hatrik bukan sekali tetapi dua kali. JDT juga pernah menang liga sebanyak dua kali tanpa tewas.

"Rekod 75 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri dan hari ini, belum tewas dalam 33 perlawanan di laman lawan. Selangor pernah menang pertandingan antarabangsa? JDT menang Piala AFC," katanya dalam temubual di Instagram malam tadi.

Katanya lagi, JDT adalah pasukan pertama dari Malaysia yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Selangor pernah main di ACL? JDT sudah main tiga kali. Bukan cerita zaman dulu masa belum ACL tetapi kedudukan sekarang pada senario bola sepak moden. Apa yang saya cakapkan ini adalah fakta dan bukan saya bercakap daripada hati.

"Saya rasa saya lebih tahu kelab mana lebih besar dalam negara ini. Bagaimana dengan apa yang JDT sudah kecapi dan dengan pencapaian ini, Selangor adalah pasukan lebih besar daripada JDT?

"Pada pandangan saya, tidak logik. Saya tak tahu apa dia (Ifedayo) hisap, dia hisap ganja ke?" katanya.-myMetro

Ahad, 16 Mei 2021

Shebby: JDT Tetap No.1 ,Pasukan Lain No.2 Jadi lah


 Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh tidak melihat dominasi Johor Darul Takzim akan tergugat meskipun pasukan itu belum menunjukkan prestasi yang boleh disifatkan cemerlang dalam saingan Liga Super 2021.

Tidak seperti musim-musim terdahulu apabila JDT memecut laju meninggalkan pasukan lain dengan beza mata yang terlalu jauh untuk dikejar selepas separuh aksi liga, tahun ini mereka hanya memiliki kelebihan tiga mata di puncak mengatasi Terengganu FC selepas 13 perlawanan.

Keyakinan Serbegeth atau dikenali sebagai Shebby bagaimanapun cukup tinggi kejuaraan Liga Super akan kekal menjadi milik JDT buat musim kelapan berturut-turut, ini ditambah dengan hakikat bahawa pasukan pencabar lain tidak menunjukkan aksi konsisten.JDT akan kekal juara kerana pasukan lain tidak konsisten. Walaupun ada masa JDT main tak berapa bagus, contohnya sebelum ini kalah dengan Terengganu FC, namun selepas itu Terengganu FC pula kalah dengan Penang.

Sama juga dengan pasukan seperti Kedah sebelum ini apabila tewas kepada JDT di tempat sendiri, kalau mereka menang tempoh hari sudah boleh pintas ataupun rapatkan mata dan memberi tekanan kepada JDT. Namun itu tidak berlaku.

Saya memang percaya JDT akan kekal juara, kalau pasukan lain tidak konsisten maka berebut tempat kedua sahajalah. Nak jadi juara ada dua perkara penting, pertama persembahan kita sendiri dan kedua prestasi pasukan lawan, kata Shebby seperti dilaporkan BH Sukan.Kata-kata Shebby ada asasnya kerana setiap kali berpeluang memintas atau merapatkan jurang dengan JDT, pencabar mereka akan tercicir mata.

Kedah sepatutnya boleh merampas kedudukan pendahulu jika menang di Stadium Darul Aman tetapi malangnya tewas 0-1 menerusi penalti masa kecedraan Bergson Da Silva, dan kini berada empat mata di belakang.Terengganu FC pula jika tidak kerana diaibkan Penang FC selepas kemenangan sensasi ke atas JDT, ketika ini mereka pastinya berkongsi kedudukan pendahulu Liga Super.

Manakala Penang FC, selepas tamat pusingan pertama mereka cuma berada dua mata di belakang skuad bimbingan Benjamin Mora itu (24-22) namun tiba-tiba tewas mengejut di tangan Kuala Lumpur City dan kemudian tewas kepada JDT di laman sendiri.

-bawangviral.com

Rabu, 12 Mei 2021

SOP? Gambar majlis perpisahan di laman FB ‘Johor Southern Tigers’ dikritik warganet

Semakan FMT mendapati gambar-gambar itu dimuat naik di laman FB Johor Southern Tiger kelmarin, namun tidak dinyatakan bila majlis itu diadakan.

JOHOR BAHRU: Beberapa gambar di laman Facebook “Johor Southern Tigers”, dikatakan majlis perpisahan bagi kapten pasukan bola sepak JDT, Hariss Harun, dikritik warganet yang mempersoalkan pematuhan SOP oleh tetamu.

Semakan FMT mendapati gambar-gambar itu dimuat naik di laman FB Johor Southern Tiger kelmarin, namun tidak dinyatakan bila majlis itu diadakan. Dipercayai tangkap layar catatan itu ditularkan di media sosial.

Malaysia kini sekali lagi bawah Perintah Kawalan Pergerakan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19, dengan larangan ke atas aktiviti sosial bermula 10 Mei.

“…betul la cerita P Ramlee…” kata seorang pengguna FB, Ejai Jamil.

“Rakyat marhaen je beria nak pertahan SOP…” kata seorang lagi pengguna, Shafiq Mohd.

Malah, ada pengguna menyebut akaun Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, polis, dan Kementerian Kesihatan pada catatan FB berkenaan, dan menggesa siasatan dibuat.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada pengendali laman Johor Southern Tigers atau pasukan JDT berhubung gambar berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang media pagi tadi tidak mengulas pertanyaan media berhubung gambar itu.-FMT

Ahad, 25 April 2021

LIGA SUPER:JDT gigit jari tewas ditangan Terengganu FC 1-0

Penyerang JDT, Bergson Gustavo berebut bola dengan pemain pertahanan Terengganu FC, Dechi Marcel pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menyaksikan tuan rumah tewas 1-0.-Foto RAJA JAAFAR ALI

 JOHOR BAHRU – Skuad Penyu menangis kegembiraan apabila mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menewaskan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini pada aksi Liga Super malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Terengganu FC merapatkan jurang dengan skuad Harimau Selatan selepas mengutip 21 mata selepas 10 perlawanan, dua mata di belakang JDT di persada liga.

Ini adalah kekalahan pertama JDT dalam aksi Liga Super pada musim ini sekali gus menamatkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah.

Jentera serangan JDT yang diketuai Bergson Da Silva dan Gonzalo Cabrera dilihat tumpul pada separuh masa pertama apabila tidak ada percubaan berbahaya dilancarkan ke arah gawang lawan, semua percubaan itu tepat ke dakapan penjaga gol Suhaimi Husin.

Serangan balas Terengganu mengejutkan pasukan tuan rumah apabila David Da Silva yang sudah melepasi kawalan Farizal Marlias hampir mencipta jaringan namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol pada minit akhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan Terengganu dan JDT masing-masing mengatur serangan bagi mencari gol pembukaan bagi meletakkan di kedudukan selesa.

Pasukan bimbingan Nafuzi Mahammad Zain akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-56 menerusi jaringan pemain pertahanan, Hakimi Abdullah.

Hakimi mencuri kesempatan hasil kesilapan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin untuk membuang bola dari zon bahaya apabila ‘clearance’ dibuat terkena rakan sepasukan Natxo Insa.

Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman dan Akhyar Rashid yang dibawa masuk dilihat bagi memperkuatkan jentera serangan juga tidak mampu mengubah kedudukan dan perlawanan berakhir JDT tewas buat kali pertama musim ini.-K! ONLINE

Selasa, 30 Mac 2021

Stuart Ramalingam: Jangan Salah Anggap Kes Insa, Ia Perlukan Masa

 Stuart Ramalingam

Jumaat, 26 Mac 2021

Kekuatan Jenama JDT Bawa Pulangan Lumayan Kepada Para Penaja

 


Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan mereka merupakan kelab terbaik di Malaysia apabila berjaya menarik tontonan melebihi 1 juta dalam setiap perlawanan Liga Super 2021.

Ia juga memberi pulangan yang lumayan kepada para penaja apabila jenama mereka turut dipaparkan dan disaksikan oleh para peminat bola sepak tempatan dari dalam dan luar negara.

“Kekuatan jenama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menarik minat para penaja untuk membuat pelaburan ke dalam kelab. Selain itu, para penaja juga sedar bahawa jenama mereka dapat dipaparkan kepada ramai penonton dan penyokong hasil kerjasama dengan JDT.

“Ini terbukti apabila hanya siaran langsung perlawanan melibatkan JDT mencatatkan purata 1 juta tontonan menerusi laman YouTube unifi. Jumlah ini tidak termasuk angka penonton di saluran unifiTV dan RTM,” kata kenyataan rasmi daripada Johor Southern Tigers.

Berdasarkan rekod, jumlah tontonan perlawanan JDT dan Kedah Darul Aman FC adalah sebanyak 666,000, manakala perlawanan JDT menentang Penang FC mencatat jumlah 1.1 juta tontonan.

Perlawanan menentang UiTM FC ditonton lebih 668,000 dan dua perlawanan terakhir bertemu Selangor dan Perak masing-masing mencatat jumlah 1.5 juta dan 1.3 juta tontonan.

Secara keseluruhannya, 4,011,557 tontonan telah berjaya dicatatkan untuk perlawanan ke-4 Liga Super sahaja di platform Youtube unifi dengan purata tontonan setiap perlawanan adalah sebanyak 668,592 tontonan!

Ini bermakna Liga Malaysia telah berjaya mengekalkan rekod melebihi 3 juta tontonan di bagi 4 minggu berturut-turut dan ini adalah satu petanda positif untuk industri bola sepak tempatan.

-vocketfc.com

Jumaat, 5 Mac 2021

Liga Super:‘Sang juara’ bermula garang

 

PEMAIN JDT meraikan gol pembukaan yang dijaringkan Safawi Rasid ketika menentang Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan saingan Liga Malaysia musim ini dengan langkah bergaya apabila menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 dalam perlawanan pertama liga yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Jaringan kemenangan JDT disumbangkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-35, dan Natxo Insa pada minit ke-67.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan penguasaan mereka dalam Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut sejak 2018.

Pasukan itu sebelum ini turut menjulang Piala Sumbangsih pada tahun 2015 dan 2016.

Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip tiga mata pertama, sekali gus mendahului senarai Liga Super musim ini menerusi perlawanan pertama liga.

Piala Sumbangsih yang juga dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu dijulang sendiri pemain dan pengurusan kelab selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu.

PEMAIN JDT meraikan gol kedua yang disempurnakan oleh Natxo Insa (dua dari kiri). – IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan mengatur serangan dan beroleh beberapa percubaan berbahaya di pintu gol lawan masing-masing.

Dua percubaan awal pasukan tuan rumah bagaimanapun sekadar menggegar gawang, masing-masing pada minit ke-4 dan ke-10, menerusi percubaan Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera.

Percubaan berbahaya pertama daripada Kedah muncul pada minit ke-18 apabila rembatan kencang Tchetche Kipre berjaya ditepis keluar penjaga gawang JDT, Farizal Marlias.

Kedua-dua pasukan selepas itu terus mengatur gerakan dalam percubaan mereka mendapatkan jaringan sebelum JDT memecah kebuntuan gol pada minit ke-35 menjadikan kedudukan 1-0.

Jaringan yang terhasil daripada sepakan penjuru itu disempurnakan Safawi Rasid yang menerima hantaran dari Afiq Fazail di dalam kotak penalti.

Gol kedua tuan rumah diperoleh pada minit ke-67 apabila percubaan rendah Natxo Insa dari luar kotak penalti berjaya gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Shahril Sa’ari.

Kedua-dua pasukan terus mengasak sehingga akhir perlawanan namun keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.

Terdahulu, sebelum perlawanan, JDT menerima lima Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual iaitu Penjaga Gol Terbaik, Farizal Marlias; Pertahanan Terbaik, Aidil Zafuan; Pemain Tengah Terbaik, Safawi Rasid; Jurulatih Terbaik 2020, Benjamin Mora dan Pasukan Terbaik 2020.

Turut hadir menyaksikan perlawanan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League, Datuk Abd. Ghani Hassan dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

-Utusan Online